MENURUT Pusat Rujukan Persuratan Melayu, perkataan ‘bebal’ ditafsirkan sebagai bodoh dan melakukan bermacam-macam kesalahan. Namun begitu, pentafsiran ‘tumpul otak’ adalah lebih sesuai dengan konteks penulisan saya hari ini. Adalah... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT Pusat Rujukan Persuratan Melayu, perkataan ‘bebal’ ditafsirkan sebagai bodoh dan melakukan bermacam-macam kesalahan. Namun begitu, pentafsiran ‘tumpul otak’ adalah lebih sesuai dengan konteks penulisan saya hari ini.

Adalah lumrah, tiada sesiapapun akan mengaku mereka bebal. Pun begitu, sikap mereka yang malas berfikir, cari ilmu, suka membantah dan memperlekehkan orang lain telah menzahirkan lagi sifat bebal mereka.

Sebetulnya, sifat bebal yang digabungkan pula dengan sifat taksub akan menggandakan lagi sifat bebal mereka. Apa tidaknya, segala hal adalah bergantung kepada orang lain untuk menentukan hala tuju kehidupan mereka. Tambahan pula dengan taksubnya sokongan kepada individu dan kumpulan tertentu, maka apa sahaja yang dizahirkan oleh mereka adalah semuanya benar walaupun bercanggah dari segi logik dan realiti.

Saya masih ingat beberapa tahun dahulu sewaktu menaiki kenderaan untuk ke sebuah universiti di negara Asia Selatan, jalannya sangat teruk dan berkilometer jaraknya. Pada masa yang sama, beratus sepanduk dan poster pilihan raya terpacak dan tergantung di sepanjang jalan.

Saya bertanya kepada pemandu, "Sejak bila jalan teruk sebegini?” Jawab beliau, "Sudah hampir 10 tahun.” Saya pun mencelah, "Kalau begini keadaannya, janganlah undi lagi kerajaan ini lagi.” Beliau dengan cepat menjawab, "Oh, tidak boleh, kena kekalkan kerajaan yang ada kerana belum tentu lagi kerajaan selepas ini boleh lakukan yang terbaik sebagaimana kerajaan sekarang.”

SOAL BIJAKSANA

Berkaitan dengan kemudahan jalan raya, saya pernah ke tempat ceramah untuk mendengar gagasan perjuangan mereka untuk rakyat. Menurut penceramah, "Jalan yang buruk bukan menggambarkan kerajaan memerintah adalah teruk, namun sekurang-kurangnya apabila kenderaan kita jatuh ke dalam lubang, setidaknya kita akan ingat kepada ALLAH SWT dengan menyebut ‘Subhanallah’, ‘Allahhuakhbar’ dan sebagainya.” Apa yang pelik, penyokong masih tetap mempertahankan kenyataan itu. Justeru, adakah masih belum dianggap bebal dengan situasi tersebut?

Begitu juga dengan ceramah daripada agamawan, walaupun kenyataan yang dikeluarkan penuh kontroversi dan bercanggah dengan sunnah, namun pengikut masih mempertahankan agamawan berkenaan.

Malah, perlakuan dengan membesar dan memuja agamawan menjadi kelaziman dan semakin ketara apabila sudah bebal atau tumpul pemikiran (menerima tanpa bahas). Yang jelas, sikap bebal ini sangat jauh daripada sikap bijaksana.

Berbicara soal bijaksana, menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Pribadi Hebat, "Hikmat kebijaksanaan adalah tiang yang kukuh bagi pertumbuhan peribadi, timbulnya kebijaksanaan adalah kerana ilmu, ketetapan hati dan kerana meletakkan sesuatu pada tempatnya serta menilik sesuatu berdasarkan nilainya.

Orang yang bijaksana tepat pendapatnya, jauh pandangannya dan baik tafsirnya. Dia dapat memilih mana yang benar dan mana yang salah, memilih mana yang patut dikerjakan dan mana yang patut ditinggalkan. Ia pun kenal tempat dan tahu waktu. Tampak kepadanya lubang yang akan dimasukinya dan jalan yang akan dilaluinya. Jika menegakkan suatu hukum, ia tidak akan memasukkan pengaruh hawa nafsunya dalam keputusan. Tidak berudang di balik batu dan adil. Jika tiadanya bijaksana, pendirian akan goyah dan pandangan tumpul, lalu hilanglah nilai peribadi. Tidak tentu ke mana akan ditujukan hidup ini.”

Selain itu, menurut perspektif Islam, tanpa menggunakan akal, kita akan terdorong ke dalam kelompok yang tidak bersyukur sebagaimana firman ALLAH SWT, "Dan ALLAH mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl, 16:78). Justeru, jangan jadi bebal untuk selamanya.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca