SHAH ALAM - Kajian terhadap penggunaan daun ketum dalam kesihatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan tumbuhan itu benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Timbalan Dekan Penyelidikan Inovasi dan Libatsama Industri Komuniti, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Paramjit Singh Jamir Singh berpandangan, setakat ini tiada kajian yang mengatakan penggunaan daun ketum memberi kesan tidak baik kepada tubuh badan manusia.
"Memang sudah banyak kajian dilakukan, namun masih memerlukan kajian menyeluruh bagi memastikan (pengunaan) daun ketum tidak baik untuk kesihatan. Bagi saya, tiada kajian mengatakan ketum tidak baik, ia hanya persepsi masyarakat yang mengatakan sedemikian.
"Kalau kita lihat kegiatan penanaman daun ketum semakin berleluasa, malah ada juga kebun ketum diusahakan secara moden, berskala besar, mempunyai sistem saliran dan pengairan yang baik bagi memastikan tumbuhan itu segar.
"Apabila kerajaan Thailand membenarkan penjualan daun ketum dibuat secara sah, ini merupakan faktor yang kita boleh lihat dan belajar daripada mereka. Mungkin bagi mereka kajian telah membuktikan ia memberi kesan baik terhadap kesihatan, namun masih perlu melihat penggunaannya dalam konteks Malaysia,” katanya pada program Wacana Sinar edisi 352 bertajuk ‘Ketum: Yes or No' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis ialah Pensyarah Kanan Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan USM, Dr Darshan Singh dan Setiausaha Kehormat Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Razali Latif manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu Dr Paramjit Singh berkata, para penyelidik di negara ini sudah bersedia untuk menjalankan kajian berkaitan ketum secara menyeluruh namun terikat dengan Akta Racun 1992.
"Ketum diletakkan bawah akta berkenaan dan ia akan timbul sedikit dilema dan salah faham kepada pihak berkuasa.
"Apabila nak membangunkan ketum sebagai perubatan tradisional, tanaman ketum perlu dilakukan secara besar-besaran, diproses hingga jadi ‘end product’ sebelum boleh dijadikan perubatan tradisional.
"Sekarang ini di bawah akta berkenaan, apabila memproses, memiliki dan menjual (daun ketum), ia jadi satu kesalahan. Oleh itu akta tersebut perlu dilihat semula untuk memastikan ketum betul-betul memberi manfaat kepada industri perubatan,” katanya.