PENGARAH filem terkenal, U-WEI SAARI mengkritik tentang kewujudan sesetengah pembuat filem yang tidak lagi menghormati tradisi perfileman tanah air. Keadaan itu menyebabkan timbul satu istilah baharu yang dikenali sebagai sinema Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

PENGARAH filem terkenal, U-WEI SAARI mengkritik tentang kewujudan sesetengah pembuat filem yang tidak lagi menghormati tradisi perfileman tanah air.

Keadaan itu menyebabkan timbul satu istilah baharu yang dikenali sebagai sinema Malaysia yang menyebabkan sinema Melayu kini terpinggir.

"Pada saya kenapa dengan adanya beberapa pembikin filem ini sehingga diwujudkan istilah sinema Malaysia, mana nak letak sinema Melayu?" soalnya.

Ikuti kupasan beliau mengenai pelbagai isu dalam wawancara eksklusif Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, TAN SRI JOHAN JAAFFAR.

JOHAN: Apakah yang disebutkan sinema Malaysia di negara ini?

U-WEI : Sebagai pembikin filem, paling awal pelajaran yang saya dapat daripada disiplin membuat filem adalah menghormati tradisi. Tanpa tradisi, kita tidak ada dan itu yang paling penting sekali. Saya sebenarnya mempunyai isu dengan sinema Malaysia ini yang mana saya membesar dengan sinema Melayu atau selalu dipanggil dengan sinema Jalan Ampas. Jadi, dari situ saya membesar dan berkembang dan boleh membuat filem. Pada tahun 1999 sehingga 2001 maka timbul sinema Malaysia. Ini kerana wujud medium kamera digital dan mula ada kononnya pembikin filem indie yang membuat filem pendek. Mereka ini ada yang mempelbagaikan naskhah mereka dalam pelbagai bahasa lain dan ia tidak menimbulkan masalah kepada saya. Tetapi, selepas itu mereka mula mengatakan bahawa mereka pembikin filem Malaysia, jadi timbul sinema Malaysia. Pada saya, sejak dari situ sinema Melayu menjadi perkara yang romantis sahaja dan tidak hidup. Pada saya kenapa dengan adanya beberapa pembikin filem ini sehingga diwujudkan istilah sinema Malaysia, mana nak letak sinema Melayu?

Bercakap tentang sinema Melayu, kenapa kita masih memandang ke belakang ke Jalan Ampas atau Cathay-Keris dan sebagainya. Perkara ini telah berlaku lebih 50 tahun dan kenapa kita tidak memandang ke hadapan?

Sebagai pengkarya seni kita harus jeling ke belakang tetapi memandang ke hadapan. Saya mengingatkan diri saya iaitu untuk meneruskan sahaja kerana tidak ada perkara yang asli di dunia ini. Ia mempunyai zaman gemilang mereka.

Apa yang kita boleh belajar daripada sinema Melayu di Singapura pada ketika itu terutama kepada pembikin filem pada hari ini?

Kita kena ambil aspek pertukangan, dan pembikin filem harus sedar perlu ilmu pertukangan kerana pada zaman sekarang ini lebih banyak kepada digital. Saya nampak sesuatu filem itu very dated (tidak lapuk). Kalau filem yang baik itu sangat banyak yang dated. Ambillah filem Abang iaitu filem yang saya sangat kagumi. Filem ini bagi saya menganjak paradigma Melayu moden. Istimewanya filem Abang ini adalah ia memberikan gambaran satu unit keluarga Melayu walaupun mempunyai persoalan cinta segi tiga, namun ia dikendalikan dengan sangat moden. Saya kagum dengan filem itu sebab banyak saya belajar daripada situ. Begitu juga kalau saya tarik ke belakang, kalau kita menonton filem Jamil Sulung yang berkonsepkan purba. Jamil ini satu-satunya individu yang dipilih untuk menjadi pengarah. Kalau kita tengok, semua filem purba dia mesti ada sungai. Jadi, adakah ia signature Jamil Sulong? Itu antara perkara yang saya belajar.

Antara pengarah filem Melayu terutamanya pada era gemilang sinema Melayu di Singapura yang menonjolkan P Ramlee, Jamil Sulong, M Amin dan beberapa pengarah yang lain. Agaknya siapa yang banyak mempengaruhi U-Wei?

Pada saya M Amin banyak mempengaruhi saya kerana filem Melayu pertama saya ialah Chuchu Datok Merah dan itu filem yang sangat mempengaruhi saya sehingga kini. Ia filem pertama yang saya lihat ada watak anti hero dan tidak pernah ada dalam filem Melayu sebelum itu. Selain itu, pengarah seperti Hussein Haniff dengan filem Dang Anom turut menjadi kegemaran saya. Dalam filem saya iaitu Perempuan, Isteri, dan ..., babak rempuh itu adalah berdasarkan penghormatan kepada babak dalam filem Hussein Haniff. Kalau tengok filem Perempuan, Isteri, dan ....., itu adalah filem Sri Mersing yang diterbalikkan. Jadi saya hormat tradisi, kalau kita tidak mencuri daripada tradisi itu barulah plagiarisme. Apabila kita mengambil daripada tradisi, ia bukan mencuri tetapi menghormati.

Ada adegan yang U-Wei rasa ‘plunder’ daripada filem-filem lama. Apa tujuannya untuk memberikan penghormatan atau ada sebab lain?

Sebabnya mereka ini memberikan impak yang konsisten dalam hidup saya. Saya tidak overrated dalam pendapat saya. Saya hidup dalam filem.

Apakah sebenarnya cinema paradiso bagi U-Wei? Adakah di kampung?

Di kampung atau lebih tepatnya di Bandar Mentakab. Menariknya Bandar Mentakab ini kecil sahaja tetapi panggung ada tiga termasuk di Temerloh.

U-Wei telah menerokai dunia televisyen apabila pulang dari New York, Amerika Syarikat. Kemudian ke filem. U-Wei ada membuat filem yang murah dan mahal. Filem-filem seperti Buai Laju-Laju, Kaki Bakar, Perempuan, Isteri &..., Jogho dan sebagainya. Hanyut dikatakan antara filem yang paling mahal dalam sejarah filem Malaysia. Kenapa U-Wei memilih novel Almayer’s Folly oleh Joseph Conrad untuk diadaptasikan menjadi Hanyut?

Perkara itu boleh dijawab daripada beberapa sudut. Yang paling senang sekali untuk dijawab adalah ia dicadangkan oleh isteri saya. Isteri saya lebih pintar daripada saya. Dia meminati penulisan sastera. Dia lebih banyak membaca daripada saya. Ini isteri saya yang pertama. Jadi saya percaya kepada dia. Saya (juga) mempunyai satu hobi cuba untuk membaca sebanyak (mungkin) tulisan yang ditulis oleh ekspatriat tentang Malaya dan Gugusan Melayu. Saya dapati Conrad agak adil sedikit.

Yang kedua saya tertarik, dia menyentuh tema yang saya sentiasa belajar iaitu keterasingan di mana orang Belanda yang tinggal di Malaya. Dia tidak mempunyai rakan. Kononnya dia tinggal (di kawasan) tinggi. Sebab itu di dalam Hanyut, saya letakkan dia di atas bukit seperti raja di tempat itu tetapi dia tetap sunyi. Dia fikir dia hebat tetapi orang-orang biasa lebih menarik hidupnya.

Johan mendengar pandangan U-Wei dalam wawancara yang dikendalikannya.

Secara literal kita terjemahkan angan-angan Mr Folly. Tetapi U-Wei guna perkataan Hanyut. Kenapa?

Sebab naskhah itu apabila sampai ke tangan saya, ia telah menjadi cerita saya.

Kenapa pilih Almayer’s Folly?

Saya memilih Almayer’s Folly sebab ia adalah novel terakhir yang tidak dibuat oleh pembuat filem semasa zaman Conrad di Malaya.

Adakah U-Wei berasa kecewa dengan sambutan terhadap filem ini?

Saya pasrah, saya tergores tetapi saya cuba melihatnya secara positif di mana saya menghiburkan hati saya mengatakan karya mempunyai jadualnya sendiri.

Pembikinan Hanyut merupakan suatu aktiviti yang sangat luar biasa. U-Wei mengambil kru dan pelakon daripada pelbagai negara. Ini merupakan suatu usaha yang cukup luar biasa disebabkan itu kosnya tinggi. Apa pengalaman yang U-Wei dapat daripada filem Hanyut ini?

Pelajaran yang saya dapat banyak. Salah satunya tentang anda harus tahu untuk mendapat kepercayaan orang lain. Jika tidak, mereka tidak akan ikut.

Di antara beberapa orang pelakon yang terlibat dalam Filem Hanyut ialah Allahyarham Khalid Salleh (Wak Khalid). Khalid sebelum ini pernah berlakon dalam filem Buai Laju-Laju dan dalam Hanyut ini beliau menjadi watak yang jahat. Apa keistimewaan Allahyarham Khalid yang U-Wei nampak?

Dia suatu enigma bagi saya. Bila saya melihat sesiapa (atau) melihat tokoh-tokoh, saya boleh tahu di mana mereka datang contohnya daripada sekolah mana, sekolah apa. Bila Khalid Salleh, saya puzzled (hairan). Tetapi bila dia mendapat satu watak, dia akan merasai watak itu dan boleh menonjolkannya. Saya amat mengagumi konsentrasinya.

Kenapa kita tidak berjaya seperti Korea Selatan dalam kandungan kreatif. Apa yang mereka ada, kita tidak ada?

Yang tepatnya adalah kita harus mendapat pertolongan kerajaan. Tapi kerajaan harus ada ‘antena’, tahu siapa dia pemain yang benar. Sebab dalam bidang ini banyak ‘nabi palsu’. Dia kena tahu siapa yang benar-benar pembikin filem.

Adakah U-Wei berpuas hati dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atau institusi-institusi perbankan dalam konteks pembikinan filem?

Pada saya belum memadai. Puas hati itu jauh sekali. Sokongan kerajaan harus total. Saya ingat ayat (seorang) pegawai lembaga seperti Finas di Australia. Beliau kata ‘saya senang memberi duit kepada pembikin filem sebab mereka akan buat walaupun lambat’. Kita mesti percaya kepada pembikin filem. Pembikin filem yang sebenar akan membuat filem, akan menyudahkannya, komited dan berdisiplin.

Johan mendengar pandangan U-Wei dalam wawancara yang dikendalikannya.

Apa yang U-Wei sedang buat sekarang?

Yang saya banyak buat sekarang menulis esei, pementasan dan menulis naskhah filem.

Saya pernah dengar cerita U-Wei nak melihat semula salah sebuah filem yang diarahkan oleh Datuk Ahmad Mahmood, Filem Dendam Dari Pusara? Kenapa filem itu?

Sebagai pembikin filem, saya ada fatwa. Salah satu idaman (dan) impian saya untuk membuat semula filem (remake). Saya belum pernah buat remake. Jadi, saya ingin membuat remake. Saya senang (membuat) sebuah filem yang orang tidak pernah dengar (iaitu) Dendam Dari Pusara yang saya rasa dibuat pada tahun 1983 di mana Ahmad Marbawi berlakon. Saya cuba untuk mengendalikan isu Ahmad Mahmood untuk angkat dan membangkitkan filem-filem lama.

PROFIL

Nama: Zuhir ‘U-Wei’ Saari

Tarikh Lahir: 13 Mei 1954

Umur: 68 tahun

Tempat Lahir: Bentong, Pahang

Arahan filem:

Perempuan, Isteri , dan...(1993)

Black Widow - Wajah Ayu (1994)

Jogho (1999)

Kaki Bakar (2001)

Buai Laju-Laju (2004)

Hanyut (2012)

- Anugerah:

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) 11

Lakon Layar Terbaik FFM 11

Cerita Asal Terbaik FFM 11

Pengarah Terbaik FFM 14

Lakon Layar Terbaik FFM 14

Filem Terbaik (Kategori Bahasa Asing) Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussel ke -17 di Belgium (1995)

Anugerah Khas Juri 1st South-East Biennial Film Festival di Phnom Penh, Kemboja (1997)

Lakon Layar Terbaik Anugerah Skrin 2017

Klik di sini untuk terus membaca