PERTAMA kali saya bekerja dengan kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009 adalah ketika menghasilkan buku dwibahasa sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak itu, saya telah menyertai Konsert... Klik di sini untuk terus membaca

PERTAMA kali saya bekerja dengan kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009 adalah ketika menghasilkan buku dwibahasa sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sejak itu, saya telah menyertai Konsert Diraja UKM sebanyak sembilan kali, bermain skuasy dan tenis bersama pelajar serta menembak bersama pegawai beruniform UKM. Bersama Institute of Malaysian and International Studies (IKMAS) pula, saya telah berucap di pelbagai forum; terinspirasi oleh lapan kohort ASEAN Youth Volunteer Programme; mempelajari banyak perkara daripada keindahan alam yang menakjubkan di Pusat Penyelidikan Langkawi milik UKM; serta mendapat pencerahan daripada siri Syarahan Canselor.

Prasarana perubatan UKM - diwakili oleh Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan hospital kanak-kanak baharu, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani - telah menjadi lokasi penyembuhan dan juga kesedihan kepada keluarga saya serta beribu lagi rakyat Malaysia, terutamanya ketika kemuncak Covid-19 iaitu sewaktu Dana Kecemasan Hospital IDEAS membantu membekalkan peralatan perubatan.

Oleh itu, saya amat berbesar hati apabila Graduate School of Business UKM menganjurkan Tunku Zain Lecture Series, meminta saya untuk memberikan syarahan perdananya dan memperoleh sokongan daripada keseluruhan warga universiti. Ia merupakan lokasi yang tepat untuk membincangkan tentang mengambil peluang untuk pembaharuan negara.

‘Normal’ atau ‘kebiasaan’ tidak akan sama lagi apabila kesedaran dari Covid-19 tertanam dalam kehidupan kita. Dari segi ekonomi, pemangkin kepada transformasi digital bermaksud bahawa banyak organisasi – daripada badan-badan pemikir menganjurkan persidangan kepada peruncitan termasuk perusahaan sosial menyokong kraftangan Orang Asli, penjagaan kesihatan, pendidikan, perbankan, insurans malah kehakiman - akan memerlukan tenaga kerja yang celik digital. Hal ini sendiri memerlukan peningkatan kemahiran dan pemahiran semula seluruh masyarakat.

Kejayaan projek ini bergantung pada pelbagai institusi dalam negara kita, bermula daripada Perlembagaan Persekutuan. Sejak merdeka, ia telah berjaya mengeluarkan berjuta-juta rakyat daripada kemiskinan, mencipta satu kelas pertengahan baharu dan membuatkan dunia membangun merasa cemburu kepada Malaysia.

BAKAT

Tetapi pembaharuan harus sentiasa berlaku. Pelabur mahukan kestabilan dan perniagaan mahukan dasar-dasar yang berasaskan bukti. Rakyat Malaysia yang muda dan berkemahiran akan kekal apabila mereka merasa diperlukan, bakat antarabangsa akan datang apabila terdapat peluang dan pelarian intelektual tidak akan berlaku apabila persekitaran pengawalseliaan adalah betul.

Demokrasi sebagai satu konsep sedang menghadapi pelbagai cabaran walaupun di negara-negara yang demokrasinya sudah matang. Keyakinan terhadap institusi terpecah disebabkan penafsiran yang amat berbeza - Amerika Syarikat merupakan contoh yang paling jelas – kita di Malaysia perlu bekerja keras untuk membuat penegasan terhadap kesahan yang ditetapkan oleh generasi terdahulu. Jika tidak, kita juga akan mengalami kelumpuhan disebabkan golongan demagog populis mengenakan tafsiran mereka sendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan - atau menolaknya sama sekali.

Pembaharuan Parlimen adalah kunci utama mengenai perkara ini. Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik - contoh saranan masyarakat sivil boleh menjadi undang-undang - telah meluaskan daftar pemilih manakala jawatankuasa khas pilihan Parlimen telah memberikan ahli-ahli Parlimen bukan kabinet peranan yang bermakna dalam menambah baik perundangan (berbanding hanya menurut arahan ketua whip parti). Usaha untuk menyelesaikan isu lompat parti berterusan, tetapi perlu juga memasukkan pembaharuan dalaman parti untuk mendemokrasikan pemilihan calon parti. Sebagai sekretariat kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik, IDEAS akan terus memperjuangkan pendanaan yang telus dalam politik tanah air.

Di tengah-tengah agenda pendigitalan adalah meletakkan kuasa lebih hampir kepada rakyat dan struktur persekutuan Malaysia memberikan satu kerangka kerja yang logik tentang hal ini. Persaingan dasar yang lebih baik - dan kita sudah pun melihat ini berlaku disebabkan oleh Sabah dan Sarawak - akan menyebabkan lebih banyak inovasi dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Pada kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri, institusi semak dan imbang perlu menjalankan tanggungjawab berperlembagaan mereka. Seperti yang ditunjukkan ketika pandemik, Raja-Raja boleh menggalakkan kestabilan dan menyekat situasi darurat yang zalim dan baru-baru ini menghalang ekstrimisme yang menggunakan nama agama. Institusi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman perlu melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik. Sebuah masyarakat sivil yang aktif dan mempunyai kebebasan akhbar amat penting dalam mengaudit badan-badan yang disebutkan ini di samping memberi ulasan terhadap dasar kerajaan.

RANTAIAN BEKALAN

Paling penting dalam jangka panjang, pendidikan sivik perlu ditambah baik dengan drastik agar setiap rakyat Malaysia memahami kepentingan semua institusi ini: bahawa kandungan dan pelaksanaan Perlembagaan Persekutuan sebenarnya penting kepada kehidupan mereka.

Walaupun begitu, usaha tersebut perlu mengakui bahawa kedudukan sebenar Malaysia dalam dunia yang amat kompleks ini. Covid-19 dan peperangan menunjukkan kerapuhan rantaian bekalan; geopolitik mempunyai kesan besar terhadap politik tempatan; dan kita perlu bekerjasama dengan orang lain untuk mengekang ekstremisme dan akhirnya mencapai kemapanan dan kesihatan planet melalui perjanjian antarabangsa yang bermakna dan memperkasakan institusi serta rakyat untuk bekerjasama merentasi sempadan.

Semua aspek ini wujud dalam satu rangkaian sesawang yang saling berkait, dan kita semua mempunyai peranan masing-masing untuk mengukuhkan serta meluaskan perhubungan. Dengan cara ini, satu malapetaka yang berlaku di satu tempat tidak akan meruntuhkan keseluruhan sistem. Sebaliknya, inspirasi yang paling kecil boleh berkembang berlipat kali ganda. Saya berharap itulah yang akan dilakukan oleh para pensyarah Tunku Zain Lecture Series ini nanti.

Tulisan ini adalah ringkasan daripada Syarahan Perdana Tunku Zain di UKM pada 8 Jun 2022

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit

Klik di sini untuk terus membaca