TIDAK beberapa lama dahulu syarikat tempat saya bertugas mengadakan temu duga untuk pengambilan staf baharu. Poster iklan dipapar di media sosial dan juga di portal pengambilan pekerja, selain daripada hebahan melalui kumpulan WhatsApp di... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK beberapa lama dahulu syarikat tempat saya bertugas mengadakan temu duga untuk pengambilan staf baharu.

Poster iklan dipapar di media sosial dan juga di portal pengambilan pekerja, selain daripada hebahan melalui kumpulan WhatsApp di grup kakitangan.

Tidak cukup dengan itu, kami juga umumkan penerimaan kehadiran calon melalui walk-in interview.

Tiga hari dipilih untuk temu duga. Kami menganggarkan puluhan calon pekerja akan datang.

Namun, pada hari kejadian, calon yang hadir pada hari pertama tidak sampai 10 orang. Begitu juga kedatangan pada hari kedua dan ketiga. Apa sudah jadi? Tidak cukup hebahan atau waktu temu duga tidak sesuai?

Perbincangan diadakan dalam kalangan ketua-ketua jabatan dan kami juga cuba merisik maklumat di syarikat-syarikat lain untuk mendapat gambaran, apakah mereka menghadapi keadaan serupa?

Benar. Jumlah mereka yang datang temu duga di syarikat-syarikat lain pun tidak ramai. Maknanya, kian ramai yang tidak mahu bekerja makan gaji secara sepenuh masa.

Sebaliknya, mereka lebih suka bekerja berdasarkan tugasan. Inilah fenomena sektor sumber manusia yang sedang berubah kepada ekonomi gig.

Gig adalah slanga yang bermaksud tugasan sekejap. Dalam tafsiran kita ia adalah kerja sementara atau kerja sambilan. Keadaan pasaran yang tidak menentu menyebabkan makin banyak syarikat sentiasa waspada mengawal kos.

Mereka tidak mahu lagi menyediakan jabatan-jabatan dalaman yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan bisnes mereka.

Sektor pemasaran, jualan, reka bentuk, penyediaan kandungan, perakaunan, keselamatan dan lain-lain perkhidmatan sokongan tidak perlu lagi diwujudkan dalam sesebuah syarikat. Adalah lebih mudah mereka mendapatkan perkhidmatan luar.

Betul, ia amat praktikal untuk kebanyakan perniagaan khususnya syarikat-syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Namun, ia tidak menguntungkan kepada pekerja ekonomi gig ini dari segi jangka panjang.

Meskipun kerja sambilan sebegini memberi kebebasan masa dan menjimatkan kos perjalanan bagi seseorang, namun dari segi jangka panjang, dikhuatiri ramai yang tidak sempat membina ekonomi diri dan menstabilkan keluarga.

Mereka ini tiada kemudahan seperti kenaikan gaji, bonus, cuti dan yang paling penting ialah sakit pening dan jaminan insurans mereka sepertimana pekerja tetap.

Pada hari ini masing-masing masih boleh bertahan bekerja secara sambilan. Tetapi maaf cakap... 20 tahun akan datang, bagaimanakah keadaan kerjaya mereka? Pendek kata, seseorang yang bekerja sambilan itu tidak ubah seperti odd-job worker atau handyman menurut istilah dahulu.

Keadaan ini mengakibatkan seseorang pekerja dalam ekonomi gig ini juga tidak mendedahkan mereka dengan sistem dan disiplin kerja, memahami pelakuan dalam organisasi, bekerja dalam pasukan dan peluang untuk mempunyai serta membina kumpulan sendiri.

Dari segi jangka panjang seseorang petugas dalam ekonomi gig ini akhirnya tidak sempat untuk memikirkan masa depan diri dan keluarganya. Sebab ada kerja, baru ada gaji. Dia tidak boleh merancang lebih jauh kerana bekerja tanpa kerjaya.

Ini berbeza berbanding dengan seseorang pekerja tetap di sesebuah organisasi di mana sekurang-kurangnya kerjaya beliau dipantau dan dibina oleh pihak syarikat melalui Jabatan Sumber Manusia.

Keadaan diburukkan lagi dengan kesukaan instant gratification atau kepuasan semerta yang dibekalkan oleh media sosial. Ia adalah dunia lepas bebas di mana seseorang itu boleh menggila berhibur sesuka hati tanpa henti. Keseronokan menjadi ulam kehidupan seharian. Di mana masa depan diri, keluarga, ibu bapa dan juga agamanya?

Mudah-mudahan mereka semua hanya menjadi pekerja dalam ekonomi gig secara sementara dan sentiasa mencari serta dibuka jalan mendapat kerja yang lebih stabil.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca