SHAH ALAM - Kerajaan digesa memperkenalkan Akta Pendanaan Politik dengan segera agar definisi rasuah dan derma dalam politik dapat diperjelaskan secara terperinci.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat (AS) sudah lama memperkenalkan akta tersebut.
Justeru, beliau berkata, jika kerajaan masih lagi belum memperkenalkan akta itu, maka ia akan mengundang pelbagai lagi spekulasi atau tindakan yang boleh mengaitkan dengan aktiviti jenayah seperti rasuah.
"Dalam hal ini saya tidak nampak ada political will dalam kalangan ahli politik dan pemimpin negara. Jadi banyak sangat perkara yang dikaitkan dengan pendanaan politik.
"Bagi saya segerakan akta ini sepertimana kita nak mewujudkan Akta Lompat Parti. Justeru, apa salahnya kita perkenalkan akta ini bagi menunjukkan bahawa kita sebenarnya jujur dan mahukan satu perubahan dalam konteks politik negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Gesaan itu dibuat susulan pendedahan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) pada Jumaat.
Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) telah memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.
Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan itu adalah Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.
Mengulas isu sama, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani turut menggesa kerajaan segera mewujudkan Akta Pendanaan Politik tersebut.
"Kita antara negara yang masih belum ada akta ini. Kebanyakan negara maju yang lain seperti Australia, United Kingdom dan Singapura sudah ada.
"Jadi sudah tiba masanya untuk kita perkenalkan akta ini secepat mungkin. Kalau boleh tindakan segera boleh dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca