BANGI - Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, kerjasama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin akan berkubur selepas Pilihan Raya Umum ke-15 memandangkan tiada parti yang mampu menandingi kekuatan... Klik di sini untuk terus membaca

BANGI - Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, kerjasama parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) mungkin akan berkubur selepas Pilihan Raya Umum ke-15 memandangkan tiada parti yang mampu menandingi kekuatan Barisan Nasional (BN) dan UMNO ketika ini.

Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, PN masih wujud sekarang kerana mereka mempunyai sumber kewangan untuk bertanding dalam PRU15 susulan ramai ahli Parlimennya mempunyai jawatan dalam kabinet dan sebahagian daripada kerajaan.

"Jika selepas PRU15 nanti PN tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, maka kewangan mereka akan terputus dan tiada lagi dana untuk menghadapi PRU seterusnya.

"Jika perkara itu berlaku, saya percaya Pas akan pergi (keluar daripada PN) dan memilih untuk bekerjasama dengan parti-parti yang boleh mengekalkan mereka di tampuk kuasa.

"Itu saya rujuk kepada kepimpinan Pas sedia ada sekarang. Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah jika Pas bertukar kepimpinan baharu," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Mohammad Agus

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai usaha pembangkang kini yang masih tercari-cari dan berusaha membentuk jajaran dalam melawan BN pada PRU15.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, BN dan UMNO akan mendapat lebih manfaat jika mereka bertanding secara solo berbanding bergabung dengan Pas menerusi gagasan Muafakat Nasional (MN) dalam PRU15 nanti.

Malah, Mohammad Agus mendakwa, ramai pemimpin Pas kini sudah hilang 'roh' perjuangan kerana lebih mementingkan soal percaturan kekal berkuasa, jawatan dan kedudukan dalam kerajaan.

"Kalau saya mengkritik Pas maksudnya kepimpinan sekarang... sebab saya tengok Pas baru sahaja berbaik-baik dengan UMNO dalam MN, namun setelah Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, tiba-tiba sahaja pula mereka (Pas) bergabung dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin.

"Jadi MN tidak mempunyai roh untuk memperjuangkan kepentingan kaum Melayu dan ajaran Islam.

"Kalau ada pun roh MN, ia hanyalah untuk mengekalkan kedudukan, jawatan dan kuasa pemimpin tertentu dalam Pas dan UMNO sahaja," katanya.

TAK PERLU HIDUPKAN MN SELANGOR

Mohammad Agus menambah, UMNO juga tidak wajar memberikan pertimbangan terhadap usaha menghidupkan MN termasuklah di Selangor menjelang PRU15 nanti.

"Kenapa perlu amalkan dasar berbeza misalnya di Selangor dan Kelantan. Itu bermakna hanya perbezaan strategi politik untuk tujuan mendapat kuasa dan jawatan dalam kerajaan sahaja.

"Kalau Pas dan UMNO mahu membina semula MN, ia mestilah dilaksanakan secara menyeluruh di semua negeri di Malaysia tanpa sebarang pengecualian, baharulah politik stabil.

"Jika kewujudan MN terpisah antara negeri-negeri, ini bermakna kerjasama berkenaan hanyalah untuk mendapatkan kuasa dan berkongsi kuasa sahaja. Kerjasama Melayu Islam ini sebenarnya adalah untuk kestabilan politik negara negara, bukannya terbatas pada MN sahaja," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca