BEIJING - Ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas hujan yang disifatkan terburuk dalam tempoh beberapa dekad telah mencetuskan banjir dahsyat dan kejadian tanah runtuh di selatan China. Cuaca buruk tersebut turut menyebabkan paras... Klik di sini untuk terus membaca

BEIJING - Ratusan ribu penduduk terpaksa berpindah selepas hujan yang disifatkan terburuk dalam tempoh beberapa dekad telah mencetuskan banjir dahsyat dan kejadian tanah runtuh di selatan China.

Cuaca buruk tersebut turut menyebabkan paras air di lembangan Sungai Pearl melimpah di kawasan dataran rendah sejak beberapa hari lalu dan mengancam sektor pembuatan, operasi logistik dan penghantaran ketika rantaian bekalan di negara itu sudah terjejas akibat sekatan Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.

Kebanyakan kawasan di dataran rendah ditenggelami banjir susulan paras air melimpah di kebanyakan sungai utama.

Media tempatan melaporkan penduduk terjejas ditempatkan di sekolah yang dijadikan pusat penempatan sementara di bandar Shaoguan.

Penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara di bandar Shaoguan.

Pihak berkuasa di wilayah Guangdong mengesahkan lebih 200,000 penduduk telah dipindahkan dan kos kerugian akibat bencana itu dianggarkan berjumlah 1.7 bilion yuan (RM1.12 bilion).

"Mereka adalah antara hampir 480,000 penduduk yang terjejas cuaca buruk tersebut,” ujar jurucakapnya.

Pada pagi Selasa, kod warna merah turut dikeluarkan di Shaoguan setelah beberapa daerah luar kota dan bandar utama Foshan menaikkan tahap amaran banjir sejak beberapa hari lalu.

Di Guangxi, kawasan bandar ditenggelami banjir lumpur ketika pasukan penyelamat giat melakukan operasi pemindahan penduduk.

Pasukan penyelamat dikerah untuk membantu penduduk di kawasan terjejas banjir.

Difahamkan, ia adalah banjir terburuk di wilayah itu sejak 2005 setelah 28 sungai di Guangxi kini melepasi paras bahaya susulan hujan lebat masih berterusan.

Di Jiangxi, pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran merah berikutan banjir yang semakin buruk.

Sementara itu, agensi berita Xinhua melaporkan lebih 220,000 penduduk di Fujian dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian Sumber Air memaklumkan bulan Jun kebiasaannya menyaksikan banjir melanda negara itu, namun taburan hujan agak luar biasa menyaksikan peningkatan sebanyak kira-kira 30 peratus berbanding musim sebelum ini.

Pada minggu lalu, Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar mengumumkan strategi perubahan iklim negara yang baharu untuk membina daya tahan terhadap impak fenomena pemanasan global menjelang 2035.

Pelan hala tuju itu memberi penekanan terhadap usaha pemantauan perubahan iklim dan kesan berkaitannya serta membangunkan amaran awal dan sistem pengurusan risiko.

Bencana banjir terburuk di wilayah Henan pada musim panas lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 398 orang dan menyebabkan kerugian kepada sektor ekonomi mencecah lebih 67 bilion yuan (RM44 bilion). - Agensi

Info:

- Data Pusat Meteorologi Kebangsaan menunjukkan purata taburan hujan di wilayah Guangdong, Fujian dan Guangxi antara awal Mei dan pertengahan Jun mencecah 621 milimeter iaitu paras tertinggi dalam tempoh 61 tahun.

- Sehingga Isnin, kira-kira 85 sungai di seluruh negara berada di paras bahaya.

- Beijing kerah pasukan penyelamat ke Guangxi dan Guangzhou untuk menyelia operasi kecemasan.

- Hujan lebat berterusan di selatan China meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa pada awal bulan lalu.

- Lebih 2,700 rumah dan 96,160 hektar kawasan pertanian musnah di wilayah Hunan.

- Kira-kira 1.1 juta penduduk di wilayah Jiangxi terkesan banjir antara 28 Mei dan 11 Jun lalu selain 223,000 hektar tanah pertanian terjejas.

Klik di sini untuk terus membaca