PADA Isnin, negara dikejutkan dengan fenomena pasaran saham menjunam sekali lagi di seluruh dunia, dengan bursa utama Amerika Syarikat (AS), Wall Street secara rasmi terjerumus ke dalam pasaran penurunan. Media antarabangsa, AFP melaporkan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Isnin, negara dikejutkan dengan fenomena pasaran saham menjunam sekali lagi di seluruh dunia, dengan bursa utama Amerika Syarikat (AS), Wall Street secara rasmi terjerumus ke dalam pasaran penurunan.

Media antarabangsa, AFP melaporkan pasaran global bergolak selepas data harga pengguna terkini AS menunjukkan nilai bitcoin jatuh pada paras terendah dalam tempoh 18 bulan.

Dolar AS terus melonjak lebih tinggi, harga minyak mentah mencatatkan turun naik dengan ketara dan paling membimbangkan, inflasi AS mencecah paras tertinggi dalam empat dekad pada Mac dan masih kekal tinggi sehingga nilai 8.5 peratus masa kini, kenaikan terbesar sejak tahun 1981.

Berikutan kemelut kenaikan inflasi meruncing, para pelabur menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) akan bertindak mengenakan kenaikan kadar faedah lebih agresif.

Susulan Wall Street boleh dianggap sebagai penanda aras kepada kedudukan pasaran bursa saham negara-negara yang mengamalkan ekonomi terbuka termasuk Malaysia, implikasi pasaran penurunan oleh bursa utama AS itu memberi suasana negatif kepada negara-negara Asia.

Dengan Goldman Sachs meramalkan kenaikan kadar faedah 75 mata asas pada mesyuarat dasar Fed seterusnya pada Rabu, Bursa Malaysia di Kuala Lumpur terus menyaksikan aliran penurunan pada sesi awal Selasa.

Hal ini berikutan pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran serta impak jualan ketara semalaman di Wall Street.

JANGKAAN KENAIKAN OPR

Bagi beberapa pakar ekonomi dan penganalisis kewangan, senario terkini bursa tempatan yang turut berdepan dengan trend jualan saham secara besar-besaran oleh pelabur, tidak mustahil mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan jangkaan sehingga 50 mata asas (bps) dalam masa terdekat.

Pakar Kewangan Islam dan Pensyarah Kanan Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Razli Ramli berkata, cadangan itu dianggap logik pada saat BNM dan kerajaan perlu bersedia menyerap sebarang tekanan ekonomi disebabkan langkah susulan Fed AS kelak.

"Langkah Fed AS memenuhi prediksi menaikkan kadar faedah lebih agresif dijangka menjadikan pasaran ekonomi negara itu lebih mengukuh.

"Namun ia akan memberi kesan sampingan kepada Malaysia kerana para pelabur yang bertapak di negara ini, berkemungkinan akan lebih tertarik untuk melabur dan menjalankan urus niaga saham di sana.

"Memandangkan Malaysia tidak boleh mengambil risiko lebih banyak mata wang Ringgit Malaysia (RM) dialirkan keluar, ada kemungkinan kenaikan tambahan 25 hingga 50 mata asas OPR bakal dipertimbangkan BNM dalam masa terdekat," ujarnya kepada Sinar Premium baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Razli yang juga Felo Anjung, IIiBF Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjelaskan, sekiranya prediksi itu menjadi realiti, langkah BNM menaikkan mata asas OPR sehingga 50 bps masih dianggap normal berbanding impak tekanan bakal diterima negara daripada krisis inflasi AS.

TIGA SEBAB

Beliau turut memuji langkah pragmatik Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan kadar OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus, lebih awal daripada jangkaan sekitar bulan Jun hingga September 2022.

"Dalam kenyataan MPC BNM, ada tiga sebab mengapa OPR dinaikkan. Pertama untuk kawal inflasi, yang kedua untuk kerajaan bersiap sedia mengukuhkan ekonomi negara sebaik sahaja pasaran ekonomi kembali dibuka kepada global dan yang ketiga, pengukuhan pasaran buruh selepas sektor ekonomi kembali rancak.

"Saya fikir BNM mengambil langkah meningkatkan nilai mata OPR lebih awal selepas mengambil kira perkembangan risiko peningkatan ke atas inflasi yang melanda ekonomi AS dan Wall Street.

"Dengan kadar inflasi negara dijangkakan kekal pada paras dua hingga tiga peratus, kerajaan akan melihat impak kenaikan kadar mata asas OPR secara berkala kepada ekonomi. Sekiranya ekonomi negara memberi reaksi memberangsangkan, ada juga kemungkinan kenaikan OPR dalam masa terdekat tidak akan dibuat," kata Razli lagi.

TEMPIAS EKONOMI

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi daripada Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid turut menjangkakan BNM akan terus memerhatikan langkah susulan Fed AS, sekali gus mempercepatkan lagi inisiatif menaikkan OPR kepada tambahan sekurang-kurangnya 25 mata asas.

Dengan kesan pasaran menjunam bakal memberi tempias kepada ekonomi Malaysia untuk tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, MPC BNM berkemungkinan sekali lagi mengambil langkah menaikkan nilai mata OPR susulan negara sedang melaksanakan polisi monetari menguncup.

"BNM sebelum ini sudah menaikkan kadar OPR sebanyak 25 mata asas lebih awal daripada jangkaan dengan bank pusat itu sepatutnya melaksanakan langkah kenaikan lanjutan OPR sebanyak 25 mata lagi menjelang hujung tahun ini atau tahun hadapan.

"Namun menilai kepada langkah agresif Fed AS menaikkan kadar faedah dijangka mencecah 75 mata asas, kerajaan dan BNM pastinya akan bertindak balas dengan pantas," tegasnya.

Mendepani krisis yang bakal tercetus kesan peristiwa pasaran dunia menjunam, Baharom menggesa, kerajaan merangka satu pelan induk pemerkasaan industri asas pertanian dan sekuriti makanan negara secara menyeluruh dengan segera.

Hal ini kerana beliau berpandangan Malaysia perlu mengukuhkan ekonomi domestik dengan tidak terlalu bergantung kepada permintaan eksport luar negara serta kebergantungan import makanan dari negara luar yang sangat tinggi

"Kita banyak membuang masa dengan isu remeh tanpa mengambil kira sumbangan universiti kepada masyarakat sepatutnya diukur berdasarkan sejauh mana hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dikeluarkan institusi pengajian berkenaan, membantu memperkasakan industri sekuriti makanan negara.

"Pada saat rakyat Malaysia terbeban dengan krisis makanan negara yang semakin meruncing, apa ertinya kita terlalu menumpukan kepada pembangunan perkhidmatan jalur lebar bertaraf 5G?

"Perlu diingat, krisis sekuriti makanan boleh menyebabkan sesebuah negara kelam kabut. Saya bimbang sekiranya Malaysia berhadapan dengan perang pada masa sekarang, rakyat kita bukan dibunuh melalui senjata dan peluru, sebaliknya mati kebuluran kerana ekonomi kita disekat musuh," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca