SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenepikan spekulasi dua pemimpin parti itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincangkan sebarang usaha meraih sokongan politik dari sudut kedua-dua pihak.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perkara seumpama itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan parti setakat ini.
Menurutnya, beliau juga tiada maklumat sama ada pertemuan itu berlaku atau tidak, atau pun siapa individu yang terlibat.
Hakikatnya, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berpandangan akar umbi dan penyokong PKR pastinya sukar untuk menerima kehadiran figura politik kontroversi seperti Mohamed Azmin yang pernah keluar PKR sebelum ini.
"Hal ini tidak ada dibincangkan di peringkat pimpinan PKR. Saya tiada maklumat sama ada pertemuan tersebut berlaku mahupun tidak, siapa yang hadir ataupun tidak.
"Akar umbi parti dan penyokong parti sukar untuk terima semula figura kontroversi seperti Azmin," ujarnya.
Sebuah portal media tempatan melaporkan terdapat spekulasi Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dikatakan bertemu dengan dua pemimpin PKR, di tengah-tengah spekulasi berkaitan masa depannya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sumber-sumber memberitahu portal berkenaan bahawa pertemuan itu berlangsung pada Rabu lalu di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.
"Ia berlangsung selama sejam,” kata satu sumber.
Mohamed Azmin bagaimanapun sebelum ini mengeluarkan kenyataan yang menegaskan komitmen beliau kepada Bersatu yang dipimpin Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kedudukan Mohamed Azmin kini menjadi perhatian selepas bekas rakan separtinya, Datuk Zuraida Kamaruddin meninggalkan Bersatu dan kini dilantil sebagai 'pengganti Presiden' Parti Bangsa Malaysia (PBM) minggu lalu.
Sementara itu, kenyataan Fahmi turut disahkan Pegawai Khas kepada Presiden PKR yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
"Setakat ini, kami tiada maklumat berkenaan perkara itu, " katanya.
Klik di sini untuk terus membaca