SHAH ALAM - Fenomena lebih banyak parti-parti baharu ditubuhkan di Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah disebabkan rakyat kini lebih cenderung menerima kewujudan parti pelbagai kaum berbanding parti-parti konservatif yang berasaskan perkauman.
Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng berkata, faktor itu juga mendorong pihaknya bersama rakan-rakan pemimpin lain untuk menubuhkan parti berkenaan dengan PBM dijangkakan terus menerima sambutan menggalakkan daripada pengundi.
Jelas beliau, PBM dibentuk oleh enam teras iaitu penglibatan berbilang kaum, pemerkasaan wanita, pemerkasaan belia, pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemajuan sains dan teknologi.
"Ideologi ini unik dan kami sangat komited dengannya. Tidak ada retorik dan tidak ada apa-apa untuk menuduh rakyat secara emosi dan mengaburkan penilaian mereka.
"Kami membenarkan orang ramai menilai ideologi, kerja dan komitmen kami dan membuat keputusan mereka sendiri. Akhirnya pengundi memutuskan sama ada kita adalah pilihan yang tepat untuk Malaysia yang progresif," ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Pada 21 Disember tahun lalu, PBM membuat kemunculan dalam kancah politik negara ini apabila dilancarkan oleh Sng yang ketika itu menjadi Timbalan Presiden parti berkenaan.
Difahamkan, PBM dahulunya dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah meluluskan penukaran nama SWP kepada PBM dan perlembagaan baharunya.
9 Jun lalu, PBM mengumumkan keputusan untuk melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin, sebagai 'Presiden Designated' parti itu.
Hal ini susulan Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Mei lalu untuk menyertai PBM.
Mengulas lanjut, Larry yang juga Ahli Parlimen Julau menegaskan sudah tiba masanya semua rakyat Malaysia mengatakan 'tidak' kepada sebarang inisiatif berasaskan perkauman dengan semua pihak perlu bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara.
Ulasnya, setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan harus merasakan bahawa ini adalah bangsa mereka dan ini mesti menjadi naratif masa depan.
"Sekarang memang ada banyak parti baharu didaftarkan dan diambil alih, sama ada melibatkan parti lokal bersifat kenegerian dan parti nasional. Melalui kewujudan banyak parti baharu ini, rakyat kini mempunyai pilihan luas pada PRU15.
"Tetapi PBM sebagai sebuah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kami percaya hala tuju PBM lebih cenderung bersama dengan Barisan Nasional (BN) susulan koalisi itu belum memiliki sebuah parti pelbagai kaum.
"PBM menawarkan sesuatu yang PH gagal tawarkan. PBM dari awal lagi menetapkan keutamaan perwakilan yang sama bagi perwakilan berbilang kaum dan juga perwakilan seimbang kepimpinan Borneo.
"Selain itu, kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan parti untuk memberi mandatori 30 peratus perwakilan kepada belia dan wanita dalam pilihan raya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca