SHAH ALAM - Masalah kekurangan pekerja asing disebabkan kadar kemasukan yang rendah memberi kesan besar kepada operasi restoran mamak.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, antara kesannya menyebabkan layanan terhadap pelanggan menjadi lambat dan restoran tidak dapat beroperasi sehingga 24 jam.
Menurut beliau, sehingga kini, hanya 20 daripada 10,000 premis di bawah persatuannya yang berjaya mendapat pekerja asing.
"Sekarang ini, tidak sampai lima peratus restoran mamak yang mampu buka 24 jam. Ini kerana kekurangan sumber tenaga seperti pekerja asing.
"Kalau datang restoran mamak ini, orang suka perkhidmatannya sebab laju dan juga kebersihannya. Kalau pekerja kurang, tidak menang tangan. Jadi ia memberi kesan kepada reputasi restoran itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, meskipun sektor tersebut hanya mendapat empat peratus daripada keseluruhan pekerja asing, namun ia memberikan kesan kepada pengusaha restoran.
"Sungguhpun perkhidmatan pekerja asing di sektor lain diperlukan, tetapi kami juga amat memerlukannya agar dapat kembali seperti dahulu.
Dalam masa sama, beliau menggesa agar kerajaan memudahkan proses membawa masuk pekerja asing dan tidak perlu mewujudkan pihak perantara ataupun pihak ketiga.
"Tidak perlu ada banyak vendor sangat. Ia amat merumitkan sebab banyak sangat prosedur. Vendor-vendor yang ada juga kurang memberi kerjasama. Jadi, proses semakin lambat,” ujarnya.
Jelasnya, kemasukan pekerja asing perlu disegerakan memandangkan anak tempatan kurang berminat untuk bekerja di sektor tersebut.
FMM GESA BENARKAN PROSES TEMU DUGA DI NEGERI-NEGERI
Dalam pada itu, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan membenarkan proses temu duga majikan yang memohon untuk mendapatkan pekerja asing dijalankan di negeri-negeri bagi mempercepatkan kelulusan dan kemasukan kumpulan berkenaan ke negara ini.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengurangkan kesesakan permohonan pekerja asing yang hanya dilaksanakan di Putrajaya ketika ini.
Ujarnya, kekurangan tenaga kerja asing memberi tekanan yang cukup besar kepada industri terutamanya pembuatan, sekali gus boleh merencatkan momentum perniagaan yang semakin berkembang selepas Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada April lalu.
"Kekurangan tenaga kerja asing itu perlu diisi segera terutamanya dalam kategori kerja tidak mahir memandangkan sektor berkenaan mengalami penurunan mendadak kerana ramai pekerja yang tamat permit dan tempoh bekerja semasa tempoh pandemik Covid-19 telah pulang ke negara masing-masing.
"Lebih memeritkan, majikan tidak dapat menggantikan pekerja yang pulang ke negara mereka kerana pembekuan pengambilan pekerja asing dan ia hanya (pembekuan) itu hanya ditarik balik pada 15 Februari lalu.
"Terdapat juga beberapa prosedur lain yang terus menimbulkan cabaran kepada majikan untuk meneruskan perniagaan,” katanya.
AMBIL INISIATIF LAIN
Sementara itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terpaksa mengambil inisiatif lain dalam menangani isu kekurangan pekerja disebabkan jumlah pekerja asing yang dibawa masuk belum mencukupi.
Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hasan berkata, inisiatif yang diambil adalah dengan menyediakan dua program besar sebagai peluang pekerjaan kepada belia dan generasi kedua Felda untuk bekerja di bahagian ladang.
Ujarnya, program tersebut adalah pengambilan brigade operasi ladang dan kerja borong kecil yang telah melahirkan 3,000 pekerja dalam kalangan warga tempatan.
"Dalam Felda memang tidak dinafikan mempunyai masalah kekurangan pekerja asing. Namun, kita cari jalan penyelesaian terbaik untuk selesaikan isu ini melalui anak-anak peneroka atau belia dengan menawarkan beberapa pekerjaan di ladang.
"Dan kini, kita juga telah mempunyai mekanisme di ladang yang boleh memudahkan kerja. Kaedah ini mengurangkan penggunaan tenaga di ladang,” katanya.
Menurut beliau, Felda kekurangan 5,000 pekerja asing disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan akibat penularan Covid-19 pada dua tahun lalu.
"Semasa PKP, mereka pulang ke negara asal. Kemudian mereka tidak boleh masuk semula. Sejak itu, Felda kekurangan pekerja asing,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca