BIARPUN pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya orang kurang upaya (OKU) dapat menjalani kehidupan seperti orang normal, namun situasi semasa menunjukkan golongan ini masih berasa seperti terpinggir.
Dalam keadaan kepesatan pembangunan negara, golongan ini mempunyai harapan agar ada ruang untuk penambahbaikan dilakukan supaya mereka mampu menjadi sebahagian daripada barisan penggerak dan penyumbang kemajuan negara.
Wartawan Sinar Harian, NORMAWATI ADNAN menyelami golongan OKU di Ipoh, Perak yang mahu aspek kemudahan untuk mereka dinaik taraf.
Kemudahan yang disediakan untuk orang kurang upaya (OKU) di negara ini dilihat masih belum mencukupi dan mencapai standard ditetapkan.
Malah, kemudahan untuk golongan itu juga banyak disalahgunakan oleh orang biasa seperti lokasi pejalan kaki yang dikhaskan untuk orang buta telah dijadikan parkir motosikal dan diletakkan meja makan.
OKU cacat penglihatan, Zabariah Zakaria, 40, berkata, ketiadaan penguatkuasaan peraturan menyebabkan kemudahan disediakan untuk OKU sering disalah guna.
Menurutnya, keadaan itu dilihat seperti masyarakat tidak menghormati keperluan golongan berkenaan dan bersikap sambil lewa menggunakan kemudahan OKU hingga menyebabkan mereka terpaksa beralah.
"Perkara ini bukan baru dan telah kerap kali berlaku. Saya sendiri beberapa kali mengalami situasi terpaksa mengalah apabila parkir dan tandas OKU digunakan sewenang-wenangnya.
"Peliknya mereka yang menggunakan kemudahan ini seperti tiada rasa bersalah dan memberi alasan tiada OKU yang mahu menggunakannya,” katanya.
Bagi Mohd Nazri Saad, 67, kurangnya kesedaran dan sikap tidak peka masyarakat menyebabkan komuniti cacat penglihatan tidak dapat hidup berdikari dan memerlukan bantuan orang lain dalam kehidupan seharian.
Katanya, pernah berlaku situasi OKU cacat penglihatan tidak dapat melintas jalan kerana tidak diberi laluan oleh kenderaan meskipun ketika itu telah mengangkat tongkat tanda meminta laluan.
Keadaan itu jelasnya, menyebabkan ada OKU mengambil inisiatif membawa bersama kertas penanda yang tertulis 'OKU penglihatan' setiap kali mahu melintas, manakala sebahagian besar lagi sudah takut untuk melintas seorang diri.
"Dalam hal ini, kerajaan juga perlu bantu dengan memperbanyakkan program kesedaran seperti meletakkan papan tanda peringatan mengenai OKU terutama di laluan dan tempat umum.
"Ini boleh membantu masyarakat bersikap lebih peka dan prihatin, jadi tidaklah kita takut nak melintas jalan,” katanya.
Ishak Hashim, 67, pula berkata, peralihan teknologi yang lebih moden pada ketika ini tidak sepenuhnya memberi manfaat kepada mereka.
Sebagai contoh katanya, penggunaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menggunakan skrin sentuh, telah banyak mengehadkan orang buta mengeluarkan wang, melainkan dengan bantuan mereka yang celik.
"Kita akui teknologi dan inovasi baik untuk pembangunan, tetapi ia tidak dapat memenuhi keperluan secara menyeluruh.
"Kalau dahulu, banyak ATM menyediakan kekunci dengan tanda braille, tetapi sekarang telah berubah kepada skrin sentuh, jadi susah untuk orang buta mahu menggunakannya, kena minta bantuan orang lain pula,” katanya.
Kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa lebih proaktif dalam meningkatkan kemudahan khas khusus untuk golongan OKU cacat penglihatan.
Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Perak, Idris Hashim berkata, langkah itu penting bagi memudahkan mereka dapat menjalankan urusan harian secara lebih berdikari.
Menurutnya, kemudahan yang ada untuk golongan buta di kebanyakan negeri dilihat tidak lengkap jika dibandingkan di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.
"Dalam keadaan pembangunan yang pesat sekarang, kita hendak melihat lebih ramai kalangan OKU boleh berdikari, kerana itu kita perlu sediakan kemudahan-kemudahan diperlukan.
"Ini juga adalah hak kami sebagai rakyat Malaysia dan menjadi satu tanggungjawab kerajaan dalam membantu mengupayakan komuniti OKU dengan menyediakan kemudahan lengkap dan mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, SBM sendiri kerap mengutarakan permasalahan berkaitan prasarana kepada pihak berkuasa untuk diberi perhatian.
Katanya, permohonan itu termasuklah pemasangan papan tanda peringatan, lampu isyarat berbunyi, kemudahan siar kaki dan parkir OKU serta mesin ATM khas di bank-bank bagi memudahkan komuniti cacat penglihatan menggunakan kemudahan.
Jelasnya, ada sebahagiannya telah diambil maklum antaranya pemasangan siar kaki dan parkir OKU di lokasi tumpuan awam serta bangunan baru dibina seperti di hospital.
"Dalam mana-mana program pun, memang perkara inilah yang kita bawa dan titik beratkan kerana mahu komuniti cacat penglihatan ini mampu berdikari tanpa bantuan orang lain,” katanya.
Idris berkata, masih belum terlambat untuk kerajaan meningkatkan prasarana bagi keselesaan OKU.
"Penyediaan laluan khas yang mudah dan selamat di bangunan, siar kaki serta tandas awam sedia ada, perlulah diperbanyakkan dan diperluaskan.Begitu juga di pasar raya, pusat beli-belah dan jabatan kerajaan, harus disediakan kemudahan agar mobiliti OKU ini tidak terhalang,” katanya.
Statistik orang kurang upaya (OKU) di Malaysia menunjukkan hampir 45,000 individu adalah kalangan cacat penglihatan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Klik di sini untuk terus membaca