TIDAK ada salahnya dengan usaha kerajaan Malaysia mengangkat bahasa Melayu di pentas ASEAN dan antarabangsa. Ia usaha murni yang patut disokong oleh semua.
Namun, di sebalik usaha, kempen dan kesungguhan kita di luar negara, realiti dan nasib bahasa Melayu di tanah air sendiri tidaklah begitu indah.
Ini kerana tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia masih lesu walaupun negara sudah 65 tahun merdeka.
Ada yang menganggap bahasa Melayu sekadar bahasa yang perlu lulus semasa peperiksaan di sekolah, digunakan untuk urusan rasmi kerajaan.
Ini kerana realitinya banyak syarikat korporat, perbankan, telekomunikasi, firma guaman dan macam-macam lagi lebih mengutama keperluan pekerja berbahasa Inggeris.
Lebih tragis, ada syarikat yang meletakkan syarat wajib boleh berbahasa Cina dalam iklan-iklan pekerjaan.
Hakikatnya masih wujud mentaliti segelintir rakyat yang berfikiran, seseorang itu tidak sofistikated jika bertutur bahasa Melayu berbanding bahasa asing seperti bahasa Inggeris.
Persepsi inilah yang bakal merencat usaha mengangkat bahasa Melayu dan akhirnya hanya tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin.
MANTAP BAHASA MELAYU DI MALAYSIA DAHULU
Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan, kecintaan dan tahap penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat harus dimantapkan terlebih dahulu sebelum disebarluas ke luar negara.
"Tidak dapat dinafikan ada rakyat Malaysia tiada rasa bangga, sayang dan setia kepada bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara.
"Oleh itu, mereka lebih mengagung-agungkan bahasa lain, antaranya bahasa Inggeris oleh golongan elit dan bahasa Mandarin oleh etnik Cina,” jelas Kok Seong kepada Sinar Premium baru-baru ini.
Katanya lagi, janganlah kita menjadi seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan lurus. Kita mahu orang di luar Malaysia menerima bahasa Melayu dalam konteks memartabatkannya sebagai bahasa antarabangsa namun kita sendiri tidak memartabatkannya sebagai bahasa negara.
"Amalan berbahasa Melayu kita yang bersifat ‘rojak’ walaupun dalam majlis rasmi, penamaan tempat dan bangunan yang menggunakan bahasa asing secara sewenang-wenangnya dan segala macam kerenah lain yang boleh mengancam kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara,” katanya.
Tambah beliau, ketiadaan nasionalisme linguistik ini juga boleh dilihat antaranya dalam ranah atau urusan rasmi yang sepatutnya dilunaskan sepenuhnya oleh sektor awam berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 serta yang lain-lain semenjak mula dikeluarkan pada 2006 lagi, yang kesemuanya adalah tentang keperluan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.
"Manakala dalam sektor bukan awam, antaranya swasta dan korporat, bahasa Melayu tidak pun diketahui, apatah lagi dikuasai dengan baik, untuk sekurang-kurangnya digunakan dalam urusan tidak rasmi,” katanya lagi.
Walaubagaimanapun, nasionalisme linguistik ini boleh masih boleh diselamatkan malah dipupuk dengan antara lain memulakan program gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara demi memupuk rasa bangga, cinta dan setia.
"Dalam hal ini, harus ditekankan pentingnya bahasa Melayu dalam konteks sebagai bahasa negara, sama ada sebagai identiti nasional kepada negara dan identiti budaya kepada rakyat.
"Bahasa Melayu juga boleh diajar secara merentas kurikulum dan dipelajari atas orientasi integratif iaitu sebagai wadah perpaduan negara.
"Namun bahasa Melayu tidak boleh sesekali diajar dan dipelajari atas orientasi instrumental semata-mata iaitu lulus dan dengan gred cemerlang,” katanya lagi.
Di sebalik semua kepincangan yang perlu diatasi dalam memartabatkan bahasa Melayu di tanah tumpah darah sendiri, kerajaan harus diberi pujian susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan setiap urusan rasmi kerajaan termasuk lawatan kerja di luar negara menggunakan bahasa Melayu bagi memperkasa bahasa kebangsaan itu.
Perdana menteri menegaskan tidak perlu berasa janggal untuk berbahasa Melayu di luar negara sedangkan rakyat negara lain berbangga dengan bahasa kebangsaan masing-masing malah Ahli Parlimen Bera itu juga yakin bahasa Melayu mampu menjadi bahasa Asean memandangkan majoriti negara ASEAN boleh berbahasa Melayu.
Menurut Kok Seong, usaha kerajaan itu pasti akan memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini dan juga di arena antarabangsa namun perlu ada kesinambungan.
"Ia tidak boleh sesekali terhenti apabila berlakunya perubahan tampuk pimpinan negara atas fitrah 'kepimpinan itu bersilih ganti'. Dengan kata lain, ia sesekali tidak boleh bersifat 'sekali air bah, sekali pasir berubah'.
"Untuk ini, usaha ini harus diangkat dalam Parlimen dalam waktu terdekat ini untuk dijadikan semacam akta (perundangan yang diluluskan oleh Parlimen) yang wajib diteruskan sebagai agenda penting negara, justeru wajib senantiasa diusahakan oleh mana-mana pihak yang menjadi kerajaan,” katanya.
PENGUASAAN DALAM KALANGAN ANAK MUDA
Mantan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Datuk Dr Nuraini Yusoff pula berkata, tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan anak muda boleh dibahagikan kepada dua situasi, iaitu formal dan tidak formal.
"Situasi formal misalnya, pelajar di peringkat rendah hingga menengah boleh dikatakan mempunyai tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang baik berikutan wujudnya sistem peperiksaan yang mewajibkan kredit dalam subjek tertentu seperti Bahasa Melayu.
"Situasi tidak formal pula seperti pergaulan di luar sekolah, di mana penggunaan bahasa Melayu lebih santai dan mengikut cita rasa anak muda.
"Dikhuatiri penggunaan bahasa tidak formal yang tidak mengikut rumus tatabahasa bahasa Melayu akan mempengaruhi penggunaan dan penguasaan dalam situasi formal tadi,” ujar Nuraini.
Kata beliau lagi, dalam memperjuang nasib bahasa Melayu di bumi sendiri, kita perlu mengadaptasi maksud peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dan memupuk kesedaran tentang siapa sebenar diri kita.
"Lihat kembali jati diri kita dan hargai dahulu bahasa Melayu sebelum menghargai bahasa luar. Namun ini bukan bererti kita harus membelakangkan bahasa lain dan jangan pula menyalahkan bahasa Inggeris yang sememangnya telah menjadi bahasa antarabangsa yang digunakan di seluruh dunia.
"Bahasa Melayu kita sudah cukup hebat dan banyak dipertuturkan di pelbagai negara dan saya juga yakin dengan tindakan Perdana Menteri yang mahu mengangkat penggunaan bahasa Melayu di luar negara bakal terus memperkasa bahasa Melayu di mata dunia,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca