ALOR SETAR - Penggunaan teknologi seperti pesawat dron penyembur racun dan baja di kawasan tanaman padi sangat menjimatkan masa berbanding melakukannya secara manual menerusi pam penyembur.
Seorang petani dari Tobiar, Pendang, Mohd Fadli Hashim, mengakui penggunaan mesin dibantu teknologi banyak meringankan beban golongan petani yang mengusahakan pertanian dalam skala besar.
Dia yang menyewa kira-kira 30 hektar tanah sawah untuk diusahakan tanaman padi berkata, selain menjimatkan masa, golongan belia juga dilihat semakin tertarik untuk terlibat dalam industri pertanian disebabkan ada teknologi.
"Pesawat dron mampu digunakan untuk menyembur racun kira-kira enam hektar dalam satu hari.
"Pada sebelah malam juga masih boleh menyembur racun walaupun gelap, inilah kelebihan teknologi yang sangat membantu petani.
"Saya telah berkecimpung dalam tanaman padi sejak tahun 2010 dengan mengusahakan dua ekar (0.8 hektar) sawah tapi dengan teknologi, ia membantu berkembang sehingga 30 hektar sekarang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Fadli, 37, berkata, pesawat dron tersebut dibeli pada harga RM40,000 dua tahun lalu dan dibayar secara ansuran bulanan.
Akuinya, biarpun harga mahal namun tetap dianggap berbaloi kerana mampu menawarkan perkhidmatan sembur racun kepada para petani lain, selain untuk kegunaan sendiri.
"Kami juga mendapat permintaan daripada petani untuk khidmat sembur racun dan bayaran akan dikenakan untuk setiap relung sawah.
"Sebanyak dua pekerja terdiri daripada golongan belia diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan pesawat dron ini,” ujarnya.
Selain dron, dia juga memiliki tiga jentera padi dan sebuah traktor untuk mengusahakan sawahnya termasuk menawarkan perkhidmatan kepada petani lain.
"Penglibatan teknologi berkenaan perlu diperluaskan jika mahu menarik minat golongan muda kerana mereka juga secara tidak langsung telah didedahkan dengan teknologi masa kini.
"Sebagai petani muda, saya lihat teknologi ini memang membantu dan terbukti sepanjang 12 tahun menceburi dalam sektor pertanian khasnya penanaman padi,” katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja yang ditugaskan untuk mengendalikan kesemua mesin miliknya.
Klik di sini untuk terus membaca