AMERIKA Syarikat (AS) yang terkenal sebagai kuasa ekonomi dunia masih berbelanja besar untuk senjata nuklear apabila ia dipercayai menggunakan lebih AS$80,000 (RM352,160) bagi setiap minit untuk senjata itu berbanding dengan negara-negara... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) yang terkenal sebagai kuasa ekonomi dunia masih berbelanja besar untuk senjata nuklear apabila ia dipercayai menggunakan lebih AS$80,000 (RM352,160) bagi setiap minit untuk senjata itu berbanding dengan negara-negara lain.

Jumlah itu adalah didedahkan dalam laporan terbaharu International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN) bagi tahun 2021 yang dikeluarkan pada Selasa lalu.

AS dianggar membelanjakan kira-kira AS$44.2 bilion (RM195.45 bilion) diikuti China iaitu kira-kira AS$11.7 bilion (RM51.50 bilion) dan Rusia AS$8.6 bilion (RM37.86 bilion) dalam laporan tahunan tersebut yang dikeluarkan ketika Perang Ukraine masih berlangsung.

Hanya dalam tempoh satu tahun sahaja, sebanyak sembilan negara senjata nuklear iaitu AS, China, Rusia, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan dan United Kingdom (UK) dianggarkan membelanjakan sejumlah AS$82.4 bilion (RM362.72 bilion) untuk menaik taraf dan mengekalkan 13,000 senjata nuklear masing-masing, menandakan kenaikan sembilan peratus daripada tahun sebelumnya, mengikut anggaran ICAN.

Laporan itu, yang merupakan ringkasan tahunan ketiga ICAN mengenai perbelanjaan nuklear global dan bertajuk '‘Squandered: 2021 Global Nuclear Weapons Spending,’ atau Dibazirkan: Perbelanjaan Senjata Nuklear Global 2021 menunjukkan dunia membelanjakan sebanyak AS$156,842 (RM690,418) setiap minit pada tahun 2021 untuk senjata pemusnah besar-besaran.

UK pula dianggarkan membelanjakan AS$6.8 bilion (RM29.93 bilion), Perancis AS$5.9 bilion (RM25.97 bilion) dan negara-negara seperti India, Israel dan Pakistan masing-masing membelanjakan lebih satu bilion (RM4.40 bilion) untuk senjata nuklear masing-masing pada 2021 manakala di tempat terakhir ialah Korea Utara yang membelanjakan AS$642 juta (RM2.8 bilion).

Tentera AS mempunyai pesawat-pesawat canggih yang boleh membawa bom nuklear. - Foto AFP

TENDER BERBILION

Laporan itu terus mempersoalkan mengapa dan bagaimanakah negara-negara berkenaan membelanjakan begitu banyak wang untuk senjata nuklear di tengah-tengah pelbagai isu global seperti kekurangan makanan dan tenaga. Tetapi ia menyimpulkan bahawa pemacu perbelanjaan senjata nuklear bukanlah kebimbangan keselamatan tetapi sebaliknya disebabkan oleh kepentingan perniagaan.

Kontraktor-kontraktor tentera AS didakwa telah mengaut keuntungan daripada kontrak berkaitan senjata nuklear menurut ICAN, dan syarikat-syarikat-syarikat tersebut membelanjakan sebahagian besar pendapatan masing-masing untuk mengupah pelobi serta membiayai kumpulan pemikir yang menggalakkan ahli-ahli politik untuk berbelanja senjata pemusnah besar-besaran.

Menurut laporan itu, Honeywell International memperoleh AS$6.2 bilion (RM27.29 bilion) daripada tender nuklear pada tahun 2021 dan membelanjakan tambahan AS$7 juta (RM30.81 juta) untuk melobi manakala Northrop Grumman mendapat AS$5 bilion (RM22.01 bilion) serta menggunakan AS$11.6 juta (RM51.06 juta) untuk melobi dengan Lockheed Martin menerima AS$1.9 bilion (RM8.36 bilion) daripada industri termasuk membelanjakan AS$16.9 juta (RM74.39 juta) untuk melobi.

The Atlantic Council menurut laporan itu menerima antara AS$590,000 (RM2,597,180) hingga AS$1,284,992 (RM5,656,534) daripada lapan syarikat yang mengeluarkan senjata nuklear iaitu Airbus, Boeing, Lockheed Martin, MBDA, Northrop Grumman, Raytheon Technologies, Safran dan Textron.

Selain itu, The Atlantic Council menerima antara AS$50,000 (RM220,100) hingga AS$99,999 (RM440,195) daripada makmal kebangsaan yang bekerja untuk senjata nuklear iaitu Los Alamos National Laboratory.

Badan pemikir Brookings pula menerima antara AS$575,000 (RM2.5 juta) dan AS$1,149,997 (RM5,062,286) daripada tiga buah syarikat yang mengeluarkan senjata nuklear.

AS dianggap memulakan proses pemodenan dan pengembangan senjata nuklear ketika pemerintahan Presiden negara itu yang ke-44, Barack Obama dari tahun 2009 sehingga 2017 sejak berakhirnya Perang Dingin dengan kos unjuran ialah AS$1.2 trilion (RM5.28 trilion).

Pentadbiran pada zaman pemerintahan Presiden AS ke-45, Donald Trump kemudiannya memperhebatkan perlumbaan senjata yang apabila beliau menarik AS daripada menjadi anggota Intermediate Range Nuclear Forces Treaty atau Perjanjian Nuklear Jarak Pertengahan.

Berikutan ketiadaan AS dalam perjanjian itu, Washington tidak perlu menghubungi Rusia dan China dengan melancarkan senjata nuklear jarak dekat yang mampu menyerang bandar-bandar utama dalam tempoh hanya beberapa minit.

PEMODENAN NUKLEAR

Perbelanjaan tahunan yang besar untuk senjata pemusnah besar-besaran itu juga adalah lebih banyak daripada yang dibelanjakan kerajaan persekutuan untuk program pendidikan rendah dan menengah di AS, menurut laporan World Socialist Website.

Pentadbiran Keselamatan Nuklear Kebangsaan Jabatan Tenaga AS (NNSA) membelanjakan AS$15.3 bilion (RM bilion) pada tahun 2021 untuk aktiviti senjata, kata laporan ICAN itu.

Pada tahun yang sama, Jabatan Pertahanan AS meminta sebanyak AS$28.9 bilion (RM127.22 bilion) untuk tujuan pemodenan nuklear termasuk sistem senjata 'Ground-Based Strategic Deterrent' atau Pencegah Strategik Permukaan Tanah, pesawat-pesawat pengebom B-21, senjata jarak jauh, kapal selam kelas Columbia, amaran peluru berpandu dan AS$7 bilion (RM30.81 bilion) untuk Pusat Perintah Nuklear dan Komunikasi.

Isu tentang penggunaan senjata nuklear itu juga menyebabkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata pada Rabu lalu bahawa terdapat keperluan mendesak untuk pengharaman sepenuhnya senjata nuklear di tengah-tengah ketegangan yang memuncak akibat pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Beliau menyatakan demikian dalam temu bual bertulis dengan Kyodo News sebelum mesyuarat pertama dalam kalangan anggota Perjanjian Larangan Senjata Nuklear yang diadakan di Austria.

Jika senjata nukelar itu diharamkan sepenuhnya, perbelanjaan untuk menghasilkan senjata itu oleh negara-negara pengeluar mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain dan dunia kemungkinan akan menjadi aman daripada peperangan melibatkan senjata pemusnah besar-besaran. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca