UBAH suai rumah secara haram menjadi topik hangat dan diperdebatkan ramai akhir-akhir ini. Gambar-gambar operasi meroboh struktur tambahan yang dibina pemilik rumah flat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Ampang Jaya, Selangor baru-baru... Klik di sini untuk terus membaca

UBAH suai rumah secara haram menjadi topik hangat dan diperdebatkan ramai akhir-akhir ini.

Gambar-gambar operasi meroboh struktur tambahan yang dibina pemilik rumah flat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Ampang Jaya, Selangor baru-baru ini tular di media sosial.

Di Facebook, ramai netizen memuat naik gambar kediaman strata di tempat-tempat lain yang ditambah sesuka hati oleh pemilik tanpa menghiraukan keselesaan penghuni lain, bahkan mengancam keselamatan bangunan bertingkat itu sendiri.

Ada pemilik mengubah suai sehingga sekali ganda keluasan unit yang dibeli di tingkat bawah. Ada pemilik di tingkat dua membina anjung rumah, siap bertiang mencecah tanah. Sebuah rumah flat di Petaling Jaya pula sudah kelihatan seperti rumah teres dua tingkat, siap dengan balkoni yang sekali pandang persis banglo mini.

Dalam pada itu di Mantin, Negeri Sembilan, sebuah rumah teres dua tingkat yang diubah suai ala rumah ibadat agama lain telah mencetuskan kontroversi sehingga mengundang perbalahan antara jiran.

Sebenarnya siapalah yang tidak teruja dapat ubah suai rumah sendiri. Walaupun baru dapat kunci, fikiran sudah mula terbayang untuk ubah suai sana sini sesuai konsep yang diidamkan.

Kita juga faham, flat lama yang dibina kerajaan terlalu kecil. Cuma ada dua bilik dan satu bilik air. Keadaan itu amat tidak selesa terutama jika mempunyai ahli keluarga yang ramai.

Bagaimanapun, nak buat ubah suai rumah lebih-lebih lagi rumah flat atau rumah teres yang bersambung dengan rumah jiran lain bukan boleh dibuat sesuka hati. Ia boleh menyebabkan kerosakan atau keretakan pada rumah jiran sebelah.

Kadangkala binaan tambahan sampai menceroboh tanah dirizabkan. Mungkin ada yang kata, mereka tak kacau orang pun. Tapi bayangkan kalau semua orang buat hal sama.

Semakin banyaklah mereka mencuri hak bukan miliknya.

Mengubah suai rumah yang jauh berbeza daripada struktur asal bangunan perlu mendapat kebenaran bertulis daripada PBT.

Meskipun rumah sendiri, ia tak boleh diubah suai sembarangan.

Berdasarkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pemilik rumah yang mengubah suai tanpa kelulusan boleh dikenakan denda oleh PBT.

Struktur tambahan yang baru dibina boleh dirobohkan. Jika berdegil meneruskan pembinaan, PBT boleh mengheret pemilik rumah ke mahkamah.

Jiran yang tidak selesa dengan kerja ubah suai pula boleh menyaman pemilik rumah jika ia mengganggu, misalnya dari segi keselesaan, keselamatan atau sistem perparitan.

Kes berbalah sesama jiran di Mantin itu mungkin tidak berlaku jika pemilik mengemukakan permohonan kepada PBT.

Ini kerana pemilik rumah juga dikehendaki menghantar Borang Kebenaran Jiran iaitu surat tiada halangan daripada jiran sekiranya kerja-kerja ubah suai melibatkan bahagian rumah yang bersempadan dengan rumah jiran.

Tidak dinafikan proses kelulusan PBT itu akan menyebabkan kos bertambah memandangkan permohonan perlu melibatkan arkitek profesional atau pelukis pelan berdaftar.

Tetapi jangan kerana terlalu ingin berjimat, akhirnya kita juga yang terjerat.

Bagaimana pula dengan penguatkuasaan?

Hakikat bahawa struktur tambahan haram yang begitu jelas menyalahi undang-undang berdiri sekian lama tanpa tindakan penguatkuasaan juga harus diberi perhatian.

Ini kerana ia menggalakkan orang lain untuk melakukan perkara sama kerana berasakan tiada tindakan diambil oleh PBT.

Banyak sebab mengapa ubah suai secara haram tidak berbaloi.

Selain kena kompaun, proses menjual rumah pula menjadi lebih sukar kerana bank tidak mahu memberi pinjaman jika tiada kelulusan PBT. Pihak insurans pula tidak melindungi rumah seperti ini.

Tak salah ubah suai rumah, tapi ikutlah peraturan dan jaga hak jiran.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca