SERING kita terdengar berlaku persaingan antara aplikasi popular sosial media. Demi mendominasi angka persaingan, mereka sanggup lakukan apa sahaja.
Malah, ada social influencer bertindak di luar dugaan demi meningkatkan rating, sekali gus meraih keuntungan berganda.
Salah satu aplikasi sosial media yang sangat diminati ketika ini ialah TikTok. Ia sangat menghiburkan dan boleh menimbulkan ketagihan.
Aplikasi TikTok juga dikenal pasti berpotensi menjadi platform pemasaran dan rangkaian sosial yang seterusnya boleh memberi impak besar kepada kebaikan jika digunakan dengan betul.
TikTok ialah aplikasi media sosial perkongsian video dimiliki syarikat teknologi berpangkalan di Beijing, ByteDance.
Dilancarkan pada 2017 sebagai versi antarabangsa platform Douyin yang popular, TikTok berkembang sangat pantas dan pada 2021, pengguna baharunya dianggarkan seramai 740 juta orang.
Perangkaan Januari sehingga April lalu menunjukkan 29.7 juta pengguna aktif melayari aplikasi perkongsian video TikTok setiap hari menggunakan peranti iOS, manakala 15.54 juta melalui peranti Android di seluruh dunia.
TikTok juga ialah salah satu aplikasi hiburan paling banyak dimuat turun di Apple App Store.
Secara keseluruhan, pengguna dan penonton TikTok dianggarkan seramai 1.8 bilion sehari di seluruh dunia.
Keghairahan melayari TikTok sering menimbulkan keresahan kepada ibu bapa.
Remaja berusia antara 13 dan 17 tahun dikenal pasti melayari TikTok lebih dua jam setiap hari.
Seharusnya senario tersebut menimbulkan kebanggaan kepada TikTok.
Bagaimanapun, baru-baru ini, TikTok mengambil satu keputusan yang sangat positif dengan memberi amaran kepada semua penggunanya agar jangan meluangkan terlalu banyak masa terhadap aplikasi tersebut.
"Sila lakukan perkara lain. Gunakan masa anda untuk perkara lain.” Demikian permintaan TikTok.
Pengurus Projek TikTok, Jordan Furlong menegaskan hubungan positif dengan peranti dan aplikasi digital bukan hanya tentang mengukur masa skrin.
Ia berkait rapat dengan perasaan dan bagaimana kita menggunakan teknologi secara terkawal.
Senario ketagihan sosial media telah dinyatakan ALLAH SWT dalam Surah Al-'Ashr ayat [103:1-3] bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”
Penulis mendapati pada Februari 2020, TikTok telah memperkenalkan had masa skrin harian bertujuan menggalakkan pengguna mengawasi tabiat tontonan mereka.
Pengenalan ‘Pengurusan Masa Skrin’ membolehkan pengguna memilih had masa melibatkan kod laluan empat digit.
Ia bagi menyekat kanak-kanak, remaja atau golongan yang sedang ‘mabuk’ melayari TikTok.
Penulis cuba mengenal pasti negara paling ramai melayari TikTok. Sehingga Januari lalu, Amerika Syarikat (AS) ialah negara dengan penonton TikTok terbesar.
Seramai 136.5 juta penonton ‘terlekat’ dengan platform video sosial yang popular itu.
Indonesia di tempat kedua (99.6 juta), Brazil (74 juta), Rusia (51.3 juta), Mexico (50.52 juta) dan Malaysia menduduki tempat ke-18 iaitu 15.98 juta selepas Perancis (19.3 juta) dan Jepun (16.28 juta).
Jumlah purata minit setiap pengguna dewasa menghabiskan waktu dengan platform TikTok ialah 50 hingga 60 minit sehari.
Penulis berpendapat penggunaan media sosial termasuk Facebook, YouTube, TikTok, Instagram dan Twitter harus bersifat kebaikan.
Ia boleh digunakan untuk tujuan berdakwah atau menyampai ilmu, bukannya mempelbagaikan keburukan.
Modus operandi penggunaan media sosial harus bersifat pluralistik kerana kriteria netizen berbeza dan pelbagai sifatnya.
Kemampuan seseorang penyampai ilmu untuk berkongsi maklumat perlu sentiasa berada pada paksi yang konsisten.
Ia perlukan acuan positif demi membangunkan masyarakat. Kombinasi antara elemen penyampai berita, pengajar ilmu dan pengguna teknologi memerlukan pembangunan intelek, emosi serta spiritual kemanusiaan.
Justeru, penggunaan media sosial termasuk TikTok menjadi wasilah dakwah terkini bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Kesimpulannya jangan terlalu taksub kepada aplikasi sosial media. Sebaliknya, gunakan masa untuk melayari pelbagai aplikasi sosial media termasuk TikTok bagi tujuan positif.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca