SHAH ALAM - Desakan memenuhi kepentingan peribadi bertanding dalam pilihan raya dikenal pasti antara faktor utama terdapat lambakan parti politik baharu yang berlumba-lumba mahu didaftarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Desakan memenuhi kepentingan peribadi bertanding dalam pilihan raya dikenal pasti antara faktor utama terdapat lambakan parti politik baharu yang berlumba-lumba mahu didaftarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, meskipun kelompok pemimpin 'opportunist' ini sebenarnya menyedari parti-parti baharu sukar bersaing dengan parti konservatif dan dominan di persada politik tanah air, tetapi mereka tetap mahu menubuhkan parti baharu kerana merasakan populariti mereka mampu menarik sokongan rakyat.

Selain itu, beliau turut berpandangan kelompok pemimpin politik ini cuba mengambil peluang daripada kelompongan undang-undang yang tidak menetapkan sebarang kuota dalam mengawal selia permohonan pendaftaran parti baharu selain mengambil semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan individu untuk berpersatuan.

"Di sini, kita dapat melihat betapa pentingnya peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dalam memantau dan mengawal selia urusan pendaftaran parti-parti baharu sebelum ia dipertimbangkan untuk diluluskan.

"Banyak parti ditubuhkan kerana undang-undang tidak menyekat penubuhan parti. Jika disekat, JPPM pula akan didakwa menerima tekanan dan campur tangan politik sebagaimana dihujahkan oleh Parti Pejuang Tanahair dan Ikatan Demokratik Muda (MUDA) sebelum pendaftaran mereka diluluskan.

"Pada masa sama, pemimpin-pemimpin politik juga ghairah menubuhkan parti politik baharu kerana mereka yakin mampu menjadi 'kingmaker' dalam sesebuah PRU sekiranya parti mereka menang sedikit kerusi dan tiada parti yang menang majoriti kerusi Parlimen," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad menegaskan senario penubuhan parti-parti baharu yang berstatus kecil ini sudah menjadi lumrah di Sabah dan Sarawak dengan mereka kebiasaannya berperanan untuk memecahkan undi parti-parti dominan.

Tambahnya, parti-parti ini juga mengambil kesempatan untuk mendapatkan laba keuntungan daripada parti-parti dominan walaupun mereka tahu peluang menang pilihan raya sangat tipis dan berpotensi besar hilang deposit pilihan raya.

"Kebiasaannya kelompok ini berharap dapat menerima tawaran seperti jawatan dan sebagainya daripada parti lama dianggotai mereka supaya menarik diri bertanding pilihan raya.

"Di semenanjung Malaysia pula, pola politiknya berbeza apabila pemimpin tidak begitu ghairah menubuhkan parti politik baharu. Ini kerana mereka tahu langkah itu itu sia-sia kerana sukar menyaingi parti lebih berpengalaman selain berisiko tinggi untuk ditolak rakyat," ujarnya.

Ditanya mengenai implikasi fenomena lambakan parti politik baharu di negara ini menjelang PRU15, Wan Ahmad menyuarakan kebimbangan senario itu bakal menyukarkan usaha menubuhkan sebuah kerajaan baharu yang lebih kukuh dan stabil.

Meskipun kehadiran lebih banyak parti politik akan memberi lebih pilihan kepada 32 juta rakyat Malaysia, beliau menegaskan fungsi parti-parti baharu ini lebih sekadar bertujuan memecahkan undi dan akhirnya melemahkan parti-parti dominan.

"Selaku pengundi yang berpengalaman merasai kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh empat tahun selepas PRU14.

"Saya mengharapkan rakyat Malaysia menggunakan pengalaman berkenaan untuk mewujudkan kerajaan yang teguh dan stabil selepas PRU15. Saya percaya mereka akan lebih matang dan cerdik, serta tidak mengulangi pengalaman pahit bertukar kerajaan sebanyak tiga kali selepas PRU14," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca