SHAH ALAM - Di mana pekerja kami? Itulah persoalan paling besar yang sedang bermain dalam fikiran majikan-majikan di Malaysia apabila walaupun puluhan ribu permohonan pekerja asing untuk sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan telah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di mana pekerja kami? Itulah persoalan paling besar yang sedang bermain dalam fikiran majikan-majikan di Malaysia apabila walaupun puluhan ribu permohonan pekerja asing untuk sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan telah diluluskan kerajaan, tetapi difahamkan hanya beberapa ribu pekerja yang dapat masuk bekerja.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian dengan beberapa majikan, selain proses permohonan yang mengambil masa yang sangat panjang, setelah lulus permohonan pelbagai proses lain terutamanya melibatkan pihak ketiga merumitkan lagi penempatan pekerja di ladang dan premis majikan.

"Walaupun telah sekian lama kerajaan umum boleh masuk pekerja asing, saya rasa tidak sampai 10 peratus pekerja yang sudah masuk bekerja.

"Temu janji dengan agensi tertentu sahaja mengambil masa sebulan, bayangkan bila pekerja yang dah lulus baru boleh masuk," keluh seorang majikan.

MAKIN MERUNCING

Dalam pada itu, kelewatan penempatan pekerja asing walaupun pengumuman kemasukan telah dibuat sejak Oktober lalu menyebabkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan situasi itu semakin meruncing.

Syed Hussain

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, sebagai contoh di sektor perladangan yang mengalami kekurangan kira-kira 72,000 pekerja, kini berdepan kerugian mencecah RM30 bilion.

"Sebelum ini kerajaan umum pada bulan September 2021 untuk membawa masuk 32,000 pekerja asing untuk sektor perladangan tetapi sehingga kini ia masih belum dilaksanakan.

"Sektor perladangan telah cuba untuk melihat kesesuaian menggunakan teknologi untuk kerja ladang seperti penuaian kelapa sawit tetapi ia masih tidak dapat mengatasi masalah kerana penggunaan teknologi di sektor ini dilihat kurang efisien,” katanya.

Selain itu tambahnya, sektor pembuatan pula menghadapi kekurangan kira-kira 40 peratus tenaga kerja dan perkara itu menyebabkan majikan terpaksa menolak tempahan diterima kerana tidak mempunyai jumlah pekerja yang mencukupi.

"Sektor perhotelan pula menerima banyak aduan perkhidmatan yang kurang memuaskan kerana mereka tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi,” ujar beliau.

Menurutnya, usaha bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing melalui Pelan Rekalibrasi diumumkan oleh kerajaan sebelum ini juga masih tidak berjaya mengatasi masalah yang dihadapi.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan agar Pelan Rekalibrasi tersebut disemak semula agar lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dijadikan pekerja asing yang sah.

Beliau turut mencadangkan agar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berjumlah kira-kira 168,000 orang di negara ini dibenarkan untuk diambil bekerja.

"Menurut UNHCR, kira-kira 60 peratus daripada pelarian dan pencari suaka politik di Malaysia adalah dalam kalangan mereka yang boleh diambil bekerja,” ujarnya.

SEKTOR PEMBINAAN PERLU 5 JUTA PEKERJA

Dalam pada itu, sektor pembinaan memerlukan lebih lima juta pekerja warga asing bagi memenuhi keperluan syarikat kontraktor yang semakin rancak membangunkan projek seluruh negara.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, kekurangan pekerja menyebabkan banyak projek pembangunan terpaksa diperlahankan ekoran kekurangan pekerja.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan dan mendapat kebenaran kembali bekerja seperti biasa, banyak syarikat pemaju mula membangunkan projek pembinaan secara serentak.

Sebanyak 14,000 permohonan penggajian pekerja asing bagi sektor pembinaan telah diluluskan kerajaan. - Gambar hiasan

"Sebagai contoh di kawasan utara seperti di Kulim (Kedah) dan Kepala Batas (Pulau Pinang), beribu rumah sedang dalam pembinaan. Semua projek ini ‘demand’ pekerja," katanya.

Mohamed Fadzill berkata, ketika ini sudah timbul isu ‘curi’ pekerja dalam kalangan syarikat kontraktor dengan menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja asing.

Ujarnya, syarikat kontraktor sanggup membayar sehingga RM120 sehari kepada pekerja warga asing untuk menarik minat mereka bertukar majikan berbanding RM80 sehari sebelum ini.

PERMUDAHKAN PROSES AMBIL PEKRJA

Sementara itu, kerajaan digesa untuk menyemak semula dan memudahkan proses kemasukan pekerja asing di negara ini.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid berkata, ia kerana, urusan tersebut terlalu sukar sehingga mengakibatkan proses kemasukan menjadi lambat.

Katanya, jika proses itu dimudahkan, aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak akan berleluasa.

"Jangan menyusahkan kemasukan warga asing. Apabila menyusahkan, itu ada ruang untuk penyelewengan. Kalau proses senang, adalah lebih baik. Ini kerana banyak sektor yang memerlukan pekerja asing ini.

"Kalau kita minta lima pekerja asing, perlu dapat lima. Ini tidak, kita minta lima, yang dapatnya dua pekerja sahaja,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca