SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menegaskan objektif penubuhannya bukan berlandaskan niat secara suka-suka, sebaliknya berasaskan kesinambungan usaha membanteras masalah rasuah, kleptokrasi dan salah tadbir urus negara sejak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) menegaskan objektif penubuhannya bukan berlandaskan niat secara suka-suka, sebaliknya berasaskan kesinambungan usaha membanteras masalah rasuah, kleptokrasi dan salah tadbir urus negara sejak dahulu lagi.

Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, dakwaan lambakan parti politik baharu menyumbang kepada keserabutan pilihan pengundi juga dianggap tidak adil pada saat Perlembagaan Persekutuan membenarkan rakyatnya bebas berpersatuan dan menubuhkan parti politik bagi menyuburkan amalan demokrasi.

Jelasnya, rakyat negara ini kena menyelami apa inti pati sebenar penubuhan sesebuah parti politik baharu sebelum menilai sama ada matlamatnya semata-mata untuk meraih kuasa politik atau sebaliknya.

"Bagi saya, sebagai sebuah negara demokrasi, hasrat mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik baharu bagi menyertai pilihan raya sepatutnya diterima secara terbuka dan tidak dipandang sinis.

"Sebagai contoh, matlamat penubuhan Pejuang adalah berasaskan perjuangan kami untuk membersihkan amalan kleptokrasi selain berusaha melahirkan budaya politik berteraskan kepentingan orang Melayu dan Islam yang lebih berwibawa.

"Sebagai parti baharu, kita bukan suka-suka buat parti, sebaliknya kewujudan Pejuang mempunyai matlamat sendiri yang dibawa pemimpinnya termasuk Pengerusi kami, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lagi," ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas fenomena lambakan parti-parti politik baharu yang wujud dalam landskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Senario itu disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) apabila agensi kerajaan itu mendedahkan menerima sebanyak 199 jumlah permohonan pendaftaran parti baharu dan hanya meluluskan 12 parti sahaja sehingga kini.

Daripada jumlah 12 parti diluluskan JPPM, 10 daripadanya merupakan parti dari semenanjung Malaysia, manakala dua adalah dari negeri Sarawak.

Pejuang merupakan antara parti-parti baharu yang berjaya diluluskan oleh JPPM pada 8 Julai lalu, setelah berhempas-pulas berusaha didaftarkan sejak tahun 2020 termasuk membawa isu berkenaan ke mahkamah.

Mengulas lanjut, Marzuki yang juga bekas Timbalan Menteri Luar mengakui kedudukan Pejuang sebagai parti baharu meletakkan parti itu dalam keadaan paling mencabar untuk memenangi PRU15.

Bagaimanapun, beliau berpandangan kekalahan teruk Pejuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu tidak wajar dijadikan ukuran kekuatan sebenar parti itu susulan peratusan keluar mengundi yang sangat rendah di samping pengundi masih bimbang ancaman Covid-19.

"Namun, Pejuang mengakui keperluan pihak pembangkang mewujudkan satu pasukan yang mempunyai jati diri dan naratif sama supaya mudah bagi kita menggerakkan kempen menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilihat semakin rakus mengejar kuasa politik.

"Dengan parti enggan bekerjasama dengan mana-mana pemimpin kleptokrat di samping kesediaan bertanding pada keseluruhan 120 kerusi Parlimen, peluang kemenangan Pejuang pada PRU15 adalah bergantung kepada keberanian rakyat membawa perubahan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Ikatan Muda Demokratik (Muda), Zaidel Baharuddin berpendapat tidak wajar kerajaan menyekat atau menghalang hasrat mana-mana pihak untuk menubuhkan sesebuah parti baharu, sekali pun langkah itu dianggap tidak popular.

Jelasnya, mana-mana pihak termasuk pemimpin parti kerajaan tidak perlu takut untuk menerima sebarang idea baharu dikemukakan parti politik baharu kerana soal penerimaannya wajar diserahkan kepada kebijaksanaan pengundi.

"Bagi saya mudah, kalau hendak kata parti baharu ini parti nyamuk atau menyusahkan, itu hak peribadi. Tetapi dalam Perlembagaan Persekutuan, inisiatif penubuhan parti baharu tidak wajar disekat atau dihalang walaupun keputusan penubuhannya dianggap tidak popular.

"Hak menubuhkan parti baharu juga merupakan sebahagian perkara dijamin Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mempermudahkan urusan pendaftaran parti, bukan serah kepada bidang kuasa menteri untuk menentukan parti mana layak didaftarkan," tegasnya.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula secara rasmi didaftarkan JPPM pada 23 Disember tahun lalu setelah Mahkamah Tinggi sebelum itu mengarahkan KDN membenarkan parti itu didaftarkan sebagai parti politik.

Klik di sini untuk terus membaca