SHAH ALAM - Laporan siasatan audit forensik Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 dijangka dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pada Rabu ini.
Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan pakar digital yang dilantik telah menyiapkan lebih 50 peratus proses siasatan berkenaan.
"Siasatan masih dijalankan, namun insya-ALLAH kita jangka dua hari (Rabu) lagi boleh selesai dan dibentangkan. Kita pun tidak mahu tunggu lama-lama.
"Setakat hari ini (Isnin), saya dimaklumkan perkembangan (siasatan) sudah berjalan lebih 50 peratus.
"Mereka (pasukan pakar digital) pun tidak mahu beri apa-apa keputusan yang tidak jelas, jadi apabila dah selesai secara keseluruhan, barulah mereka akan bentangkan kepada kita,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada 10 Jun lalu, Dr Zaliha memaklumkan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan pada Kongres Nasional PKR.
PKR kemudian menangguhkan Kongres Nasional yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini kepada 15 hingga 17 Julai nanti.
Dalam masa yang sama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar siasatan dilaksanakan oleh syarikat audit terhadap audit forensik pemilihan parti itu agar dipercepatkan dan tidak dibiarkan berlarutan.
Maklumnya, ia disebabkan tugas utama parti itu adalah untuk mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Klik di sini untuk terus membaca