ANAK-anak yang dilahirkan ada beberapa kategori latar belakang mereka. Ada yang datang daripada ibu bapa susah dan tidak dikenali masyarakat. Ada pula daripada kalangan keluarga berada dan dikenali masyarakat dengan sebab pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

ANAK-anak yang dilahirkan ada beberapa kategori latar belakang mereka. Ada yang datang daripada ibu bapa susah dan tidak dikenali masyarakat.

Ada pula daripada kalangan keluarga berada dan dikenali masyarakat dengan sebab pelbagai kemahiran, kepakaran serta bidang.

Ada yang ibu bapa mereka dalam kalangan ahli politik, ahli perniagaan terkenal, penceramah agama bahkan ada juga pakar motivasi.

Apa pun latar belakang ibu bapa, anak-anak perlu bersyukur dan wajib menjaga maruah orang tua mereka, lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang memiliki ibu bapa dikenali ramai atau dipanggil public figure.

Penulis menggelarkan anak-anak dengan ibu bapanya adalah orang awam sebagai anak-anak bertuah, manakala bagi yang mempunyai ibu bapa public figure sebagai anak-anak yang sangat bertuah.

Banyak isu yang kita dengar, anak orang tersohor melakukan jenayah, kesalahan dan aktiviti tidak bermoral atau seumpamanya.

Sikap mereka jika dalam pepatah Melayu dikatakan telah menconteng arang ke muka orang tua.

Bahkan sikap mereka seolah-olah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Di luar negara contohnya, kita membaca berita anak seorang pelakon Hindustan terkenal terlibat dengan dadah.

Bayangkan, betapa merana dan sedihnya ibu bapa apabila anak ditangkap polis dan berita itu tersebar di seluruh negara.

Terbayang dalam fikiran kita, bagaimanalah mereka mendidik anak walaupun kita tahu kekangan ibu bapa terutama yang bekerja, ditambah pula jika anak-anak sudah dewasa dan kadangkala tidak tinggal bersama.

REPUTASI TERCALAR

Di Malaysia juga tidak terlepas isu sebegini. Lebih malang apabila terjadi kepada anak-anak public figure yang terlibat dengan motivasi, kaunseling atau ceramah-ceramah agama.

Sudah pasti reputasi dan imej ibu bapanya akan tercalar, namun kita pasti mereka tabah, tenang dan bermuhasabah dengan ujian tersebut.

Penulis tidak mahu menuduh mana-mana pihak sama ada anak atau ibu bapa yang bersalah tetapi penulis ingin menasihatkan anak-anak agar menjaga maruah ibu bapa.

Mereka tidak mahukan harta benda sebagai balasan daripada anak.

Cukup sekadar anak menjadi anak yang baik dan anak yang soleh dengan menjaga maruah diri serta keluarga.

Cuba bayangkan bagaimana pandangan masyarakat terhadap ibu bapa public figure apabila anak-anak melakukan jenayah atau kegiatan tidak bermoral.

Hancur dan luluh perasaan mereka, hanya ALLAH SWT yang tahu. Tuduhan, tohmahan dan hinaan bertubi-tubi datang kepada ibu bapa.

Marilah anak-anak kembali kepada agama dengan melawan nafsu jahat dan menepis godaan syaitan.

Kuatkan iman dan tingkatkan amal agar tindak-tanduk kita tidak mencemarkan maruah ibu bapa.

Inilah juga tanda kasih dan sayang kita kepada ibu bapa. Kita tidak nafikan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa anak yang dilahirkan umpama kain putih (fitrah).

Ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya.

Namun, anak-anak remaja cepat terikut nafsu amarah, maka di luar kawalan ibu bapa juga walaupun telah diterapkan didikan agama.

Fikirkan sejenak peranan anda sebagai anak public figure. Bantulah ibu bapa anda merealisasikan apa yang disampaikan oleh mereka kepada masyarakat sama ada dalam bentuk ceramah, nasihat atau motivasi.

Pastikan gerak langkah anda tidak menjatuhkan imej mereka. Bersyukurlah kerana ibu bapa anda disayangi masyarakat.

Kedudukan anda sekarang adalah hikmah daripada kemasyhuran mereka.

* Dr Azizah Hussin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM), IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu

Klik di sini untuk terus membaca