SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurus-pengurus stesen rel di ibu negara bagi meninjau budaya penyelenggaraan di kemudahan terlibat. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurus-pengurus stesen rel di ibu negara bagi meninjau budaya penyelenggaraan di kemudahan terlibat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ketika ini banyak aduan kerosakan melibatkan kemudahan dan fasiliti di beberapa stesen telah diterima atau ditularkan di media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam.

"Prestasi stesen sama ada kemudahan seperti tandas dan fasiliti lain bersangkut paut dengan budaya penyelenggaraan, iaitu perkara yang perlu dititikberatkan oleh pengurusan stesen terlibat.

"Dalam konteks ini, saya baru sahaja mengarahkan supaya satu sesi ‘town hall’ bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melibatkan semua pengurus stesen rel diadakan dalam masa terdekat.

"Saya akan meninjau keadaan (kerosakan).

Walaupun sepatutnya dikendalikan oleh Prasarana, tetapi saya lihat (aduan kerosakan) ini perlu diuruskan kerana budaya penyelenggaraan itu penting.

"Kalau rosak satu pun kena anggap ia krisis yang perlu diuruskan oleh pihak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut Ka Siong berkata, pihak pengurusan stesen juga harus cekap mengenal pasti masalah atau kerosakan, dan bertindak secepat mungkin.

"Saya sentiasa mengingatkan supaya kumpulan atau pasukan pengurusan tertinggi kena bergerak ke depan melihat apa yang berlaku di stesen,” ujarnya.Pada masa sama, Ka Siong berkata, MOT tidak akan berkompromi mengenai isu keselamatan penumpang meskipun menerima rungutan daripada orang ramai mengenai ketidakcekapan perkhidmatan itu. Ujarnya, Prasarana telah melakukan yang terbaik untuk menyediakan kemudahan kepada penumpang, namun berdepan faktor kerosakan.

"Saya lihat apa yang dilakukan oleh Prasarana melibatkan keselamatan penumpang dan kita tidak boleh berkompromi tentang keselamatan penumpang.

"Kita tidak boleh benarkan gerabak digunakan dalam keadaan belum siap diselenggara (justeru) kekerapan antara tren terpaksa dilengahkan.

"Untuk dua bulan akan datang (kekerapan tren) akan jadi lapan minit (dan) disingkatkan kepada lima minit dan November nanti kembali kepada tiga minit.

"Itu perkara yang tidak boleh dielakkan kerana angkup brek atau ‘caliper break’ rosak dan perlu diganti.

"Saya tidak boleh letakkan gerabak untuk digunakan dan keluarkan (apabila rosak).

Kita kena siapkan mengikut spesifikasi dan keperluan teknikal,” katanya.

Pada 22 Mei lepas, Prasarana menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengenal pasti punca utama kebocoran bendalir hidraulik dan kerosakan angkup brek gerabak Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam pada itu, Ka Siong berharap pengguna memahami situasi yang dihadapi sistem perkhidmatan tren pada waktu ini.

Katanya, sebarang kelewatan tidak dapat dielakkan demi keselamatan, namun memberi jaminan masalah kesesakan di stesen dapat diselesaikan.

Sementara itu ketika mengulas mengenai pemberian perkhidmatan percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL, Ka Siong menjelaskan, perkara itu merupakan proses advokasi dan promosi kemudahan pengangkutan awam kepada rakyat berikutan masih ramai yang tidak biasa dengan sistem berkenaan.

"Ramai memberi persepsi salah mengenai tambang percuma itu kerana berpandangan ia untuk ‘membeli’ hati rakyat.

Sebenarnya ia proses mempromosikan kemudahan yang ada sebab ramai yang tidak biasa dan tidak tahu perjalanan ke destinasi dalam ibu kota lebih mudah dengannya,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca