HIDUP zaman dahulu mudah. Tak ada sayur, cari di tepi rumah. Tak ada ikan, cari di sungai dan di sawah. Ada ayam di reban, ada lembu di kandang, ada padi di jelapang.
Di dusun pula ada buah, di hutan pelanduk, kijang dan rusa melimpah ruah.
Zaman berubah. Hidup yang mudah, dimudahkan lagi. Maka dijual padi, dibeli beras; dijual lembu, dibeli daging; dijual telur, dibeli sardin.
Dan perubahan terus berlaku sehingga jadilah kita seperti sekarang. Semua benda terpaksa dibeli. Maka itu seperti sepatutnya mengikut hukum ekonomi, apabila permintaan semakin tinggi, maka harga pun tidaklah akan menjadi semakin rendah.
Apatah lagi dalam persekitaran seperti sekarang, ketika Covid-19 baru mengendurkan cengkaman dan pelbagai sektor termasuk pengeluaran, terkial-kial hendak memenuhi permintaan. Itu belum lagi dicampur kesan perang Rusia-Ukraine, perubahan iklim dan kecelaruan cuaca.
Faktor-faktor semasa hanyalah sebahagian daripada punca sebenar masalah yang semakin serius ini. Pembangunan yang tidak terkawal, kekurangan tanah pertanian, kurangnya penglibatan generasi muda dalam aktiviti pertanian, pencemaran alam sekitar, gangguan berterusan terhadap ekosistem dan banyak lagi, turut menyumbang kepada kacau-bilau rantaian makanan.
Kacau-bilau itu mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan dunia akan berdepan dengan krisis makanan. Disebabkan takut terpaksa berdepan keadaan itu, negara-negara pengeluar mula meningkatkan stok simpanan.
Sebagai contoh, China merupakan penyumbang utama bekalan gandum, beras dan jagung dunia telah mengurangkan eksport bagi tujuan menambah stok simpanan sehingga ke paras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
Sebelum perang, Ukraine mengeksport komoditi pertanian pada kadar kira-kira 6 juta tan sebulan ke Timur Tengah, Asia dan Afrika. Tetapi setelah berperang, ia hanya mampu mengeksport antara 15 hingga 20 peratus daripada jumlah sebelumnya.
Kekurangan bekalan di pasaran bukan sahaja menyebabkan harga melonjak naik, tetapi juga memberi risiko lebih buruk kepada manusia. Sebab itulah Ketua Persatuan Antarabangsa Pengilang Dalam Operasi Eurasia, Eren Gunhan Ulusoy berkata, semua institusi antarabangsa bersetuju dunia akan menghadapi krisis kelaparan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Hakikat itu turut diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Kita di Malaysia bernasib baik kerana setakat ini belum sampai ke tahap krisis.
Langkah-langkah segera yang diambil kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk yang tidak popular dalam kalangan peniaga, ternyata berjaya membentengi negara daripada fenomena menggerunkan itu.
Antara langkah-langkah itu adalah memansuhkan AP import bahan makanan, menghentikan eksport ayam, menyiasat kewujudan kartel, mewujudkan stok penimbal, mempermudah subsidi, meningkatkan sumber makanan ayam dan menambah pusat sembelihan di luar negara.
Perdana Menteri juga telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan pelan khusus bagi mengatasi krisis makanan.
Kita tentulah tidak boleh mengharap pada kerajaan semata-mata. Usaha perlu dibuat, jalan perlu dicari bagi menghindar krisis tersebut. Cuba bayangkan setiap orang menghasilkan sekurang-kurangnya satu produk pertanian sendiri.
Tidak perlu untuk dijual, memadai untuk kegunaan sendiri atau untuk di barter trade dengan jiran tetangga. Kita beri kangkung, dia beri brokoli; dia beri harum manis, kita beri limau purut.
Jangan jadikan ketiadaan tanah sebagai alasan. Di internet terdapat banyak panduan bertani tanpa tanah. Saluran untuk bertanya dan berbincang pun amat banyak tersedia. Semuanya ada di hujung jari. Inilah masanya untuk memanfaatkan kemajuan dunia baharu.
Saya rasa itulah juga tujuan Vinton Cerf and Bob Kahn mencipta protokol yang menjadi asas komunikasi internet sekarang ini. Saya tak fikir mereka menghasilkannya untuk dijadikan tempat mencarut, memaki hamun atau menyebar fitnah.
Dengan bahasa yang lebih mudah, saya tak fikir mereka menjadikannya sebagai pentas untuk berbuat dosa. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca