SHAH ALAM - Imbasan kod respons pantas (kod QR) di meja makan dan penggunaan robot antara inovasi teknologi digunakan pengusaha restoran bagi mengurangkan kebergantungan pekerja.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, menerusi imbasan kod QR, pelanggan boleh menempah makanan dan minuman, membayarnya secara terus dan mengambilnya sendiri di tempat disediakan.
"Sebelum ini, seorang pekerja restoran akan mengambil tempahan makanan dan minuman di meja pelanggan, manakala seorang lagi ditugaskan untuk menghantarnya.
"Kalau kita mahu membudayakan servis layan diri, pelanggan perlu mengambil sendiri makanan yang ditempahnya di tempat yang disediakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dari segi penggunaan robot pula, Jawahar Ali berkata, kaedah itu mempunyai kelebihan dan kekurangan, malah tidak semua pengusaha restoran mampu menggunakan teknologi tersebut.
"Kelebihan penggunaan robot ialah pengusaha restoran tidak memerlukan pekerja yang ramai untuk menghantar makanan dan minuman ditempah ke meja pelanggan.
"Tugas menghantar makanan atau minuman akan diambil oleh robot-robot ini. Dengan ini, kita boleh mengurangkan kebergantungan tenaga kerja manusia,” ujarnya.
Dari segi kekurangan pula, katanya, kos untuk membeli sebuah robot adalah tinggi dan sukar bergerak di tempat-tempat yang terdapat halangan.
"Sebuah robot berharga sekitar RM60,000 dan ini membebankan pengusaha restoran. Selain itu, apabila kerusi di restoran tidak teratur, robot-robot ini tidak boleh bergerak,” jelasnya.
Jawahar Ali bagaimanapun berkata, sekiranya servis layan diri dijadikan norma baharu, penggunaan robot tidak diperlukan.
"Kalau kita boleh melaksanakan servis layan diri, tidak perlulah menggunakan robot. Imbas sahaja kod QR, pelanggan tempah, bayar dan boleh mengambil makanan dipesannya sendiri,” katanya.
PENGGUNAAN TEKNOLOGI JALAN PENYELESAIAN TERBAIK
Sementara itu, pertumbuhan pesat penggunaan automasi atau teknologi menjadi pemacu utama terhadap semua sektor ekonomi negara termasuk bidang perindustrian dan perkhidmatan.
Pakar ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Md Mansur berkata, perkembangan itu diyakini mampu meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Beliau berkata, dalam mendepani persekitaran persaingan yang sengit dan mencabar, ditambah ketidaktentuan krisis ekonomi, teknologi menjadi penyelesaian terbaik untuk kekal berdaya saing serta sebagai pemangkin ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.
"Penggunaan automasi dalam semua sektor dapat menangani kekurangan tenaga kerja dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
"Selain mengurangkan kos operasi, ia juga dapat menggalakkan pengeluaran yang lebih cekap, berkesan dan pantas, manakala produk boleh dihasilkan dalam skala besar serta berkualiti.
"Berdasarkan banyak kajian, penggunaan teknologi dalam semua sektor mampu memberi tambahan nilai 35 hingga 50 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau bagaimanapun berkata, perkembangan penggunaan teknologi juga perlu seimbang dan selari dengan pengetahuan tentang pengoperasiannya.
"Semua ini memerlukan pengetahuan. Tidak guna ada teknologi tetapi tidak ada pengetahuan bagaimana mahu mengoperasi teknologi ini.
"Maknanya, sistem pendidikan ketika ini bermula daripada sekolah rendah, menengah hingga ke peringkat universiti mesti menekankan Industri 4.0 supaya kita melahirkan modal insan yang kompeten dalam semua aspek.
"Kita sebenarnya masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara ASEAN lain seperti Vietnam dan Thailand yang sudah jauh ke depan.
"Pengaplikasian teknologi dengan sendirinya menyumbang kepada kesejahteraan kehidupan para pekerja menerusi peningkatan pendapatan dan kualiti hidup yang selesa,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca