ROKET pelancar Ariane 5 yang akan membawa satelit ke-10 negara, Measat-3d telah dipindahkan ke pad pelancaran di Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Perancis.
Perkembangan terbaru persiapan itu dikongsikan Malaysia East Asia Satellite Global Berhad (Measat) melalui Facebook rasminya, Measat Global Berhad.
Pelancaran bersejarah itu akan dilakukan pada Khamis dalam tetingkap waktu 5.03 pagi hingga 6.43 pagi waktu Malaysia, dengan roket pelancar Ariane 5 akan membawa muatan kira-kira 10,863 kilogram dan bakal menempatkan satelit yang dibawa ke orbit pemindahan geostasioner (GTO).
"Ariane 5 kini dipindahkan pada pad pelancaran dan sedia untuk pelancaran misi. Kami sangat teruja untuk menonton roket pelancar berlepas dengan Measat-3d. Bagaimana dengan anda?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Measat yang juga pemilik Measat-3d turut berkongsi video tentang urutan pelancaran satelit berkenaan.
Berdasarkan video itu, roket pelancar Ariane 5 akan melalui tujuh peringkat sebelum berjaya meletakkan satelit Measat-3d di slot orbit 91.5°E.
Peringkat pertama pelancaran adalah enjin utama dan penyalaan SRB (HO 1S) akan diangkat, diikuti penyalaan SRB ditutup dan berlaku proses pengasingan.
Pada peringkat ketiga pula, akan berlaku pembuangan fairing (FJ) disusuli dengan pemisahan penutupan enjin utama (H2) dan berlaku pencucuhan pada bahagian atas, sebelum suntikan ke orbit pemindahan.
Pada peringkat keenam, akan berlaku pemisahan Measat-3d, disusuli pemisahan kapal angkasa yang lebih rendah dan akhirnya Measat-3d berada di kedudukan orbitnya.
Sementara itu, Airbus yang bertanggungjawab membina Measat-3d turut berkongsi perkembangan terkini tentang pelancaran satelit berkenaan.
Menerusi perkongsian dalam Facebook Airbus Space, Measat-3d dilaporkan seberat 5.7 tan dengan saiz 4.3 x 3.4 meter.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian baru-baru ini memaklumkan, pelancaran satelit baharu itu akan membantu menyediakan prasarana teras bagi industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyiaran negara yang lebih canggih.
Jelasnya, satelit itu dibina dengan kos sekitar RM1.2 bilion dan dijangka mempunyai jangka hayat sehingga 18 tahun.
"Signifikannya pelancaran satelit baharu ini ialah sudah sampai masanya untuk menggantikan satelit komunikasi Measat yang tidak lagi aktif dan berfungsi. Ini adalah satelit keenam Measat dengan dua daripadanya masih aktif beroperasi iaitu Measat-3a dan Measat-3b.
"Satelit-satelit itu dilancarkan pada tahun 2009 dan 2014 serta mempunyai jangka hayat kira-kira 15 tahun serta dijangka terus beroperasi sehingga tahun 2024 dan 2029.
"Tujuh satelit milik negara yang direkodkan sebagai tidak aktif, antaranya satelit komunikasi Measat-1 dan Measat-2 yang dilancarkan pada tahun 1996, disusuli Measat-3 (2006),” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca