SEJAK zaman berzaman, manusia menghasilkan karya sastera dalam bentuk lisan ataupun tulisan.
Banyak kali, sesuatu kelompok insan, kaum, bani, dan bangsa mengembangkan kedua-dua bentuk karya sastera, yakni lisan dan tulisan yang terdapat dalam korpus sasteranya.
Karya sastera mencerminkan kepercayaan serta falsafah sesuatu peradaban dan tamadun.
Menurut Kamus Dewan Perdana (KDP) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2020, peradaban dan tamadun mempunyai makna yang sama: keadaan atau tingkat kehidupan yang maju dari segi fizikal, mental dan rohani.
Menurut KDP, sastera bermakna karangan atau karya seni yang mengungkapkan kisah atau pengalaman manusia, haiwan dan lain-lain dengan susunan bahasa yang indah dan menarik perhatian, terutamanya dalam bentuk novel, drama dan puisi.
Menurut kamus Oxford dalam talian, literature (sastera) bermakna karya tulisan, khususnya yang dikira mempunyai merit seni yang tinggi dan tahan lama.
Dalam tamadun Yunani (Greek), terdapat dua karya yang dikatakan ditulis oleh Homeros, seorang penyair Ionia dari pesisiran Anatolia pada hujung kurun kelapan Sebelum Masihi (SM).
Istilah Ionia ini merupakan dasar kepada perkataan ‘Yunani’ yang digunakan dalam bahasa Arab.
Antara karya sastera yang tertua di benua Eropah dalam bahasa Yunani ialah Iliás (Iliad dalam bahasa Inggeris) dan Odysseia (Odyssey dalam bahasa Inggeris).
Karya ini merupakan puisi epik utama dalam tamadun Yunani dan sudah tentu mempunyai pengaruh falsafah ketuhanan peradaban itu.
BAHASA KLASIK
Bahasa Sanskrit Veda yang bertahan sepenuhnya hingga kini bersifat keagamaan yang mempunyai doa dan pujian kepada para dewa.
Sanskrit klasik pula ialah bahasa bagi banyak teks terkemuka yang berkaitan dengan tiga agama utama India sebelum ketibaan Islam pada kurun kelapan Masihi.
Hingga kini, Sanskrit klasik menjadi wahana ketiga-tiga agama di India itu, yakni Hindu, Buddha dan Jain.
Pada masa yang sama bahasa klasik ini digunakan dalam setiap bidang kehidupan keagamaan dan juga sekular.
Misalannya, puisi, lirik, drama, dongeng, tatabahasa, undang-undang sivil, sains siasah, sains cinta dan seks, falsafah, perubatan, astronomi, astrologi dan matematik.
Kumpulan teks klasik Cina merujuk kepada teks-teks Cina pradinasti Qin, khususnya kumpulan karya Kong Fu Tze (Confucius).
Kumpulan teks ini juga disebut dengan rujukan era sebelum 221 SM dan selepas 226 SM merangkumi pelbagai karya pertanian, perubatan, matematik, astronomi, wahyu dan seni kritikan.
Islam dibawa oleh para pelaut Arab pesisiran pantai Laut Arab dan Teluk Parsi ke barat Nusantara pada hujung zaman Rasulullah SAW dan memulakan satu era baharu di sudut akidah serta perkembangan sastera.
Ini menurut teori Islam datang ke Kepulauan Melayu terus dari Makkah pada abad pertama Hijrah yang disokong oleh dua orang pujangga, penulis dan pejuang kemerdekaan Indonesia.
Pertama, Profesor Hamka (Abdul Malik Karim Amrullah) dari Sumatera Barat (meninggal pada tahun 1981 di Jakarta) dan Profesor Ali Hasjmy dari Aceh (meninggal pada tahun 1998 di Banda Aceh).
Sastera Melayu telah disalurkan secara lisan, tulisan dan percetakan.
Ia merangkumi semua bidang kehidupan seperti yang digarap oleh pandangan hidup pra-Islam dan juga sewaktu perkembangan dakwah Islam hingga kini.
Sastera ini disampaikan dalam bentuk puisi (seperti pantun, mantera, syair) dan secara prosa (seperti dongeng, mitos, legenda).
Ia adalah hasil daripada kearifan lokal yang bercampur antara warisan animisme dengan landasan ilmu Islami.
Ilmu dan amal Islami yang berpaksikan tauhid dan menuruti sunnah Rasulullah SAW membersihkan sastera Melayu daripada pencemaran akidah.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca