PADA Selasa lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo yang terkenal dengan panggilan Jokowi menggunakan perkataan 'bodoh' ketika menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa kementerian, institusi dan kerajaan tempatan yang enggan berbelanja... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Selasa lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo yang terkenal dengan panggilan Jokowi menggunakan perkataan 'bodoh' ketika menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa kementerian, institusi dan kerajaan tempatan yang enggan berbelanja lebih untuk membeli barangan keluaran dalam negara domestik untuk keperluan masing-masing.

Perkataan 'bodoh' itu diungkapnya pada perasmian mesyuarat kebangsaan penyeliaan dalaman kerajaan di Istana Negara, Jakarta berikutan penggunaan anggaran pendapatan dan pada perbelanjaan negara untuk membeli pelbagai jenis barangan import berbanding barangan keluaran tempatan.

Ketika berucap, Jokowi memberitahu bahawa beliau mengetahui terdapat banyak kementerian dan daerah yang tidak mahu membeli produk keluaran tempatan dengan mengemukakan pelbagai alasannya seperti spesifikasi dan kualitinya yang tidak baik.

Dalam majlis itu yang dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, beliau menyatakan kesedihannya kerana perbelanjaan untuk membeli barangan import tersebut ialah wang milik rakyat yang diperoleh menerusi cukai dan diperoleh dengan cara yang tidak mudah.

"Bodoh sekali kita. Maaf. Kita ini pintar-pintar, tetapi kalau cara seperti ini, bodoh sekali kita," tegasnya.

BELI PRODUK BUATAN TEMPATAN

Peringatan itu diberikan oleh Jokowi kerana kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran untuk membelanjakan sebanyak 400 trilion rupiah (RM119 bilion) daripada bajet perolehannya untuk membeli produk buatan dalam negara dan hasrat tersebut perlu dicapai pada 10 Mei lalu.

Perkataan 'bodoh' itu bukan kali pertama diungkapkan oleh Presiden Indonesia kerana pada bulan Mac lalu, beliau pernah menyebutnya ketika berucap pada majlis 'Bangga dengan Buatan Indonesia' di Bali tentang tindakan rakyat Indonesia membeli barangan import.

Ketika itu beliau berkata: "Enggak usah cari ke mana-mana, tidak usah cari investor (pelabur), kita diam saja tapi konsisten beli barang yang diproduksi pabrik-pabrik (perusahan), industri-industri, UKM-UKM (industri kecil dan sederhana) kita, kok enggak kita lakukan? Bodoh sekali kita kalau tidak melakukan ini."

Beliau sekali lagi menyebut perkataan bodoh apabila berucap dengan menyatakan: "Malah beli barang-barang import, mahu kita terus-teruskan, tidak. Ndak bisa. Kalau kita beli barang import bayangkan kita beri pekerjaan ke negara lain, 'capital outflow', pekerjaan ada di sana, bukan di sini. Coba kita belokkan (halakan} semua ke sini (Indonesia). Barang yang dibeli dalam negeri, akan ada investasi (pelaburan), bisa membuka 2 juta lapangan pekerjaan. Kalau ini tidak dilakukan sekali lagi bodoh banget (sangat) kita ini."

JOKOWI (dua dari kiri) memakai sneaker buatan Indonesia semasa bertemu Elon Musk di AS. - Foto Biro Sekretariat Presiden


PUNCAK KEMARAHAN

Sebutan bodoh itu di majlis yang berlangsung di Istana Negara itu menyebabkan seorang pemerhati politik dari Universitas Padjajaran (Unpad), Muradi menilai kemarahan Jokowi tersebut merupakan puncak ketidakpuasan terhadap prestasi para menteri Kabinet Indonesia.

Jokowi juga pernah melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa kementerian dan badan kerajaan kerana pembelian barangan import seperti Kementerian Kesihatan kerana mengutamakan katil hospital import, walaupun pengeluaran tempatan terdapat di Yogyakarta, Bekasi dan Tangerang.

Kementerian Pertanian turut menerima kritikan daripada Presiden itu kerana mengimport traktor manakala tentera dan polis Indonesia dikritik disebabkan mengimport pakaian seragam dan kasut selain Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan juga hanya membelanjakan 2 trilion rupiah (RM598,971,090) daripada 29 trilion (RM8,6 bilion) rupiah dalam perolehan barangan.

"Mengapa mengimport komputer riba dan kerusi sedangkan kita boleh menghasilkan semua itu di sini," Jokowi dilaporkan pernah berkata.

Indonesia merupakan antara pengeluar komputer riba dan antara jenama yang terkenal ialah ZYREX dan Axioo.

Jokowi juga sebelum ini memakai sneaker buatan Indonesia yang berharga 435,000 rupiah (RM130) semasa beliau mengadakan pertemuan dengan individu paling kaya di dunia, Elon Musk di markas SpaceX, di Boca Chica, Amerika Syarikat (AS) dan syarikat yang membuat sneaker itu, Nah Project mengesahkannya menerusi akaun Instagramnya.

Beliau juga pernah memakai sneaker buatan NAH Project dari Bandung manakala mantan Datuk Bandar Surabaya, Risma memakai kasut import yang mempunyai harga yang jauh lebih tinggi berbanding Presiden Indonesia.

Negara itu juga kini dikenali sebagai pengeluar kapal terbang dan helikopter tentera manakala pesawat pesawat CN-235 yang dikeluarkan oleh syarikat PT Dirgantara Indonesia (Persero) atau PTDI banyak telah meminta dan membelinya antaranya ialah Venezuela, Senegal, Burkina Faso, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Turki, Malaysia, Korea Selatan, Thailand, Nepal, dan Brunei Darussalam.

Indonesia juga terkenal dengan kapal selam Alugoro 405 buatan syarikat PT PAL Indonesia (Persero) dengan menggunakan pemindahan teknologi dengan syarikat gergasi Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering Co Ltd (DSME) dan dibangunkan sepenuhnya di kemudahan kapal selam PT PAL Indonesia (Persero).

Bagaimanapun, walaupun kempen membeli barangan buatan Indonesia diperhebatkan pemerintah, negara tersebut masih dibanjiri dengan banyak barangan import yang kebanyakannya datang dari China seperti komputer riba, pakaian dan telefon bimbit di pasaran. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca