PADA minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima langkah diambil bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan negara yang lebih inklusif dan menyeluruh. Pengumuman ini adalah reaksi kepada kenaikan harga bahan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima langkah diambil bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan negara yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Pengumuman ini adalah reaksi kepada kenaikan harga bahan makanan dan kekurangan bekalan makanan seluruh dunia dan hasil daripada perbincangan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) melibatkan pembentangan oleh peneraju industri dan Khazanah Research Institute (KRI).

Perkara pertama yang diumumkan kerajaan ialah pengenalan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input dengan jaminan perubahan ini akan diikuti dengan bantuan terus bersasar kepada kumpulan B40.

Ini bermakna kerajaan akan mengurangkan campur tangan dalam pasaran dan menyediakan satu mekanisme standard untuk menentukan harga siling makanan tertentu seperti ayam pada satu-satu masa.

Langkah membenarkan penentuan harga siling bersandarkan harga input akan membolehkan industri makanan yang mempunyai harga siling menjadi lebih kompetitif dan mendorong penternak mengoptimumkan pengeluaran mereka.

Secara asas, harga input ialah harga terendah yang wajar diletak oleh pengusaha setelah mengambil kira kos penghasilan sesuatu barang.

Perkara kedua yang diumumkan ialah kerajaan akan memperluaskan ekosistem agromakanan dengan rantaian bekalan diterajui oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi kerajaan.

Menghurai lanjut, kerajaan mengumumkan bahawa koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin.

INDUSTRI TANI

Menurut kerajaan lagi, bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi kerajaan yang terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya.

Saya agak pesimis dengan langkah kedua ini. Pembabitan GLC dan agensi kerajaan dalam industri tani sering kali terbuka kepada penyalahgunaan dana, ketidakcekapan mengeksploitasi sumber bagi meningkatkan produktiviti, berlaku pembaziran dalam kerja-kerja sub kontraktor penyediaan infra dan peralatan, akhir sekali akan berlaku kegagalan dan kerugian yang besar.

Idea membabitkan GLC dan agensi kerajaan ini bukan baharu. Kerajaan boleh sahaja melihat berapa banyak kegagalan dalam program-program pertanian di bawah Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Beratus juta geran industri tani sejak sedekad lalu tidak menghasilkan apa-apa kemajuan yang signifikan kepada sekuriti makanan negara dan hanya menjadikan sesetengah orang jutawan sementara.

Kita ambil contoh projek ladang kambing Boer di Pondok Tanjung, Perak di bawah inisiatif NCER. Pada 2010 media melaporkan hampir RM50 juta diperuntukkan bagi membuka ladang ini. Adakah berjaya atau sudah beberapa kali bertukar pengendali?

Terbaharu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan projek Lembah Tenusu Larut, Matang dan Selama (LMS) sedang dibangunkan seluas 480 hektar di Pondok Tanjung, Perak juga.

Penulis hanya berharap ia merupakan pembangunan kawasan baharu, bukannya atas kawasan sebelum ini yang dibangunkan sebagai ladang ternakan Boer.

Dalam masa yang sama kerajaan mengumumkan peruntukan RM300 juta kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) bagi membentuk satu ekosistem penternakan ayam yang lebih murah dan terjamin.

Pembukaan ladang mega di satu-satu tempat untuk memenuhi keperluan seluruh negara hanya meningkatkan kos operasi, kos pengangkutan dan risiko bekalan juga.

Pembukaan ladang mega ini harus dilakukan oleh syarikat-syarikat yang berminat dan berkemampuan untuk berniaga secara kompetitif termasuk untuk pasaran antarabangsa.

Sebaliknya, kerajaan perlu meneroka perspektif baharu dalam menguruskan sektor sekuriti makanan dengan memberi tumpuan pembangunan pertanian setempat. Dasar sekuriti makanan kita seharusnya menyasarkan pengeluaran daerah atau negeri yang boleh menampung permintaan setempat.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca