BELALANG dengar macam-macam cerita mengenai hubungan di antara Datuk Zuraida Kamaruddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - dua orang sahabat baik dalam politik yang kini sudah tidak bertegur sapa lagi.
Mereka berdua merancang plot Langkah Sheraton yang membawa kepada kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan selepas itu masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak lama selepas itu mereka sudah tidak bertegur di antara satu sama lain.
Kini, Zuraida meninggalkan Bersatu untuk bersama parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang lebih mirip kepada PKR.
Jelas sekali politik Zuraida adalah politik kepelbagaian bangsa kerana akhirnya beliau ingin balik kepada parti yang tidak berasaskan hanya satu kaum.
Azmin khabarnya berasa kecil hati dengan keputusan Zuraida tanpa menyedari yang Zuraida juga berasa yang sama dengannya.
Ramai yang membisik di telinga Belalang yang Zuraida merasakan bahawa Azmin gagal menjaga kepentingan mereka yang lari meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
Hakikatnya, ramai dalam kalangan mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara dan budaya politik Bersatu yang lebih mirip kepada cara UMNO dan lebih kemelayuan berbanding budaya PKR yang pelbagai kaum.
Yang kedua, ketika mereka keluar meninggalkan PKR, mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Pilihan mereka terhad.
Tetapi kini dengan masa berlalu dan pelbagai pentas baharu terbuka luas di hadapan, kecanggungan berada di dalam Bersatu hanya menjadi penyebab untuk keluar menubuhkan parti baharu.
Fakta bahawa PBM dengan pantas berjaya merekrut lebih 500,000 ahli dalam tempoh singkat menunjukkan masyarakat kini lebih terbuka kepada politik pelbagai kaum yang tidak didominasi oleh satu kaum.
Ini adalah realiti wajah baharu politik tanah air sekarang. Sementara parti-parti berasaskan kaum akan tetap kekal dalam pentas politik Malaysia tetapi pada masa yang sama, kemunculan parti politik tidak berasaskan kaum sedang mendapat tempat dalam kalangan khalayak.
Perkembangan terbaru yang melibatkan Zuraida turut mengheret Azmin ke kancah kontroversi. Kesetiaan beliau pun turut dipersoalkan hingga mendesak beliau untuk keluar dengan satu kenyataan memberi jaminan akan terus kekal bersama Bersatu.
Tetapi kontroversi Azmin tidak terhenti setakat itu sahaja kerana pada masa yang sama timbul isu pertemuannya dengan dua orang PKR juga di Hotel Sheraton.
Apa tujuan pertemuan itu menjadi tanda tanya ramai hinggakan PKR terpaksa membuat penjelasan bahawa apa juga motifnya tiada kaitan dengan arahan parti atau pun atas nama parti.
Sesungguhnya politik Malaysia tidak pernah sunyi.
Belalang - Ke kiri pun tidak, kanan pun tidak
Klik di sini untuk terus membaca