BUAH durian yang sedap dan menyelerakan selain mendapat permintaan tinggi dari China menyebabkan para petani Thailand sanggup menggantikan tanaman lain dengan pokok durian di ladang masing-masing kerana hasil pulangannya membawa lebih banyak keuntungan.
Cuaca yang cukup sesuai menyebabkan tanaman pokok durian mengeluarkan hasil sekali dalam setahun sehingga ia terbukti menjadi tanaman 'tunai emas' untuk Thailand sekali gus mendorong para petani di negara berkenaan menanam pokok tersebut sejak 10 tahun lalu.
Ia terkenal dengan jolokan sebagai 'Raja Buah' bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Asia Tenggara, malah sehingga 90 peratus daripada hasil durian Thailand pernah dieksport ke China pada tahun lalu, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Koperasi negara tersebut.
Durian dari negara itu telah mengatasi beras dan getah sebagai pengeksport terbaik Thailand dengan jumlah eksport pada tahun lepas adalah dianggarkan kira-kira 187 bilion baht (RM23.3 bilion) berbanding 100 bilion baht (RM12.4 bilion) untuk eksport beras dan 90 bilion baht (RM1.2 bilion) untuk getah, menurut Pusat Kajian Perdagangan Antarabangsa di Universiti Dewan Perniagaan Thailand.
PENGESKPORT TERBESAR
Pada tahun 2020, data eksport durian mengikut negara menunjukkan Thailand sebagai pengeksport durian yang paling terbesar dengan angka sebanyak 75.31 peratus eksport yang sepadan dengan nilai eksport AS$2.08 bilion (RM9.15 bilion), menurut data daripada Tridge Intelligence.
Pada kebiasaannya, durian yang dihasilkan di timur Thailand dari bulan April hingga Jun adalah yang terbaik tetapi pada tahun ini secara tidak disangka-sangka, hujan di timur negara tersebut sangat lebat yang telah membawa kepada kualiti yang tidak baik.
Durian dianggap sebagai tanaman emas kerana harga borong untuk buah itu secara puratanya adalah kira-kira 140 baht (RM17.45) untuk sekilogram (kg) dan pernah mencecah sehingga 200 baht (RM24.93) untuk 1kg.
Namun, harga durian Thailand yang dijual ke China sekarang dan sehingga tahun 2026 berkemungkinan meningkat kepada kira-kira 417 baht (RM51.97) untuk setiap kg untuk durian jenis Mon Thong atau Monthong, berdasarkan harga di pasar borong buah-buahan dan sayur-sayuran Jiangnan di Guangzhou, China.
Buah durian jenis itu mempunyai isi kuning yang berbentuk bujur, rasa manis dan dikenali dengan nama jolokan sebagai bantal emas.
GANTI GETAH DENGAN DURIAN
Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Chalermchai Sri-on pada bulan lalu menggesa para penanam meningkatkan penanaman durian yang berkualiti sambil menambah bahawa tidak akan ada masalah lebihan bekalan sepanjang dekad pada masa akan datang, lapor akhbar The Nation.
"Apa yang perlu dilakukan oleh penanam ialah memastikan kualiti hasil mereka dan menjadikan durian Thailand yang paling lazat di dunia," kata Chalermchai semasa perbincangan panel mengenai Buah-buahan Thai untuk dunia itu.
Kawasan penanaman durian di timur laut Thailand pula meningkat kepada hampir enam kali ganda dalam dekad yang lalu dengan ramai petani yang dahulunya menanam getah, ubi kayu dan tanaman lain telah beralih kepada durian.
Di seluruh Thailand, tanah ladang durian telah meningkat daripada hanya 96,000 hektar pada 2012 kepada 152,000 hektar pada 2019, menurut Pejabat Ekonomi Pertanian dan pihak berkuasa pertanian meramalkan pengeluaran sebanyak 1.4 juta tan durian pada tahun ini iaitu meningkat 17 peratus daripada tahun sebelumnya.
Menurut Kementerian Pertanian dan Koperasi Pertanian Thailand, eksport durian ke China dari wilayah timur negara itu antara Februari dan 5 Jun tahun ini adalah berjumlah 433,809 tan berbanding 425,000 tan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
Kira-kira 80 peratus petani di wilayah timur Thailand telah membersihkan tanah-tanah mereka daripada pokok getah dan kini menanam durian sehingga mengakibatkan peningkatan lima kali ganda dalam pengeluaran buah durian.
Bagaimanapun, peningkatan kos pengangkutan merupakan cabaran baharu untuk mengeksport buah durian itu, menurut Presiden Persatuan Peniaga dan Pengeksport Buah Segar Thai, Sanchai Puranachaikhiri seperti dilaporkan oleh Agroforestry News baru-baru ini.
Beliau mendedahkan bahawa kadar penghantaran untuk satu kontena kargo baru-baru ini meningkat daripada AS$2,300 (RM10,122) kepada kira-kira AS$9,000 (RM39,609) dan pengangkutan darat bagi setiap kontena telah meningkat daripada 80,000 baht (RM9,971) kepada 250,000 baht (RM31,159).
GUNA KERETA API
Berikutan jumlah eksport buah durian yang banyak ke China, Duta Besar negara komunis itu ke Thailand, Han Zhiqiang telah melawat ladang durian milik Presiden Persatuan Durian Thailand, Phanusak Saiphanich baru-baru ini untuk melihat apakah langkah-langkah yang diambil bagi mengelakkan buah itu daripada tercemar.
Lawatan itu dibuat kerana China sedang melaksanakan langkah dan piawaian yang ketat untuk diikuti oleh para pengeksport dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Zhiqiang dilaporkan berkata, beliau menjangkakan eksport durian Thailand akan meningkat kerana para penjual boleh menggunakan landasan kereta api dari Laos ke China untuk menghantar buah tersebut ke negara tembok besar itu.
Beliau juga berkata bahawa China dan Thailand harus mempercepatkan pembinaan kereta api supaya ia menjadi lebih mudah dan lebih murah untuk mengangkut barang.
Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Chalermchai Sri-on pada bulan lalu menggesa para penanam meningkatkan penanaman durian yang berkualiti sambil menambah bahawa tidak akan ada masalah lebihan bekalan sepanjang dekad pada masa akan datang, lapor akhbar The Nation.
"Apa yang perlu dilakukan oleh penanam ialah memastikan kualiti hasil mereka dan menjadikan durian Thailand yang paling lazat di dunia," kata Chalermchai semasa perbincangan panel mengenai buah-buahan Thai untuk dunia itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca