MINGGU ini izinkan saya mencampur-adukkan isu yang berlainan tetapi bersangkutan dengan perbicaraan rasuah ke atas beberapa orang kenamaan yang sedang berlangsung sekarang. Pelbagai pendedahan sensasi mengenai rasuah, pecah amanah dan salah... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU ini izinkan saya mencampur-adukkan isu yang berlainan tetapi bersangkutan dengan perbicaraan rasuah ke atas beberapa orang kenamaan yang sedang berlangsung sekarang.

Pelbagai pendedahan sensasi mengenai rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa telah dibuat oleh saksi-saksi yang memberi keterangan bersumpah di hadapan hakim.

Dalam kes pecah amanah melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mahkamah diberitahu tentang bagaimana sebuah syarikat pengurusan pelancong, Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), secara sistematik memberi sogokan kepada banyak ahli politik, termasuk anggota kabinet yang ada hari ini.

Ia menyifatkan sogokan itu sebagai 'sumbangan politik'.

Bekas ahli lembaga pengarah dan pengurus kanan syarikat yang mendapat kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri itu memberitahu mahkamah bagaimana, banyak mana, di mana dan dalam mata wang apa mereka memberi sogokan itu.

Dalam tampalan dan perbincangan media sosial, saya mencadangkan supaya bekas ahli lembaga pengarah dan pengurus kanan syarikat ini didakwa walaupun sesetengah daripada mereka telah menjadi saksi pihak pendakwa dalam kes Ahmad Zahid.

Kalau tauke Cina, Datuk Tan Eng Boon, boleh dihadapkan ke mahkamah dan didenda RM1.5 juta kerana bersubahat dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menerima RM1 juta sogokan, mengapa tidak ahli lembaga pengarah UKSB? Anehnya Tengku Adnan sendiri dibebas dan dilepas.

PENGUAMBELA NAJIB

Dengan pendedahan demi pendedahan songsang, tidak hairanlah kalau penarafan dan pengkelasan Malaysia dalam pelbagai aspek dan oleh pelbagai pihak di dalam dan luar negara terus merosot.

Kemudian timbul pelbagai kekeliruan dalam kalangan orang ramai akibat tindak-tanduk orang kenamaan yang terlibat dengan perbicaraan kes-kes jenayah.

Salah satu daripadanya adalah percubaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, mendapatkan khidmat Peguam Diraja Inggeris (Queen's Counsel) dalam kes rayuan SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Seorang QC dari United Kingdom bernama Jonathan James Laidlaw sedang membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menjadi peguambela Najib.

Dia membuat permohonan itu pada 31 Mei lalu melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang juga peguambela Najib.

Dalam hujah balasnya beberapa hari lalu, pendakwa raya kes tersebut, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, telah menimbulkan persoalan apakah daripada 21,625 orang peguambela dan peguamcara di Malaysia tidak ada seorang pun yang layak mengendalikan rayuan Najib?

Dalam hujahnya membantah permohonan Laidlaw, Mohd Ashrof bertanya, adakah daripada begitu banyak peguambela dan peguamcara di Malaysia tidak ada seorang pun mempunyai kelayakan dan pengalaman khas untuk mengendalikan rayuan Najib?

Dia berkata, QC pilihan Najib itu tidak layak berhujah dalam sebuah mahkamah Malaysia kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan tidak mempunyai pengalaman mengenai undang-undang Malaysia.

Mohd Ashrof berhujah, pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempunyai cukup kelayakan untuk mengendalikan kes itu.

Anehnya, Shafee pula memuji-muji kelayakan khas dan pengalaman Laidlaw yang katanya, tidak wujud dalam kalangan peguambela dan peguamcara di Malaysia.

Boleh jadilah dalam perkara ini kita kena percaya kepada Shafee dan bagi kepada dia apa yang orang putih kata 'benefit of the doubt' oleh sebab dia sendiri sudah gagal membela Najib di dua buah mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Jadi dialah yang lebih tahu berkenaan kekuatan tuduhan dan penghakiman ke atas anak guamnya. Dengan itu dia mengharapkan QC dari England boleh menjadi talian hayat atau setidak-tidaknya pun sebagai penguat semangat.

Daripada perspektif sejarah, amalan memanggil QC ini adalah peninggalan penjajah. QC adalah peguam kanan mahkamah England yang dilantik oleh Raja-raja Inggeris.

Sesetengah negara Komanwel sama ada telah menghapuskan jawatan itu atau memindanya bagi membuang gelaran diraja setelah mereka menghapuskan sistem beraja dan menjadi republik.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca