DI Sweden, Finland dan Denmark, pelajar yang telah menamatkan alam persekolahan menengah diraikan secara amat unik iaitu diarak secara beramai-ramai atau menaiki lori di pusat bandar kerana telah berjaya menghabiskan alam persekolahan tanpa mengira pencapaian akademik mereka.
Apa yang lebih menarik dengan kehadiran kaum keluarga yang membawa hadiah dan plakad gambar mereka sewaktu kecil dan bukannya plakad 'A' untuk mengimbas kembali kenangan indah sepanjang zaman persekolahan.
Situasi ini begitu berbeza keadaannya di Malaysia yang budaya plakad 'A' ini seperti suatu fenomena di sekolah-sekolah dan media sosial setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diumumkan.
Bezanya yang ketara ialah falsafah warga tradisi negara-negara Nordik meraikan semua murid tanpa adanya ranking dan kasta kerana bagi mereka anak-anak adalah sama sahaja keutamaannya untuk melahirkan generasi berakhlak, berdisiplin dan menghormati orang tua.
Sebenarnya, terdapat jurang perbezaan antara pertandingan dan proses pendidikan sinonim dengan travelog mencari ilmu yang perlu diharmonikan kepada aspek pemerkasaan kendiri dan bukan menunjuk-nunjuk siapa yang lebih hebat dalam pentas peperiksaan.
Secara tuntasnya, para pelajar ‘A’ ini perlu juga dididik erti kesyukuran dan tidak mengekspresikan kejayaannya secara berlebihan dan ironinya tidak mengapa jika ia dipaparkan secara sederhana.
Fenomena ‘A’ ini perlu disantuni dengan penuh hikmah oleh ibu bapa dan guru agar anak-anak tidak berada dalam dunia yang terlalu mengagung-agungkan ‘A’ tetapi secara pratikalnya boleh bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh dengan penuh tawaduk dan positif.
Hakikatnya, kejayaan ‘A’ sebenarnya adalah anugerah daripada ALLAH SWT dan bukannya disebabkan oleh kekuatan diri sendiri.
Al-Quran secara tidak langsung telah menegur budaya ‘ini kerana ilmu saya’ seperti yang terpahat dalam ayat 78 surah al Qasas bermaksud: "Dia (Karun) berkata, "Sesungguhnya aku diberi (harta itu), semata-mata kerana ilmu yang ada padaku.” Tidakkah dia tahu, bahawa ALLAH telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak perlu ditanya tentang dosa-dosa mereka”.
ALLAH SWT juga menegaskan dalam surah al Kahf ayat 35 yang bermaksud: "Dan dia memasuki kebunnya dengan sikap merugikan dirinya sendiri (kerana angkuh dan kafir); dia berkata, "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya”.
Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa fahaman ini akan membawa kepada aspek takbur iaitu ‘kejayaan saya yang abadi’.
Bagaimana pula dengan para pelajar yang kurang bernasib baik walaupun telah berusaha setekun mungkin tetapi rezeki tidak menyebelahi mereka. Hendaknya, janganlah ada sikap cepat berputus asa apabila berdepan dengan kegagalan yang bersifat sementara.
Sebenarnya, peperangan dalam kehidupan masih berliku dan panjang. Cuba pahatkan dalam jiwa mereka bahawa keputusan peperiksaan SPM tempoh hari hanyalah 'kalah' satu medan perang sahaja.
Mungkin ada kejayaan tertangguh yang ALLAH SWT simpankan untuk masa-masa akan datang. Bukalah minda ke arah dunia pemikiran yang lebih luas, ramai tokoh-tokoh hebat telah dilahirkan hasil daripada pelbagai kegagalan demi kegagalan.
Percaya atau tidak, pencapaian akademik baik merupakan satu batu loncatan dalam membina kejayaan diri yang lebih unggul di masa depan.
Tetapi harus diingat, berapa ramai insan cemerlang akademik tetapi gagal dalam menguruskan kehidupannya kerana tidak tega dalam pengurusan kemahiran komunikasi, pengurusan regulasi diri, pengawalan emosi dan daya ketahanan diri yang padu.
Justeru, marilah kita sebagai keluarga Malaysia untuk sama-sama memulihkan acuan kualiti sistem pendidikan negara kita agar sentiasa di landasan tepat dalam memacu pembinaan generasi anak-anak kita yang cemerlang bukan hanya dari aspek akademik tetapi jati diri gemilang.
* Dr Zaizul Ab Rahman ialah Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Klik di sini untuk terus membaca