TEMPOH sejam sebelum pelepasan satelit ke-10 negara, Measat-3d yang akan dilancarkan Khamis ini merupakan tempoh paling genting dan kritikal bagi menentukan status 'go or not go'.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah berkata, ketika tempoh itu, satelit berkenaan berada pada roket pelancar Ariane 5 sebelum dilancar dan diletakkan ke slot orbit 91.5°E serta sebarang abnormal pada sistem mekanikal atau cuaca boleh menyebabkan pelancaran ditangguhkan.
Justeru katanya, pasukan pakar daripada Airbus yang membangunkan satelit berkenaan dan syarikat yang mengendalikan teknologi pelancaran roket Ariane 5 kini sedang melakukan persiapan rapi, menjelang pelancaran satelit Measat-3d di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana pada jam 6.03 petang, Rabu ini atau jam 5.03 pagi 23 Jun waktu di Malaysia.
"Satelit telekomunikasi milik Malaysia East Asia Satellite Global Berhad (Measat) iaitu Measat-3d yang dibina oleh Airbus telah berada di Kourou dan bersedia untuk pelancarannya menerusi Ariane 5.
"Sebelum pelancaran, dua bahagian penting yang perlu diberikan perhatian adalah pemantauan roket pelancar itu sendiri dan pemantauan satelit-satelit yang dibawa di dalam roket itu. Ia dianggap berjaya apabila sampai ke orbit dan berada pada kedudukannya.
"Aspek penting yang perlu dilihat adalah roket yang membawa satelit itu berjaya naik mengatasi graviti dan sampai satu peringkat, sama ada masih ada ‘power’ atau tidak untuk meletakkan satelit di atas orbit.
"Sebab itu pemantauan yang begitu teliti perlu dibuat termasuk daripada segi formula, bahan api, tujahan, sistem mekanikal dan elektrik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, selain Measat-3d, beberapa satelit nano lain akan turut dilancarkan bersama dalam roket Ariane 5.
Beliau yang kini berada di Perancis bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu berkata, kerajaan Malaysia akan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.
Bersempena pelancaran itu juga, satu majlis istimewa akan dianjurkan di ibu negara bagi membolehkan para jemputan menonton pelancaran itu secara langsung dan ia dijangka dihadiri tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Airbus dalam satu kenyataan melalui laman web memaklumkan, Measat-3d adalah satelit E3000 ke-57 yang dibina oleh Airbus, akan diletakkan pada slot orbit 91.5°E bergandingan dengan Measat-3b.
Ketua Satelit Telekomunikasi di Airbus, Francois Gaullier berkata, satelit baharu itu akan meningkatkan kelajuan jalur lebar dengan ketara sehingga 100 Mbps di kawasan yang terhad atau tiada sambungan daratan di seluruh Malaysia dan menyediakan lebihan dan kapasiti tambahan untuk pengedaran video dalam HD, 4K, dan akhirnya 8K di rantau Asia-Pasifik.
Klik di sini untuk terus membaca