PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menolak dakwaan kononnya 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu akan mengikut jejak langkah Datuk Zuraida Kamarudin meninggalkan parti dan menyertai PBM, dalam masa terdekat. Hamzah yang... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menolak dakwaan kononnya 10 lagi Ahli Parlimen Bersatu akan mengikut jejak langkah Datuk Zuraida Kamarudin meninggalkan parti dan menyertai PBM, dalam masa terdekat.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menegaskan, walaupun Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa mempunyai ramai pengikut, namun hanya beberapa sahaja bersamanya.

"Sebenarnya Zuraida cakap saja, dulu ramai pengikutnya dari PKR sertai Bersatu tetapi hakikatnya tidak ramai berbuat demikian.

"Dia hanya membuat dakwaan konon beratus ribu pengikutnya (dari PKR) sertai Bersatu, namun hanya beberapa pemimpin tertentu sahaja.

"Jadi tidak ramai pengikutnya keluar parti kerana tiada yang berdaftar dengan Bersatu pun.

"Jadi angka yang kita keluarkan adalah jumlah sebenar berdaftar sebagai ahli Bersatu.

"Bagaimanapun saya hanya boleh dedahkan jumlah sebenar ahli Bersatu pada setiap kali Mesyuarat Agung Tahunan (AGM),” katanya ketika sesi temu bual bersama Sinar Premium dan sebuah akhbar berbahasa Cina di pejabatnya, pada Khamis.

Hamzah turut menafikan bahawa Lembaga Disiplin Bersatu lambat mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida, biarpun Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sudah mengarahkan mereka berbuat demikian sejak Februari lalu.

"Tidak lambat. Kita buat mesyuarat MPT dan kira-kira seminggu kemudian Bersatu keluarkan surat tunjuk sebab, sebelum Zuraida membalasnya dua minggu kemudian. Tiga hari kemudian, dia (Zuraida), umum keluar Bersatu dan sertai PBM,” ujar beliau.

Hamzah turut menolak khabar angin bahawa beliau juga akan keluar daripada Bersatu dan kembali menyertai UMNO, pada masa depan.

Tegas Hamzah lagi, tiada ada sebab kenapa beliau akan kembali menyertai UMNO selepas keluar daripada parti berkenaan, sebelum ini.

Ahli Parlimen Larut itu juga memaklumkan, beliau tidak akan menyertai UMNO semata-mata kerana ada pihak tertentu mendakwa parti berkenaan kini semakin kuat dan kembali mendapat sokongan majoriti rakyat di Malaysia.

"Macam mana kamu tahu UMNO sekarang semakin kuat dan mendapat sokongan majoriti rakyat?

"Saya bertanya kepada kamu berapa jumlah negeri di Malaysia sekarang? Oklah kamu kata, kita ada 13 negeri di Malaysia tetapi daripada jumlah itu, berapa negeri dikuasai UMNO sekarang?

"Adakah Sarawak dan Sabah dikuasai oleh UMNO? Jawapannya tidak. Kelantan, Terengganu dan Kedah juga bukan di bawah pemerintahan (UMNO) tetapi Pas.

"Begitu juga tiga negeri lain termasuk Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan dikuasai parti pembangkang.

"Justeru, macam kamu boleh dakwa saya akan kembali kepada UMNO kerana mereka semakin kuat?” soalnya.

Dalam pada itu, Hamzah enggan mengulas lanjut pertanyaan wartawan mengenai dakwaan sama ada beliau akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam rombakan kabinet yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak lama lagi.

Klik di sini untuk terus membaca