PADA 10 Jun lalu, saya merasmikan pertandingan akhir Kejohanan Bola Keranjang Piala Persatuan Bola Kerajang Malaysia (MABA)-MATRIX 2022 di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang. Dalam kejohanan itu pasukan Negeri Sembilan muncul juara... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 10 Jun lalu, saya merasmikan pertandingan akhir Kejohanan Bola Keranjang Piala Persatuan Bola Kerajang Malaysia (MABA)-MATRIX 2022 di Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dalam kejohanan itu pasukan Negeri Sembilan muncul juara setelah mengalahkan Sabah.

Kompleks tersebut ialah dewan serbaguna. Bagi menyesuaikannya untuk kejohanan kebangsaan, lantai bola keranjang dipasang dalam dewan itu. Ia jenis interlocking yang dibuat daripada plastik.

Di Malaysia, gelanggang bola keranjang bertaraf antarabangsa terdapat di Stadium MABA, Kuala Lumpur.

Lantainya dibuat daripada kayu air thurst. Bagi dunia bola keranjang, lantai terbaik, contohnya di NBA, dibuat daripada kayu maple.

Harga lantai bola keranjang tidak mahal. Dengan penyelenggaraan yang baik, ia tahan lama.

Piala MABA-MATRIX ialah kejohanan bukan Cina yang terpenting. Ia bertujuan mengasah bakat pemain bukan Cina, yang akhirnya diharap akan bermain dalam arus perdana bola keranjang negara.

Bagi pasukan lelaki kebangsaan, bermula dengan Zabri Chik (1970-an), hampir setiap pasukan mempunyai pemain bukan Cina.

Pasukan wanita kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 dan 2017 mempunyai dua orang pemain bukan Cina, iaitu Izzati (kapten) dan Kalai.

Pada tahun 1974, sekolah-sekolah berasrama penuh memulakan kejohanan Piala Hamdan (lelaki) dan Piala Zainab (wanita).

Bola keranjang turut diminati di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Semakin ramai bukan Cina bermain di sekolah-sekolah lain manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) ialah antara pasukan universiti terhandal.

Kini, terdapat lebih setengah juta pemain bukan Cina yang bermain bola keranjang. Imej bola keranjang sebagai ‘sukan Cina’ mula berkurang.

Bagi meningkatkan perkembangannya, Presiden MABA yang baru, Datuk Seri Lee Tian Hock telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Bola Keranjang Bukan Cina.

Ia dipengerusikan Liew Yong Choon, pengurus pasukan lelaki kebangsaan (pingat emas Sukan SEA 1989) dan jurulatih Kolej Melayu Kuala Kangsar. Ia dianggotai jurulatih-jurulatih dan bekas-bekas pemain bukan Cina.

Pencapaian pasukan-pasukan bola keranjang kebangsaan kita agak memberangsangkan malah pasukan wanita lebih menyerlah. Dalam Sukan SEA, ia telah memenangi pingat emas sebanyak 11 kali.

Di peringkat Asia, pasukan lelaki kita di ranking 27, pasukan wanita (12), junior lelaki (13) dan junior wanita (lapan). Manakala peringkat dunia, pasukan lelaki 126, wanita (68), junior lelaki (68) dan junior wanita (48).

Selama ini, bola keranjang negara membangun umumnya secara berdikari.

Sekiranya memperoleh bantuan kewangan yang lebih besar daripada kerajaan, serta dengan perancangan dan pelaksanaan pembangunan lebih sistematik, ia mampu melakukan lompatan saujana.

Apa-apa pun, bola keranjang telah berupaya menjadi sukan perpaduan.

* Saifuddin Abdullah ialah Pengasas Liga Bola Keranjang Wanita Malaysia dan bekas jurulatih

Klik di sini untuk terus membaca