SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan beberapa langkah bersama pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kewangan dalam negara bagi menangani isu kes penipuan dan scammer. Sinar Harian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan beberapa langkah bersama pihak berkuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kewangan dalam negara bagi menangani isu kes penipuan dan scammer.

Sinar Harian difahamkan, antara langkah diambil ialah pelaksanaan perkongsian secara berkala dengan pihak berkenaan bagi mengenal pasti kaedah dan trend jenayah kewangan terkini digunakan oleh scammer.

Melalui sesi tersebut juga, kerjasama dalam aspek teknikal serta penyaluran maklumat telah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bersasar.

BNM juga telah mengeluarkan garis panduan kepada institusi kewangan bagi melaksanakan usaha wajar pelanggan ketika pembukaan akaun bank serta secara berterusan bagi akaun bank sedia ada.

Kata seorang pegawai BNM yang enggan dinamakan, garis panduan itu meliputi langkah memprofil risiko pelanggan secara berkesan, serta mengenal pasti kewujudan suatu penipuan kewangan melalui petunjuk ‘red flags’ sedia ada.

Dalam pada itu, BNM turut mengeluarkan surat pekeliling kepada institusi kewangan bagi menggesa pelaksanaan usaha penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan ke atas proses sedia ada.

Surat pekeliling itu merangkumi gesaan kepada institusi kewangan bagi menyediakan saluran komunikasi yang efektif dan jelas antara institusi kewangan serta mangsa penipuan kewangan untuk membolehkan mereka mengambil langkah perlu termasuk menghubungi PDRM untuk membantu penyiasatan terhadap aduan dilakukan.

"Pelanggan institusi kewangan juga perlu diberi jaminan bahawa siasatan terperinci dan proses tebus rugi akan dilaksanakan secara adil dalam jangka masa yang munasabah.

"Di samping itu, institusi kewangan turut digesa melaksanakan langkah-langkah tambahan bagi melindungi mangsa penipuan kewangan daripada terus mengalami kerugian seperti menggantung sementara perkhidmatan perbankan dalam talian dan menjalankan pemeriksaan peranti mudah alih agar bebas daripada serangan ‘malware’ dengan persetujuan pelanggan,” katanya.

Di samping itu, surat pekeliling itu turut menggesa kerjasama berkesan dalam kalangan institusi kewangan bersama agensi penguatkuasaan undang-undang untuk membolehkan siasatan dan tindakan dalaman menyeluruh dapat dilaksanakan.

Ia termasuk dalam mengenakan sekatan sementara berdasarkan terma dan syarat pembukaan akaun ke atas akaun berkaitan bagi membolehkan penilaian secara menyeluruh dapat dilaksanakan sambil memastikan wang daripada aktiviti penipuan ataupun aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun tersebut.

"Seterusnya, surat pekeliling itu juga berkaitan dengan gesaan meningkatkan keberkesanan program kesedaran pelanggan terhadap aktiviti penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, BNM turut menyediakan saluran untuk orang ramai membuat aduan kepada Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan sekiranya terdapat pertikaian terhadap keputusan siasatan pihak institusi kewangan termasuklah membabitkan kes kehilangan wang dalam akaun bagi transaksi tidak dibenarkan.

Pada masa sama, kerjasama rapat BNM bersama polis juga dalam membanteras jenayah kewangan turut membabitkan sokongan teknikal bagi pengoperasian platform perkongsian maklumat dan komunikasi kendalian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), PDRM iaitu CCID Scam Response Centre.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed pada April lalu memaklumkan PDRM menghadapi kekangan untuk bertindak dengan lebih pantas bagi menangani jenayah penipuan dan ‘scam’ akibat ekoran daripada birokrasi yang diamalkan oleh bank.

Klik di sini untuk terus membaca