SHAH ALAM - Masyarakat perlu diberi maklumat yang betul dan tepat berdasarkan hasil kajian serta dapatan penyelidik mengenai penggunaan ketum sebagai alternatif rawatan kesihatan.
Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Darshan Singh berkata, persepsi masyarakat di negara ini lebih tertumpu kepada keburukan ketum berbanding manfaat tumbuhan itu kepada pengguna.
"Berdasarkan kajian, ketum bukan satu bahan yang bahaya jika dibandingkan dengan dadah seperti heroin dan ganja, namun perlu ada intervensi untuk halang golongan remaja dan belia untuk aktiviti penggunaan ketum.
"Golongan ini terdedah kepada pelbagai jenis dadah dan mereka lihat penggunaan ketum sebagai bahan yang boleh digunapakai atau salahgunakan untuk mengalami kesan euphoria.
"Jadi kita perlu didik mereka supaya tidak menyalahgunakan ketum dengan mencampurkan ubat batuk dan sebagainya,” katanya pada program Wacana Sinar edisi ke 352 bertajuk ‘Ketum: Yes or No?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis adalah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri Komuniti Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Profesor Madya Dr Paramjit Singh Jamir Singh dan Setiausaha Kehormat Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Razali Latif manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Mengulas lanjut Dr Darshan berkata, masyarakat kini bimbang dan takut jika kerajaan benarkan penanaman dan penggunaan ketum secara berleluasa.
"Sebagai penyelidik, dapatan menunjukkan ketum tidak ada kaitan dengan sebarang penyakit utama di Malaysia. Saya tidak pernah tengok pengguna ketum dikejarkan ke wad kecemasan dan tidak pernah dilaporkan juga masalah kesihatan serius akibat ketum.
"Saya tidak pernah lihat pengguna ketum dijangkiti HIV atau melakukan aktiviti jenayah berbanding penagih dadah lain yang tingkah lakunya lebih kejam. Saya percaya masyarakat tidak perlu bimbang dengan isu penggunaan ketum,” katanya.
Dalam pada itu Dr Darshan menjelaskan, ketum digunakan untuk beberapa tujuan kesihatan disamping sebagai pengganti kepada ketagihan dadah jenis heroin selain merawat kebergantungan terhadap dadah itu.
"Ketum juga digunakan untuk mengurangkan gejala ‘tarikan’ heroin dan bagi mereka yang berjaya dirawat di pusat pemulihan atau penjara, ketum digunakan sebagai bahan untuk mengekalkan proses pemulihan.
"Telah dibuktikan penggunaan ketum tidak merbahaya dan selamat dibangunkan untuk nilai perubatan,” tegasnya.