SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyifatkan proses untuk mendapatkan pekerja asing yang mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebagai tidak munasabah.
Pakar Ekonomi dari Fakulti Ekonomi Dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Wan Azman Saini Wan Ngah berkata, kelambatan proses tersebut akan menyebabkan banyak aktiviti industri tertangguh seterusnya bakal merencatkan pertumbuhan ekonomi di negara ini.
"Kerajaan disarankan untuk melihat kembali prosedur pengambilan pekerja asing dan ia seharusnya dipermudahkan.
"Sebagai contoh, industri pembinaan dikatakan mengalami kekurangan 550,000 pekerja dan 100,000 pekerja dalam perladangan sawit.
"Sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, melebihi 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan jika permasalahan ini tidak diselesaikan segera, ia akan memberi kesan negatif kepada pelaburan baharu dan pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, kekurangan pekerja asing akan menyebabkan banyak operasi industri yang bergantung kepada tenaga pekerja asing terjejas.
"Operasi mereka akan berada di bawah daripada kapasiti. Contohnya, bidang pembinaan, jika mereka boleh membina 1,000 rumah dalam masa setahun tetapi kali ini mungkin angka itu akan berkurang kepada 500 rumah sahaja.
"Di situ kita dapat lihat pertumbuhannya mungkin akan sedikit terkesan kepada industri-industri yang amat bergantung kepada pekerja asing,” katanya.
Sementara itu, Canselor Universiti Cyberjaya dan ahli Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), Profesor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, pengenalan sistem kad pengenalan mengikut sektor pekerjaan antara faktor yang melambatkan proses kelulusan pekerja asing.
"Keduanya, dari segi kesihatan, mungkin disebabkan Covid-19 atau penyakit lain, kerajaan ambil masa sediakan vaksin dan sebagainya,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca