SHAH ALAM - Sesuatu kefahaman agama Islam yang diajarkan oleh golongan ustaz harus jelas dan mudah difahami agar individu yang baru berjinak mendalami agama mudah faham dan tidak salah erti hukumnya.
Pensyarah Pusat Polisi Tan Sri Omar Abdul Rahman, Universiti UCSI, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, sebarang ilmu agama yang diterapkan oleh keluarga juga tidak semestinya benar kerana ilmu berkenaan diwarisi tanpa sebarang persoalan.
"Kaedah pendidikan agama yang dibayar kepada ustaz untuk mengajar adalah sama dengan cara mengajar kanak-kanak. Korikulum yang sama iaitu kesucian dari sudut najis dan sebagainya, kemudian aspek ritual, mengasihani orang lain dan semua itu tidak tahu masa bila diajar.
"Dari aspek pembinaan (contohnya) sebelum saya reka bentuk masjid, saya kena tahu masyarakat sekeliling macam mana agar kita ada ruang bersama dalam rumah ibadat masing-masing untuk lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya pada program Forum Khas bertajuk 'Islam di Malaysia mahu ke mana?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis adalah Pengarah Human Capent, Dr Rozhan Othman dan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Anis Yusal Yusoff manakala Tan Sri Johan Jaaffar bertindak sebagai moderator.
Mohd Tajuddin berkata, sesuatu konsep ilmu agama Islam yang diajar dari awal telah disalah guna dengan menganggap perkara berkaitan hukum digunakan dalam semua situasi.
"Saya risau aspek ‘transfer’ (contoh) apabila anjing yang dianggap sebagai najis (dan) apabila haiwan itu masuk dalam masjid, maka semua permaidani terpaksa tukar. Pernah juga saya dengar seorang YB (Yang Berhormat) beritahu tak boleh melawat keluarga bukan Islam kerana ada anjing dan sebagainya.
"Jadi di sini konsep ‘anjing adalah najis’ dipindahkan kepada muamalah manusia dan ia adalah satu yang telah dibuat oleh golongan ustaz. Golongan yang mengikut atau baru belajar, nak rasa selamat terus beranggapan tidak perlu pergi (rumah bukan orang Islam),” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca