SEJAK Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain mula melaksanakan sekatan ekonomi ke atas Moscow.
Sekatan secara bersistematik itu dilakukan sebaik sahaja ekonomi dunia kembali pulih selepas mengalami kemerosotan teruk selama lebih setahun akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, selepas ekonomi kembali pulih secara beransur-ansur, Moscow pula melancarkan serangan ke atas Ukraine atas alasan untuk melindungi penduduk berbahasa Rusia daripada menjadi mangsa pembunuhan kaum atau genosid.
Krisis ekonomi kembali mengancam dunia apabila harga pelbagai jenis barangan meningkat dengan mendadak termasuk makanan dan rekod kadar inflasi dicatatkan di kebanyakan negara hanya disebabkan perang Ukraine.
Sekatan ekonomi kemudian dilakukan oleh AS dan sekutu-sekutunya di Barat termasuk lebih 1,000 buah syarikat terkenal menghentikan atau menggantung operasi perniagaan di Rusia seperti makanan, minuman, barangan mewah dan kenderaan sebagai usaha untuk meminggirkan negara tersebut daripada masyarakat antarabangsa.
Serangan ke atas Ukraine dan sekatan tersebut pada mulanya menyebabkan nilai mata wang ruble Rusia merosot teruk dengan cepat.
Pada satu ketika, nilai AS$1 (RM4.40) adalah bersamaan dengan 138 ruble (RM10.56) dalam tukaran asing sekali gus menakutkan bagi golongan kaya yang mempunyai kekayaan dalam mata wang Rusia.
Bagaimanapun, pelbagai sekatan ekonomi itu tidak menyebabkan nilai mata wang tersebut semakin jatuh, sebaliknya ia menyebabkan nilainya kembali mengukuh sejak akhir-akhir ini.
Pada Rabu lalu, nilai AS$1 adalah bersamaan dengan 57 ruble (RM4.36) sehingga menyebabkan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Andrei Belousov menganggap nilai tersebut sebagai terlalu tinggi.
Menurutnya, pihak industri akan berasa lebih selesa jika ia jatuh antara 70 ruble (RM5.36) hingga 80 ruble (RM6.12) untuk setiap AS$1, lapor agensi berita rasmi Rusia, Tass.
Ia merupakan kadar tukaran asing yang terbaik buat Rusia bagi setiap AS$1 dalam tempoh kira-kira empat tahun.
Pada Jumaat lalu, nilainya pernah mencecah kepada 56.35 ruble (RM4.31) untuk setiap AS$1.
Momentum pengukuhan itu adalah disebabkan oleh lebihan akaun semasa dan kawalan modal yang diperkenalkan oleh Moscow dalam usaha untuk menghentikan kemerosotan nilai ruble selepas Barat mengenakan sekatan ke atas Rusia.
EKSPORT MINYAK
Kenaikan harga minyak mentah di pasaran global pada Mei lalu telah mendorong peningkatan hasil eksport Rusia dan secara puratanya harga purata eksport komoditi tersebut adalah lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Rusia memperoleh kira-kira AS$20 bilion (RM88.04 bilion) daripada eksport minyak pada Mei lalu apabila pendapatannya melantun semula ke paras sebelum Perang Ukraine sekali gus memalukan usaha Barat untuk menyekat ekonominya berikutan pencerobohannya ke atas negara tersebut.
Presiden Vladimir Putin sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekatan minyak dan gas oleh Barat ke atas negaranya akan membawa kepada kenaikan harga global.
Pendapatnya itu nampaknya telah menjadi kenyataan buat masa kini walaupun harga minyak mentah menurun kira-kira antara lima hingga enam peratus pada Jumaat lalu berikutan kebimbangan bahawa kenaikan kadar faedah oleh bank pusat utama boleh memperlahankan ekonomi global dan mengurangkan permintaan untuk tenaga.
Pada Jumaat lalu, harga minyak mentah Brent jatuh 5.6 peratus untuk ditutup pada AS$113.12 (RM497.95) setong.
Harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula turun 6.8 peratus pada harga AS$109.56 (RM482.28) setong.
India juga telah membeli hampir 20 peratus daripada eksport minyak mentah Rusia.
Ia menimbulkan kontroversi kerana sejumlah besar produk dari kilang penapisan India kemudiannya dieksport ke AS dan Eropah.
Ini menjelaskan kenapa sekatan pembelian minyak mentah dari Rusia oleh negara-negara Barat menemui kegagalan.
Sehubungan itu, Putin pada sesi pleno Forum Ekonomi Antarabangsa Saint Petersburg, Rusia menyatakan pada Jumaat lalu bahawa perbincangan di Barat tentang apa yang dipanggil sebagai ‘inflasi Putin’ sebenarnya adalah direka semata-mata.
Istilah inflasi yang dicetuskan oleh Putin itu sebelum ini digunakan oleh Presiden AS, Joe Biden.
Istilah ‘inflasi Putin’ menggambarkan bahawa inflasi berlaku akibat kesukaran untuk mendapatkan bekalan tenaga, logistik dan kadar pertukaran asing yang didakwa disebabkan serangan tentera Rusia ke atas Ukraine dan sekatan yang dikenakan ke atas Moscow oleh negara-negara Barat.
Menurut Putin pada persidangan itu, Kesatuan Eropah (EU) telah kehilangan kedaulatan politik sepenuhnya dan golongan elit birokrasinya menari mengikut rentak orang lain, menerima apa sahaja yang diberitahu kepadanya daripada pihak atasan, menyebabkan kemudaratan kepada penduduk dan ekonomi masing-masing.
Katanya lagi: "Perang kilat ekonomi ke atas Rusia tidak mempunyai peluang untuk berjaya.”
Klik di sini untuk terus membaca