SEJAK akhir-akhir ini, kes kehilangan wang simpanan di dalam bank semakin menjadi-jadi. Ini jelas membuktikan jenayah scammer di negara kita sudah berapa di peringkat yang begitu serius dan cukup membimbangkan para pendeposit. Seperti yang... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK akhir-akhir ini, kes kehilangan wang simpanan di dalam bank semakin menjadi-jadi. Ini jelas membuktikan jenayah scammer di negara kita sudah berapa di peringkat yang begitu serius dan cukup membimbangkan para pendeposit.

Seperti yang dilaporkan dalam media, kebanyakan mangsa scammer apabila mendapati wang simpanan mereka telah lesap, mereka pastinya akan membuat laporan kepada pihak polis dan pihak bank yang terbabit.

"Biarpun laporan dan aduan dibuat, namun semua mangsa akan mendapat jawapan yang sama, iaitu semua wang yang dicuri oleh scammer gagal dikesan dan sukar dikembalikan semula kepada pendeposit.

"Orang ramai lebih-lebih lagi mangsa scammer kini tertanya-tanya bagaimanakah sistem keselamatan yang dilakukan oleh pihak bank di negara kita?

Apakah ia berpunca daripada kecuaian mangsa semata-mata? Kita semua tentunya semakin bimbang sekiranya pihak bank dan polis gagal membanteras jenayah siber ini daripada terus berleluasa.”

Demikian tulisan Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya yang menggesa polis dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu bertindak segera demi menjamin wang simpanan para pendeposit dalam bank berada dalam keadaan selamat.

Menurut akhbar itu, BNM tidak boleh terus mendiamkan diri sebaliknya perlu segera memberi penjelasan kepada mangsa-mangsa yang simpanan bank mereka kenapa begitu mudah 'dihilangkan' oleh scammer.

"Adalah menjadi tanggungjawab bank untuk melindungi dan menjaga wang simpanan para pelanggannya daripada mengalami kecurian.

Apakah itu bukan peranan yang perlu dilakukan oleh bank? Sekiranya BNM tidak melakukan tindakan yang lebih drastik, ia bukan sahaja menghilangkan kepercayaan pendeposit, malahan keyakinan para pelabur asing turut terjejas.”

"Bagi mengelakkan kes-kes penipuan dalam talian ini daripada terus berlaku, pihak bank seharusnya bekerjasama dengan polis untuk menyekat dan membanteras penipuan dalam talian ini secara berkesan.

"Kita tidak boleh terus membiarkan penjenayah siber ini bebas dan terus memperdayakan pendeposit. Scammer ini seolah-olah mengambil kesempatan daripada kelonggaran sistem perbankan kita malahan telah mencabar dan memperlekehkan keupayaan pihak penguatkuasaan, ” kata akhbar itu.

MUDAHKAN SCAMMER

Memang tidak dinafikan, ulas Sin Chew Daily lagi, sesetengah mangsa terbabit perlu menyalahkan diri sendiri akan kehilangan wang simpanan mereka kerana dikatakan memuat turun sesebuah aplikasi sehingga memudahkan scammer menceroboh data peribadi mereka.

Akhbar itu turut mencadangkan selain polis dan BNM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia juga mempunyai peranan dan melibatkan diri dalam menangani jenayah siber ini seperti mewujudkan talian panas untuk memudahkan orang ramai membuat aduan ataupun memberi panduan-panduan yang lebih berwaspada agar tidak terjerat oleh scammer.

"Kita sendiri mungkin telah diminta jangan mudah percaya dengan panggilan yang dikatakan daripada pihak penguat kuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis, kastam atau bank, yang diminta untuk memuat turun atau mendaftar dalam aplikasi MyBNM.

"Semua itu adalah helah dan tipu daya yang sudah kita sedari digunakan scammer kerana ia telah banyak kali dilaporkan pihak media.

Malangnya, tahap kesedaran dan kewaspadaan kita masih belum memadai sehinggakan sesetengah mangsa ditipu ratusan ribu dalam sekelip mata, ” jelas akhbar Cina itu lagi.

Akhbar berkenaan berharap dalam dunia perbankan hari ini yang mengutamakan teknologi digital dan internet dalam setiap urusannya, kepentingan orang ramai ketika menggunakan kemudahan yang disediakan institusi kewangan ini tidak harus diabaikan.

"Sekiranya orang ramai digalakkan melakukan urusan melalui talian, maka pihak bank mempunyai tanggungjawab meningkatkan sistem keselamatan dengan lebih ketat agar data peribadi pelanggannya tidak mudah diceroboh sekali gus memberi jaminan bahawa wang simpanan mereka adalah selamat setiap masa,” ujar Sin Chew Daily.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca