HUTAN Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan dan hidupan liar. Ketika ini 55.3 peratus keluasan negara dilitupi kawasan berhutan yang merangkumi Hutan Simpan Kekal (HSK), hutan perlindungan seperti taman negara serta hutan pengeluaran iaitu... Klik di sini untuk terus membaca

HUTAN Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan dan hidupan liar.

Ketika ini 55.3 peratus keluasan negara dilitupi kawasan berhutan yang merangkumi Hutan Simpan Kekal (HSK), hutan perlindungan seperti taman negara serta hutan pengeluaran iaitu kawasan yang boleh diusahakan oleh kerajaan negeri bagi mendapatkan hasil dengan mengeluarkan kayu-kayan melalui pemberian lesen penebangan.

Hutan Malaysia adalah antara hutan hujan tropika tertua di dunia, namun sedikit demi sedikit diambang kemusnahan berikutan aktiviti penerokaan secara berleluasa atas alasan pembangunan, selain pembalakan haram.

Aktiviti rekreasi dan riadah turut mengakibatkan tumbuhan di habitat asal terganggu serta musnah.

Beberapa negeri yang berdepan kemusnahan hutan termasuklah Kelantan dan Perak, malah Sarawak yang paling serius, manakala Sabah perlahan-lahan mengalami situasi yang sama.

Aspek pentadbiran dan pengurusan hutan adalah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang mengawal lesen pengeluaran.

Bagi memastikan pelaksanaan polisi dan program perhutanan dapat diselaraskan, Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan penubuhan Majlis Tanah Negara sebagai platform kepada kerajaan Persekutuan dan negeri untuk membincangkan perkara berkaitan polisi serta pengurusan perhutanan di Malaysia.

Urus tadbir sektor perhutanan pula dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 dan ordinan/enakmen perhutanan peringkat negeri.

Kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ yang menjadi rujukan utama kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

Garis panduan itu mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti hutan dengan memberi penekanan terhadap beberapa aspek amalan baik hutan, antaranya penekanan terhadap keperluan penyediaan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi pengusahasilan yang melebihi 500 hektar, penandaan kawasan pengusahasilan dan larangan tebangan pokok dalam zon penampan sungai.

Jabatan Perhutanan juga sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap dalang pembalakan haram. Malangnya, isu pembalakan haram dan penerokaan di kawasan HSK terus berlaku.

AGENDA NASIONAL

Menjadi aspirasi kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan sepertimana komitmen yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992.

Antaranya, melalui strategi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 yang merupakan sebahagian agenda nasional di bawah Program Penghijauan Malaysia bagi menangani perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Dalam sektor pengurusan perhutanan pula, dasar kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (SFM).

Ia merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih atau Selective Management System (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

Malah, pengusahasilan hutan atau pembalakan hanya dibenarkan di hutan pengeluaran sahaja, manakala pembalakan di hutan perlindungan tidak dibenarkan.

Justeru, semua kerajaan negeri digesa mengambil tindakan bersesuaian ke arah meningkatkan kawasan berhutan sedia ada kepada 50 peratus menjelang 2040, selari dengan Rancangan Fizikal Negara ke-4 (RFN4) yang diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-39.

Maka, kerjasama kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama memastikan dasar kerajaan Persekutuan dilaksanakan dan dipantau demi pembangunan negara mampan amat dituntut, antaranya semua kawasan HSK perlu diurus sepenuhnya menerusi amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) – apabila hutan dibalak, proses penggantian untuk menanam balik sama ada dalam bentuk ladang hutan dan sebagainya perlu dilaksanakan.

Selain itu, mengurangkan kebergantungan kepada aktiviti pengusahasilan hutan, sebaliknya terus memperkasakan pelaksanaan Forest Beyond Timber seperti eko-pelancongan, industri herba dan farmaseutikal.

Hanya kesedaran mengenai kepentingan khazanah warisan negara dan kerjasama holistik antara semua pihak berkepentingan sahaja dapat menyelamatkan hutan daripada berterusan diancam.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca