GENEVA - Peperangan antara Rusia dan Ukraine telah menyebabkan jumlah perpindahan penduduk global secara terpaksa melebihi 100 juta orang buat pertama kali, sekali gus mencetuskan kebimbangan jika krisis kelaparan yang semakin meruncing akan menyebabkan lebih ramai meninggalkan kediaman masing-masing.
Ketua Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi berkata, usaha untuk menangani krisis makanan global yang semakin buruk sejak operasi ketenteraan dilancarkan Moscow ke atas Kiev adalah sangat penting bagi menghalang lebih ramai orang terpaksa berpindah.
"Saya tidak boleh memberi angka yang tepat jika anda bertanya tentang jumlah sebenar golongan itu. Tetapi, saya percaya ia adalah angka yang sangat besar," ujarnya.
Ketika ini, komuniti global telah terkesan dengan konflik Rusia-Ukraine yang menyaksikan kekurangan bekalan bijirin dan baja sehingga menyebabkan harga barangan melambung tinggi selain ratusan juta penduduk berisiko kelaparan.
"Kesan peperangan itu jika tidak diselesaikan segera akan menjadi bertambah buruk kerana impaknya sudah dapat dilihat ketika ini," katanya lagi yang mendedahkan perkara itu ketika membentangkan laporan tahunan UNHCR mengenai perpindahan penduduk global secara terpaksa.
Data tersebut menunjukkan 89.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal pada akhir 2021 dan angka tersebut dikatakan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sedekad.
Jumlah kira-kira 14 juta rakyat Ukraine yang melarikan diri dan menjadi pelarian di dalam negara sendiri sejak 24 Februari lalu juga menyumbang kepada pertambahan angka golongan tersebut.
"Angka itu terus meningkat pada setiap tahun sejak 10 tahun lalu. Sama ada komuniti antarabangsa bersatu untuk mengambil tindakan bersama bagi menyelesaikan konflik berkenaan atau trend membimbangkan ini akan berterusan.
"Situasi ini bagaimanapun tidak berlaku kepada pelarian Ukraine kerana golongan itu diterima dengan tangan terbuka di seluruh Eropah," menurutnya yang memuji sikap tersebut, namun ia bertentangan dengan cara layanan yang diterima pelarian dari Syria dan Afghanistan.
Grandi juga mempersoalkan bagaimana pemimpin rantau Eropah boleh menyalurkan sejumlah besar bantuan kewangan sebagai tindak balas terhadap krisis Ukraine, namun tidak boleh melakukan perkara sama kepada negara yang betul-betul terdesak.
"Tidak boleh ada sikap pilih kasih terhadap tindak balas kemanusiaan," tegasnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi di negara Tanduk Afrika dan Sahel yang menyaksikan perpindahan penduduk secara terpaksa didorong oleh gabungan konflik, tadbir urus yang lemah, ancaman keselamatan serta kesan daripada fenomena perubahan iklim.
"Ia adalah lingkaran yang sangat mengerikan disebabkan oleh banyak faktor," jelasnya lagi.
Grandi memberi amaran peperangan di Ukraine telah merumitkan tindak balas terhadap krisis perpindahan penduduk global secara terpaksa.
"Kesan konflik itu telah meninggalkan 'parut' terhadap kerjasama antarabangsa. Walaupun peperangan itu telah berakhir, ia mengambil masa agak lama untuk pulih. Jika perkara itu tidak berlaku, saya tidak tahu bagaimana kita dapat menangani krisis global ini," katanya.
UNCHR telah memberi amaran masalah kekurangan makanan yang semakin meningkat, inflasi, krisis iklim telah menyebabkan tindak balas kemanusiaan semakin sukar dilakukan. - AFP
Info
>Data UNHCR pada akhir 2021 mendapati kira-kira 27.1 juta penduduk menjadi pelarian manakala jumlah pemohon suaka meningkat 11 peratus kepada 4.6 juta orang.
>Untuk tahun ke-15 berturut-turut, jumlah penduduk menjadi pelarian di dalam negara sendiri akibat konflik dalaman mencecah 53.2 juta orang.
Klik di sini untuk terus membaca