KUALA LUMPUR - Sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap kini berada dalam radar pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap kini berada dalam radar pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua kumpulan itu telah diwartakan sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang atau pertubuhan haram di bawah Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966.

"Sebanyak 49 kumpulan kongsi gelap telah diwartakan pada 28 Ogos 2013 manakala 23 lagi diwartakan pada 16 Februari 2015.

"Keputusan ini dibuat setelah risikan maklumat PDRM mendapati 72 kumpulan ini, dengan jumlah ahli seramai 9,042 orang terbabit dalam aktiviti kongsi gelap dan gengsterisme,” katanya ketika ditemui di Bukit Aman, baru-baru ini.

Menurut Abd Jalil, kumpulan kongsi gelap di Malaysia terdiri daripada kumpulan kongsi gelap Melayu, Cina, India dan kumpulan kongsi gelap peribumi Sabah dan Sarawak.

"Tidak dinafikan kewujudan kumpulan kongsi gelap yang melakukan aktiviti haram dan jenayah kekerasan telah mendatangkan ancaman kepada ketenteraman awam sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, perlakuan ganas kumpulan kongsi gelap dalam mencapai agenda mereka sering menyumbang kepada jenayah kekerasan.

"Bagaimanapun, pemantauan dan tindakan pencegahan berterusan PDRM melalui Ops Cantas, penguatkuasaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) telah dapat mengawal seterusnya melumpuhkan kumpulan kongsi gelap ini,” katanya.

Tatu badan individu yang disyaki terlibat dengan kongsi gelap.

Abd Jalil memberitahu, berdasarkan rekod membabitkan kumpulan kongsi gelap dari tahun 2016 hingga Mac lalu mendapati bentuk jenayah yang kerap dilakukan mereka adalah merusuh, bunuh, mencederakan, pemerasan, perbuatan khianat, samun dan ugutan jenayah.

"Selain itu, kumpulan-kumpulan kongsi gelap terlibat dalam jenayah pemilikan senjata api serta senjata-senjata berbahaya,” katanya.

Tatu Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) JSJ Bukit Aman sentiasa fokus dalam usaha mengawal dan membanteras kumpulan kongsi gelap daripada terus menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam.

"Satu operasi dinamakan Ops Cantas dijalankan khusus bagi membanteras kumpulan kongsi gelap.

"Sasaran operasi ini adalah mengesan dan menangkap individu yang menjadi ahli atau menganggotai kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Beliau memberi contoh individu yang memiliki tatu lambang kongsi gelap adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.

"Tindakan tegas juga diambil terhadap tempat mempamerkan papan tanda yang mempunyai simbol kumpulan kongsi gelap mengikut Seksyen 50 (3),” ujarnya.

Abd Jalil menambah, sepanjang tempoh 2016 hingga Mac 2022, seramai 3,983 ahli kongsi gelap telah ditangkap di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api 1971; dan Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Seramai 3,644 individu ditangkap di bawah kesalahan Akta Pertubuhan 1966 kerana menganggotai kumpulan kongsi gelap.

"Kesalahan itu adalah seperti pemilikan tanda atau logo kumpulan kongsi gelap, melakukan upacara angkat sumpah, memiliki tatu lambang dan mempamerkan papan tanda yang mempunyai simbolik kumpulan kongsi gelap,” jelasnya.

Ujar beliau lagi, dalam tempoh yang sama juga seramai 589 ahli kongsi gelap diambil tindakan di bawah Poca kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah kekerasan seperti pemerasan, ugutan dan pergaduhan.

"Seramai 319 lagi diambil tindakan di bawah Sosma kerana menjalankan aktiviti jenayah terancang,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap kini dilihat cenderung dalam aktiviti pengedaran dadah, pemerasan wang perlindungan, mengambil upah bayaran menjaga kawasan aktiviti sindiket perjudian, pelacuran dan penyeludupan.

Klik di sini untuk terus membaca