PENGGUNA mahu penyedia perkhidmatan rel meningkatkan tahap penyelenggaraan di kesemua kemudahan pengangkutan awam tersebut. Seorang penulis dari Shah Alam, Sivanesan Selan, 28, berkata, bagi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu kota,... Klik di sini untuk terus membaca

PENGGUNA mahu penyedia perkhidmatan rel meningkatkan tahap penyelenggaraan di kesemua kemudahan pengangkutan awam tersebut.

Seorang penulis dari Shah Alam, Sivanesan Selan, 28, berkata, bagi sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu kota, kebanyakan stesen rel lama mempunyai masalah penyelenggaraan terutama kemudahan lif dan eskalator yang sering rosak.

Sivanesan

Malah katanya, tempoh yang diambil oleh pihak pengurusan membaiki kemudahan tersebut juga didapati memakan masa sehingga berminggu-minggu dan isu kelewatan selenggara itu menurutnya telah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.

"Ada kemudahan lif yang rosak di sebuah stesen yang saya lalui dah tiga minggu masih belum dibaiki. Bila dah viral baru nak ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, pekerja bebas jualan hartanah dari Shah Alam, Iskandar Shuhaimi, 29, berharap pihak terbabit tidak mengambil ringan terhadap kepentingan menyelenggarakan kemudahan lif dan eskalator.

Iskandar

Katanya, ini kerana kegagalan untuk memastikan perkara tersebut akan menyebabkan pengangkutan awam menjadi tidak sesuai untuk sesetengah kumpulan terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Bagi pembantu doktor di Petaling Jaya, Nuralia Shameen Abu Bakar, 27, keadaan jejantas dan laluan di sekitar stesen yang sedikit gelap akibat lampu tidak diselenggara sering kali menimbulkan kebimbangan kepada pengguna wanita sepertinya.

Nuralia Shameen

Ujarnya, laluan susur gajah ke rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari stesen itu juga sering berada dalam keadaan gelap.

"Jadi kalau balik malam itu memang rasa agak tidak selamat,” ujarnya.

Seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) dari Shah Alam, Khoo Kian Peng, 45, pula berpendapat keadaan tempat letak kenderaan di stesen LRT juga perlu diselenggara dan dibina dengan lebih baik agar lebih selamat buat pengguna.

Kian Peng

"Selain kena pastikan tempat letak kenderaan itu lebih terang pada waktu malam, saya rasa ia juga perlu dilengkapi dengan CCTV,” ujarnya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Arishah Ainol Shahrir, 26, berpandangan tenaga kerja dalam sektor pengangkutan awam wajar ditingkatkan bagi memastikan fasiliti dan kemudahan dapat diselenggara dengan baik khususnya bagi pengangkutan awam darat seperti tren.

Arishah

Kerajaan perlu suntik dana - Fomca

Sementara itu, syarikat penyedia pengangkutan awam perlu memperbaiki akses, kesalinghubungan infrastruktur dan kekerapan perjalanan untuk mengembalikan kepercayaan pengguna kepada pengangkutan awam.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, satu peruntukan besar perlu disuntik oleh kerajaan bagi membolehkan syarikat penyedia pengangkutan awam menyelesaikan isu tersebut.

Beliau berkata, masalah kekangan kewangan menjadi antara punca utama syarikat tersebut gagal untuk menambah baik pengurusan dan penyelenggaraan pengangkutan awam.

"Sekarang kita banyak dengar masalah dalam pengangkutan awam ini sehingga pengguna sudah tidak mahu menggunakan pengangkutan itu.

"Kerajaan harus buat sesuatu memandangkan syarikat penyedia pengangkutan awam seperti KTM Komuter, Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) ini adalah di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Tidak dapat dinafikan dengan satu peruntukan besar oleh kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan akan memastikan pengangkutan itu berjalan lancar dan kembali mendapat tempat dalam kalangan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan eskalator yang rosak ketika tinjauan Sinar Harian di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof percaya peruntukan tersebut akan dapat mengatasi masalah menguruskan sistem termasuk penyelenggaraan pengangkutan awam.

Malah beliau berkata, akses ke setiap lokasi pengangkutan awam juga perlu ditambah untuk memudahkan pengguna.

Klik di sini untuk terus membaca