MASYARAKAT timur khususnya yang beragama Islam amat mementingkan budi pekerti dan akhlak mulia. Namun, aspek itu sering dipinggirkan akibat kekalutan mengejar dunia. Arus kemodenan yang sedang rancak berkembang telah membawa pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

MASYARAKAT timur khususnya yang beragama Islam amat mementingkan budi pekerti dan akhlak mulia. Namun, aspek itu sering dipinggirkan akibat kekalutan mengejar dunia.

Arus kemodenan yang sedang rancak berkembang telah membawa pelbagai perubahan kepada kemajuan negara. Dalam mengejar kemajuan, masyarakat menjadi lebih kompleks dan dipengaruhi budaya serta nilai luar.

Budaya dan nilai itu kadangkala tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat. Fenomena itu turut menghakis etika, moral dan akhlak kerana masyarakat lebih mementingkan kepada aspek material berbanding dengan hubungan dengan Pencipta serta sesama makhluk.

Masyarakat juga lelap kerana berpandangan bahawa akhlak atau moral adalah hak peribadi dan tidak boleh diganggu gugat oleh orang lain.

Etika berasal daripada perkataan Yunani iaitu ethos, bermaksud hukum, adat resam kebiasaan dan budi pekerti.

Bahasa Latin pula menggunakan perkataan mores bagi maksud yang sama. Mores menentukan piawaian atau norma sesuatu kelompok.

Etika atau moral merupakan sesuatu yang berkaitan dengan peraturan masyarakat terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib masyarakat. Peraturan masyarakat itu juga biasanya disebut sebagai tradisi, norma, adat atau kebiasaan, nilai atau pantang larang masyarakat.

Akhlak pula berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu ‘khuluk’ yang bermaksud perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan atau pegangan.

Dalam Islam pula, prinsip-prinsip akhlak itu terikat dengan fakta perkara yang benar harus dilaksanakan, manakala yang salah hendaklah ditinggalkan.

Ia tertumpu kepada dasar-dasar kepercayaan yang jelas iaitu ALLAH ialah pencipta dan punca segala kebaikan serta kesempurnaan, manakala manusia adalah makhluk yang diberi tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

AKHLAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, baik buruknya sesuatu perlakuan adalah jelas iaitu sebarang tingkah laku manusia yang bertujuan untuk mendapatkan keredaan ALLAH SWT dikatakan baik dan mulia, sebaliknya semua tindakan yang menyebabkan kemurkaan-Nya dikatakan jahat dan keji. Ini kerana matlamat hidup manusia sebenarnya adalah untuk mencari keredaan ALLAH SWT.

Akhlak lahir dari dalam jiwa dan dapat membimbing hubungan manusia dengan Tuhannya, diri sendiri dan individu lain serta hubungannya dengan alam sekitar. Sumber utama akhlak Islam ialah wahyu ALLAH iaitu al-Quran dan hadis. Kedua-duanya menyediakan manhaj atau kaedah yang jelas dan mantap bagi membentuk serta memelihara akhlak manusia.

Akhlak dalam Islam bertunjang daripada keseimbangan antara tuntutan jasmani dan rohani serta kebaikan dunia dan akhirat. Peraturan dalam Islam mengambil kira keseimbangan zahir dan batin.

Oleh itu penerapan etika, akhlak dan moral Islam perlu difahami serta diamalkan dalam kehidupan seharian. Natijahnya ialah akan terhapuslah sifat putus asa, kemaksiatan, penganiayaan, penindasan, eksploitasi dan lain-lain perkara tidak bermanfaat.

Pembangunan kemajuan dan ilmu yang berlandaskan akidah sebenarlah menjadi tuntutan Islam kerana ia akan membawa manusia lebih dekat kepada ALLAH SWT. Tabiat meringankan akidah menyebabkan manusia gagal mengenal pasti semua perkara yang bermanfaat atau perkara yang memudaratkan mereka.

Peraturan moral tidak dapat dipisahkan daripada Islam. Undang-undang berhubung dengan pengawalan moral dalam kalangan umat Islam adalah memenuhi tuntutan agama Islam sendiri untuk meningkatkan lagi kualiti ummah.

Pembentukan peribadi umat Islam amat dititikberatkan dalam Islam kerana umat Islam adalah contoh teladan kepada orang lain. Jika umat Islam gagal menunjukkan contoh teladan yang baik dengan berakhlak mulia dan budi pekerti terpuji, bagaimanakah orang lain dapat mengikuti umat Islam.

Umat Islam sepatutnya meletakkan piawaian yang tinggi dalam sesuatu urusan dan gah dengan akhlak mulia. Dengan cara itu, orang bukan Islam akan tertarik dengan akhlak umat Islam.

Sesuailah dengan piawaian yang telah ditetapkan dalam Islam iaitu ‘uswatun hasanatun’ atau teladan yang baik itu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca