KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pelajar sekolah merupakan salah satu sasaran untuk direkrut menjadi ahli kumpulan kongsi gelap. "Ia bagi meningkatkan kekuatan atau... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pelajar sekolah merupakan salah satu sasaran untuk direkrut menjadi ahli kumpulan kongsi gelap.

"Ia bagi meningkatkan kekuatan atau jumlah keanggotaan sesebuah kumpulan kongsi gelap tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kebiasaannya pembabitan segelintir pelajar ke dalam kongsi gelap itu terdiri daripada pelajar yang mempunyai masalah disiplin atau daripada keluarga bermasalah.

"Pembabitan pelajar dalam kongsi gelap didapati berlaku, namun ia tidak serius dan dapat dibendung,” ujarnya.

Abd Jalil berkata, PDRM turut mengadakan program pencegahan bersama pihak sekolah seperti mengadakan ceramah atau program kesedaran, pemantauan dan bimbingan terhadap pelajar bermasalah.

"Kita turut mewujudkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai polis di setiap sekolah untuk berkongsi maklumat dan tindakan bagi mengatasi penglibatan pelajar sekolah dalam kongsi gelap.

"Berdasarkan statistik PDRM dari 2016 hingga Mac lalu, seramai 178 pelajar sekolah terbabit dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap telah ditangkap atas kesalahan jenayah kekerasan,” katanya.

Abd Jalil menambah, proses merekrut ahli baharu kumpulan biasanya dimulakan dengan mencari ahli yang bersesuaian.

"Perkara ini akan dilakukan oleh ahli kongsi gelap yang diwajibkan mendapatkan ahli-ahli baharu sama ada dengan cara mempengaruhi, memujuk, memperdaya atau memaksa seseorang menyertai sesuatu kumpulan kongsi gelap.

"Setelah sasaran (ahli baharu) bersetuju, ahli lama akan menjalankan pengawasan, pemerhatian, penerangan berkaitan kumpulan kongsi gelap ke atas ahli baharu sebelum menjalani proses angkat sumpah,” katanya.

Abd Jalil berkata, proses seterusnya adalah upacara ritual yang ditetapkan mengikut cara kumpulan masing-masing.

"Upacara ini selalunya dilakukan di dalam hutan, kebun kelapa sawit atau rumah ibadat.

"Berikutan daripada pemantauan ketat oleh PDRM, kumpulan kongsi gelap ini mula mengubah masa dan tempat mengikut kesesuaian mereka dengan mengadakan upacara angkat sumpah dengan berselindung di sebalik penganjuran majlis makan malam atau program tertentu,” katanya.

SELEBRITI, AHLI POLITIK

Sementara itu, aktiviti kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga tidak terlepas daripada pemantauan pihak polis, kata Abd Jalil.

Bagaimanapun katanya, golongan selebriti dan ahli politik setakat ini tidak dikesan mengetuai kumpulan kongsi gelap.

"Kadang-kadang ahli politik atau selebriti tidak sedar menghadiri majlis atau program dianjurkan oleh kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik NGO.

"Jadi ahli politik atau selebriti disarankan untuk menghubungi polis sebelum menghadiri majlis atau program berkenaan,” katanya.

Jelas Abd Jalil, pihaknya sentiasa memantau sebarang elemen yang berunsurkan identiti mana-mana kumpulan kongsi gelap seperti bendera, rantai, gelang tangan, rantai kunci, pelekat kenderaan, baju kemeja dan tatu badan.

"Sejak kebelakangan ini, kita mengesan beberapa video tular berdurasi pendek yang memaparkan aktiviti ahli kumpulan kongsi gelap yang mempamerkan logo atau imej pengenalan kumpulan mereka.

"Ia adalah menyalahi undang-undang,” tegasnya.

Abd Jalil berkata, pihaknya juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan permit kepada mana-mana kumpulan kongsi gelap untuk menganjurkan perarakan atau sebarang perhimpunan seperti upacara pengebumian mayat serta majlis sambutan ulang tahun.

"Kita sentiasa menjalankan risikan dan pengumpulan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kongsi gelap.

"Unit Gengsterisme di peringkat daerah mahupun kontinjen akan memantau kain rentang, bunga kalung atau apa-apa yang berkaitan dengan kumpulan itu.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas penggunaan logo atau lambang serta tanda kongsi gelap pada kenderaan yang membawa mayat semasa perarakan atau kain rentang semasa upacara pengebumian di bawah undang-undang Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca