SHAH ALAM - Senario lambakan parti baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) apabila agensi kerajaan itu mendedahkan menerima sehingga 199 jumlah permohonan pendaftaran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Senario lambakan parti baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) apabila agensi kerajaan itu mendedahkan menerima sehingga 199 jumlah permohonan pendaftaran parti baharu.

Bagaimanapun, JPPM dalam satu kenyataan kepada Sinar Premium menegaskan jumlah parti diluluskan daripada keseluruhan permohonan pendaftaran berkenaan hanyalah berjumlah 12 buah parti sahaja.

Daripada jumlah 12 parti diluluskan JPPM, 10 daripadanya merupakan parti dari Semenanjung Malaysia, manakala dua adalah dari negeri Sarawak.

Bagaimanapun, JPPM tidak mendedahkan senarai rasmi parti-parti baharu yang diluluskan oleh jabatan berkenaan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan hanya meluluskan 12 daripada keseluruhan 199 permohonan pendaftaran parti baharu selepas PRU14.

"Selain itu, jumlah parti politik yang diluluskan sejak zaman kemerdekaan negara sehingga kini masih 67 buah dengan bilangan cawangan bagi keseluruhan parti-parti politik berkenaan mencecah 84,726 buah.

"Daripada jumlah itu, JPPM memaklumkan 36 parti politik adalah didaftarkan di kawasan Semenanjung Malaysia, Sarawak (13) dan Sabah (18).

"Bagi jumlah pendaftaran badan bukan kerajaan (NGO) pula, 83,260 NGO induk berjaya direkodkan pendaftaran sejak zaman kemerdekaan dengan bilangan NGO cawangan pula berjumlah 11,164 buah.

"Justeru, jumlah keseluruhan pertubuhan yang diluluskan pendaftaran oleh JPPM adalah 179,217 buah,” kata jabatan tersebut.

Berdasarkan angka pendaftaran parti baharu diluluskan JPPM, ternyata jabatan kerajaan berkenaan menetapkan prosedur amat ketat dalam meluluskan permohonan pembentukan sesebuah parti politik baharu berlandaskan keperluan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

Berikutan itu, JPPM menolak tanggapan sebarang keputusan meluluskan atau membatalkan permohonan pendaftaran parti baharu mendapat tekanan atau sekatan daripada mana-mana pihak.

"Hal ini dijelaskan lagi sebagaimana di bawah Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 mengenai Kuasa-Kuasa Pendaftar yang diberi oleh akta ini tanpa adanya sekatan atau tekanan daripada mana-mana pihak,” jelas JPPM lagi.

Sebagai contoh, JPPM mendedahkan sejumlah sembilan parti politik telah dibatalkan pendaftarannya sehingga kini setelah didapati tidak memenuhi keperluan Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Ujar jabatan itu, Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] menetapkan tiap-tiap pertubuhan berdaftar hendaklah dalam masa 60 hari selepas mengadakan mesyuarat agung tahunan atau sekiranya tiada mesyuarat agung diadakan dalam tempoh 60 hari selepas berakhirnya setiap tahun kalendar, mengemukakan kepada Pendaftar JPPM beberapa maklumat termasuk penyata kewangan.

Pemantauan

"Pemantauan terhadap pertubuhan berdaftar dilaksanakan melalui semakan penyata tahunan yang dikemukakan oleh pertubuhan atau parti politik.

"Selain itu, JPPM juga melaksanakan pemeriksaan ke atas pertubuhan bagi membuat semakan dokumen-dokumen pertubuhan sama ada secara bernotis atau tanpa notis.

"Penghantaran Penyata Tahunan merupakan mekanisme JPPM menilai status keaktifan sesebuah pertubuhan termasuk parti politik,” kata JPPM lagi.

Berdasarkan semakan dalam laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 61 parti dikenal pasti didaftar di bawah agensi yang menguruskan proses pilihan raya berkenaan sehingga kini.

Analisis Sinar Premium turut mendapati sejumlah 12 parti baharu diluluskan JPPM dan didaftar di bawah SPR selepas PRU14 iaitu Ikatan Demokratik Malaysia (Muda); Parti Bangsa Malaysia (PBM); Parti Damai Sabah (SPP); Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman); Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Kemajuan Malaysia.

Logo Muda
Logo Putra
Logo Pejuang

Selain itu, parti lain dikenal pasti baru daftar adalah Perikatan Nasional (PN); Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan); Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar); Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra); Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Meneliti prestasi parti-parti baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tahun lalu, tiada parti selain Muda dan PN (gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Pas dan Gerakan) yang benar-benar memberi impak serius kepada parti-parti dominan sedia ada.

Impak atau kehadiran mereka dalam landskap politik tanah air hanya akan terjawab pada PRU15 kelak.

Klik di sini untuk terus membaca